RABU ABU PERMULAAN PRAPASKAH

KENINGAU: Pada 5 Mac 2019, umat Katolik khususnya Paroki Keningau telah memulai musim Prapaskah.  Setiap tahun, dalam putaran liturgi, gereja akan mengadakan masa yang membolehkan umat dapat membawa diri untuk setia, mendekati dan hidup dalam kekudusan Tuhan.

Musim Prapaskah diawali dengan Rabu Abu. Apabila dahi dioleskan dengan abu, bermulalah masa puasa dan pantang bagi umat katolik.

Sempena dengan itu, perayaan misa senja telah diadakan di Dataran Keuskupan Keningau. Diselebrankan oleh YM Uskup Cornelius Piong. Kira-kira 3000 orang umat hadir dalam misa ini.

Uskup dalam homilinya menegaskan tiga perkara yang perlu dalam perjalanan iman sehari-hari umat terutamanya pada musim Prapaskah ini. Tiga perkara iaitu berdoa, beramal kasih dan berpuasa boleh diaplikasikan dalam kehidupan kerohanian.

“Dalam perjalanan iman, perlulah sentiasa yakin kepada Tuhan yang kita percaya, yang sentiasa menyertai dan dapat menyelamatkan kita. Perlulah setia kepadaNya. Ambil masa untuk merenungi kehidupan, relasi dengan Tuhan dan juga sesama.  Dalam realiti kehidupan didunia, manusia tidak lari daripada melanggar kehendak Tuhan dan jatuh dalam dosa. Oleh itu, gereja menyediakan pelbagai sumber untuk memohon pengampunan daripadaNya bukan hanya melalui pengakuan tetapi juga mengambil  masa untuk berbicara dengan Tuhan melalui doa dan firmanNya,”

“Marilah mengambil kesempatan semasa menjalankan puasa dan pantang ini untuk bertobat dan menyatukan dengan diri  Tuhan, setia kembali kepada Dia dan hidup selalu dikuasai oleh kehadiranNya,” seru prelatus itu. KOMSOS K’GAU

Sharing is caring!