Keningau – Pada 11-13 Mac yang lalu, seramai 518 orang mengikuti retret calon baptis IKD peringkat Paroki Katedral St Francis Xavier sahaja. Bertempat di Dataran Terbuka Keuskupan Keningau, para peserta mulai menempati dan para peserta datangnya dari 10 Zon yang bernaung di bawah Paroki Katedral St Francis Xavier. Zon-Zon yang terlibat seperti: Zon Minawo, Toboh Laut, Biah, Senagang, Apin-Apin, Kepayan Baru, Bingkor, Liau, Magatang dan dari KSFX sendiri.
Pada hari pertama, Bapa Uskup merasmikan retret tersebut dengan mengadakan pentakhtaan Alkitab dan seterusnya membacakan dari Injil Yohanes 14:1-6. Beliau mencuba menjelaskan kaitannya dengan Tema Pastoral Keuskupan dengan mengajak para katekumen untuk bersama-sama merenungkan bacaan yang di ambil dari Injil Yohanes 14:1-6. Selanjutnya beliauu memperkenalkan kepada para katekumen lagu yang bertajuk “Wawasan Keuskupan: Umat Allah berjalan bersama”. Di dalam lagu tersebut, menurut beliau boleh memperkenalkan siapakah kita, tanggungjawab dan cita-cita kita. Siapakah kita? Umat Allah yang memihak dan percaya kepada Allah yang kita kenal melalui Yesus Kristus. Keluarga adalah permulaan gereja dan kita menjadi anggota Umat Allah.
Pada malamnya pula, para peserta retret berpeluang untuk mengetahui peranan yang dimainkan oleh Roh Kudus di dalam hidup seseorang dan bimbingan kuasa Roh Kudus terhadap Gereja Katolik. Ceramah ini dibawa oleh Sr Christella Lim, FSIC. Pada keesokan harinya, para peserta berkesempatan untuk berdoa rosari dan seterusnya mempersiapkan diri untuk mendengarkan ceramah-ceramah yang sudah disediakan oleh pihak penganjur seperti: Mengapa dan bagaimana berdoa dan membaca Alkitab, bagaimana saya yakin dengan iman saya dan sebelah petangnya, Bapa Uskup sekali lagi bercakap tentang Siapakah itu Gereja.
Bapa Uskup memulai dengan satu pertanyaan kepada para peserta “Siapakah itu Gereja?” – satu pertanyaan klasik “Apakah Gereja” mengalami pembaharuan ketika Konsili Vatikan II dan Gereja lebih terbuka dan bersifat peribadi, iaitu “Siapakah Gereja”. Efesus 2:19-22 “Demikianlah kamu bukan lagi orang asing dan pendatang, melainkan kawan sewarga dari orang-orang kudus dan anggota-anggota keluarga Allah, yang dibangun di atas dasar para rasul dan para nabi, dengan Kristus Yesus sebagai batu penjuru. Di dalam Dia tumbuh seluruh bangunan, rapi tersusun, menjadi bait Allah yang kudus, di dalam Tuhan. Di dalam Dia kamu juga turut dibangunkan menjadi tempat kediaman Allah, di dalam Roh” menjadi awal ceramah Bapa Uskup.
Istilah “Gereja” selalu dikaitkan dengan bangunan secara fizik tetapi Gereja Katolik yang dimaksudkan oleh “Gereja” bukanlah bangunan secara fizik melainkan Umat Allah, orang-orang yang percaya kepada Allah. Dengan dibaptis, seseorang menjadi anggota-anggota Gereja dan Gereja itu adalah tubuh Kristus atau keluarga Kristus. Di dalam komuniti orang-orang yang percaya kepada Kristus, kita dipanggil dengan sebutan Gereja.
Dengan dibaptis kita dilahirkan kembali menjadi anggota tubuh dan keluarga Kristus dan kita mempunyai tanggungjawab terhadap keluarga Kristus dalam pelbagai aspek, aspek sosial, iman, material dan sebagainya. Umat diminta terlibat kerana itu adalah tanggungjawab bersama contohnya di dalam gotong-royong, segi kewangan.
Syahadat iman Katolik menyatakan kepercayaan kita terhadap Allah Tritunggal yang Mahakudus, Bonda Maria, para kudus dan yang penting lagi adalah percaya akan Gereja yang Satu, Kudus, Katolik dan Apostolik.
Aku percaya akan Gereja – anggota tubuh Kristus
Satu – Gereja Tuhan hanya satu iaitu Gereja Katolik tetapi dalam sejarah selalu ada sikap pecah belas dan anggota-anggota Gereja ada yang mulai mengasingkan dirinya sendiri dan saat ini sudah ada 50 ribu denominasi yang ada di seluruh dunia. Tetapi Gereja Katolik hanya satu dan ditubuhkan oleh Yesus dan memilih Petrus sebagai Paus yang pertama.
Kudus – Gereja itu kudus sekaligus pendosa. Gereja adalah kudus atas 2 sifat ini iaitu sifatnya ilahi dan kudus dan sifat yang kedua ialah sifat manusiawi – anggota-anggotanya adalah manusia. Manusia yang lemah dan selalu jatuh di dalam dosa. Sudah berdiri selama lebih kurang 2030 tahun dan mengalami pelbagai macam godaan dan cubaan. Tetapi tetap berdiri kerana Kristus sendiri yang menjadi Kepalanya.
Katolik – Gereja antarabangsa/universal tanpa mengira bangsa dan budaya. Kemana pun kita pergi, walau berbeza bahasa tetapi semuanya adalah sama.
Apostolik – gereja Katolik berasal dan berasal pada para rasul. Yesus memiliki 12 rasul yang akhirnya menjadi asas Gereja Katolik dan menurunkan tanggungjawab mereka sebagai rasul kepada orang yang mereka percaya. Oleh sebab itu, untuk menurunkan tanggungjawab rasul2 itu, Gereja Katolik ada upacara pentahbisan dan yang menggantikan para rasul masa kini adalah para uskup diseluruh dunia dan mereka yang melanjutkan pelayanan para rasul. Para paderi membantu para uskup di bidang kerohanian.
Bapa Uskup telah mendengar perkongsian dari umat yang mengatakan, ada kebiasaan orang-orang Katolik yang pada pagi harinya menghadiri perayaan Ekaristi untuk menerima Tubuh Kristus dan petangnya pergi ke denominasi lain untuk mendapat makan rohani iaitu Firman Tuhan dan puji-pujian. Menurut beliau, ini adalah salah sebab apa yang kita imani dan percaya, bukan berdasarkan perasaan yang boleh hilang. Tetapi lebih kepada iman, iman yang hidup. Sekiranya jelas yang menjadi arah tujuan hidup ini, maka kita tidak akan mudah terombang ambing dengan tuntutan dan tawaran oleh dunia.