Tatal – Para Ibu yang tergabung di dalam Kerasulan Wanita Katolik, Keuskupan Keningau (KWKKK) mengadakan retret tahunan selama tiga hari yang diselenggarakan di Rumah Retret Keuskupan Keningau, Tatal. Retret ini berlangsung dari 25-27 November 2016. Dalam kesempatan ini, para ibu mencuba untuk mendalami dan menggali tema “Wanita, Isteri dan Ibu yang berbelaskasih”. Dalam retret ini, para ibu didampingi oleh Rev Claudius Andrew selaku pembimbing rohani. Seramai 250 ibu, telah mengikuti retret tersebut.
Sebelum retret dimulai dengan perayaan Ekaristi, sebelumnya diadakan penyampaian hadiah berupa sebuah kereta yang disumbangkan oleh Datuk Seri Panglima Wilfred Madius Tangau. Penyampaian tersebut disempurnakan oleh Yang Mulia Bapa Uskup Datuk Cornelius Piong kepada pemenang cabutan tiket bertuah yang dianjurkan oleh KWK, Keuskupan Keningau. Dalam ucapan singkatnya, beliau berterima kasih kepada para Ibu yang telah bersusah payah dalam mencari dana untuk pembangunan Keuskupan Keningau.
Di dalam perayaan Ekaristi, sempena pembukaan retret tahunan KWK, Keuskupan Keningau, Bapa Uskup mengajak semua peserta untuk bersyukur kepada Tuhan atas anugerah dan berkat yang telah diterima selama ini. Dalam kesempatan retret, tema “Wanita, Isteri dan Ibu yang berbelaskasih” sangat relevan untuk dijadikan bahan permenungan. Menurut Bapa Uskup, cabaran dunia saat ini, semakin hari semakin kompleks dan peranan wanita sekaligus isteri dan ibu, perlu mendapat perhatian dan bagaimana peranan KWK untuk menjadi wadah saluran belaskasih Allah.
Tambahnya, beliau mengajak para peserta retret untuk mengimbas kembali perjalanan gereja selama tahun berbelaskasihan ini. Walaupun Tahun Belaskasihan secara rasminya ditutup pada 20hb yang lalu, tetapi “pintu” belaskasihan Bapa tidak pernah tertutup dan tidak akan pernah ditutup oleh kelemahan ataupun oleh dosa-dosa kita.
Mungkin sebelum ini, pemahaman kita mengenai Allah itu bagaikan seorang polis yang hanya mencari dan menunggu kita melanggar undang-undang. Tetapi di dalam Tahun Belaskasihan ini, seringkali kita mendengar bahawa Allah itu adalah Allah yang berbelaskasih. Manusia di dalam kelemahannya seringkali menolak dan menyangkal cintakasih Bapa. Namun, Bapa tidak pernah sedetikpun berputus-asa. Itulah sifat Allah.
Dalam Yoh 3:16, Yesus ditampilkan sebagai Wajah belaskasihan Allah Bapa. Sebelum kelahiran Yesus di dunia, kita juga memandang kepada Bonda Maria. Bonda Maria juga digelar sebagai Bonda Kerahiman. Kehidupan harian Maria, sebagai seorang wanita, isteri sekaligus seorang ibu menjadi teladan bagi kita. Sebagai seorang ibu, Maria mempunyai perasaan. Kehancuran hati melihat putranya disesah, disalibkan dan akhirnya mati, mungkin membuat Maria kecewa bahkan tidak berdaya. Namun kerana imannya akan Bapa yang berbelaskasih, Maria mencari kembali kekuatan dari Bapa, dan menerima semua itu demi keselamatan manusia. Melalui peribadi Bonda Maria, kita dapat belajar dan memohon kepada Bapa agar kita juga dikarunia sikap yang dimiliki oleh Bonda Maria. Dan inilah yang menjadi harapan Sri Paus Fransiskus kita, “Kita diharap akan rela menjadi saluran belaskasihan Bapa”.
Diakhir homili, Bapa Uskup berpesan bahawa kemampuan untuk menghadirkan belaskasihan tersebut, bukannya datang dari kemampuan atau kelebihan yang kita miliki. Melainkan lahir dari kesatuan atau relasi kita secara peribadi dengan Sang Sumber Belaskasihan itu sendiri iaitu Yesus. Sebab itu, tiap-tiap hari kita perlu menyedari dan mensyukuri kehadiran Tuhan ditengah-tengah kita. Apabila kita mempunyai kedua sikap ini, maka kita juga sentiasa seperti yang diharapkan oleh Yesus di dalam bacaan Injil pada hari ini, sentiasa dalam keadaan siap siaga.
Sepanjang retret tiga hari ini, para peserta dibawa untuk melihat ke dalam peribadi masing-masing. Ceramah berkaitan dengan luka-luka batin dan sesi penyembuhan batin yang dipimpin oleh Tim KIPKK, banyak membantu para peserta didalam mengolah kelemahan-kelemahan didalam hidup berkomuniti atau hidup berkeluarga. Mereka juga dibawa untuk semakin mencintai Sakramen-Sakramen terutama di dalam Sakramen Ekaristi dan Rekonsiliasi.
Diakhir retret tahunan ini, mereka diharapkan semakin dapat menjadi wadah dan saluran belaskasihan Bapa.