HARI MINGGU BIASA KE – 17 ( A )
Bc.1. 1raj 3:5.7-12 Bc.2. Rom 8:28-30 Bc.3. Mat 14:44-52
Ada satu pertanyaan yang boleh kita renungkan. Apakah yang kita cari dalam hidup di dunia ini? Tentunya ada banyak jawaban; kesenangan, kedamaian, kebahagiaan dan sebagainya. Pernahkah kita berfikir untuk mencari harta? Bukan harta duniawi yang akan pupus tetapi harta sejati yang tidak pernah akan habis!
Perlu Usaha Untuk Memiliki Harta Yang Bernilai
Pada minggu ke-17 ini, Gereja memberikan bacaan dimana tiga perumpamaan tentang Kerajaan Syurga, yang diumpamakan seperti seorang yang menjual segala yang dia miliki demi memiliki harta dan mutiara yang berharga. Kita melihat bahawa Kerajaan Syurga adalah sesuatu yang sudah sepatutnya menjadi fokus utama dan tujuan dalam kehidupan kita. Hal-hal yang lain dianggap sebagai kurang penting, atau dengan kata lain, hal-hal yang bersifat kekal seharusnya dipandang lebih utama daripada hal-hal yang sementara.
Melihat kepada petikan Injil tersebut, Kristus Yesus memberikan perumpamaan tentang Kerajaan Allah, iaitu, seperti harta yang terpendam di ladang, pedagang yang mencari mutiara yang indah dan bahawa Kerajaan Syurga adalah seumpama pukat yang dilabuhkan ke laut, dan berbagai jenis ikan dikumpulkan dan ditangkap, yang kemudian dijelaskan ertinya sebagai akhir zaman, di mana yang baik akan mendapatkan kehidupan kekal di Syurga dan yang jahat akan mendapatkan ganjarannya di neraka. Dan di ayat seterusnya dijelaskan bahawa para murid juga menerima perutusan untuk menjadi penjala manusia dengan mewartakan Injil.
Perumpamaan tentang harta dan mutiara menunjukkan harga yang harus dibayar untuk memperoleh Kerajaan Syurga. Dan akhirnya perumpamaan tentang pukat mengulangi perumpamaan tentang lalang di antara gandum, yang menceritakan akhir zaman, di mana para malaikat akan memisahkan yang jahat dari yang baik/benar, serta memberikan hukuman bagi orang yang jahat di neraka dan memberikan anugerah keselamatan bagi umat Allah yang setia sampai akhir.
Perumpamaan pertama menceritakan bahawa Kerajaan Allah seumpama seseorang yang menemukan harta di ladang, menguburkannya kembali, dan dengan sukacita menjual seluruh harta miliknya untuk membeli ladang itu. Dalam ayat ini dikatakan bahawa seseorang “menemukan”. Menemukan mempunyai pengertian tidak sengaja atau tiba-tiba.
Seseorang dapat saja menemukan harta terpendam seperti mengalami campurtangan Tuhan dalam hidup melalui kejadian-kejadian yang tidak disangka-sangka, seperti, dalam penderitaan seseorang menemukan makna hidup dan Kristus. Melalui pengalaman itu, seseorang berubah dan bertobat. Ada juga yang merasa hidup begitu kosong, tanpa erti dan secara tidak sengaja dia mendapat kembali semangat untuk hidup ketika mendengar renungan Sabda Allah. dengan pengalaman tersebut orang itu berusaha untuk terus mahu menghidupi penemuan hidup yang baru. Seperti mahu mendapat harta sangat mahal untuk dimiliki, maka orang tersebut dengan sukacita menjual seluruh miliknya demi dapat memiliki harta tersebut. Dan memang menemukan Kristus dan menjalin hubungan yang intim dan peribadi dengan Kristus jauh lebih berharga dari apapun.
Dengan demikian, kalau seseorang telah menemukan Tuhan, maka dengan segala risikonya dia harus menempatkan Tuhan di atas segalanya, kerana memang hanya Tuhanlah yang berharga untuk dikasihi dengan segenap hati, jiwa dan kekuatan kita.
Perumpamaan kedua yang diberikan oleh Yesus tentang Kerajaan Syurga adalah seperti seorang pedagang yang mencari mutiara yang indah dan setelah menemukannya, dia menjual seluruh hartanya. Di sini ditekankan bahawa Kerajaan Syurga bukan saja harta yang mahal, tetapi juga sesuatu yang indah. Keindahan Kerajaan Syurga ini harus dicari, seperti seorang pedagang yang mencari mutiara yang indah. Melalui nabi Yeremia, Tuhan mengatakan “Apabila kamu mencari Aku, kamu akan menemukan Aku; apabila kamu menanyakan Aku dengan segenap hati, Aku akan memberi kamu menemukan Aku” (Yer 29:13-14).
Bagi kita yang telah menerima Sakramen Baptis, maka sesungguhnya, kita telah menemukan mutiara yang indah. Tetapi apakah semua orang yang dibaptis menjalankan hal yang kedua, iaitu menjual seluruh harta miliknya untuk membeli mahupun mempertahankan mutiara yang indah. Apakah yang dimaksudkan menjual seluruh harta miliknya demi mendapatkan Kristus secara penuh? Jika kita membaca kisah hidup para santo dan santa, mereka telah menyerahkah seluruh kehidupan mereka demi untuk Kristus.
Bagaimana dengan kita? Kita dapat menjalankan satu sikap yang juga diajarkan Kristus untuk dapat juga memiliki mutiara yang indah atau Kerajaan Syurga, iaitu sikap miskin di hadapan Allah (Mat 5:3). Orang yang miskin di hadapan Allah sentiasa melihat bahawa harta, kekuasaan, kedudukan dan apapun yang dimilikinya adalah merupakan karunia Tuhan. Dan semuanya ditempatkan, digunakan selayaknya, iaitu sebagai sesuatu yang digunakan untuk memuliakan Kerajaan Allah.
Yesus memberikan perumpamaan seterusnya tentang Kerajaan Syurga seperti pukat yang dilabuhkan ke laut, yang mengumpulkan semua jenis ikan, yang baik mahupun yang tidak baik. Lautan diumpamakan sebagai dunia, dan pukat adalah Gereja. Sama seperti pukat harus ditebarkan ke tempat yang dalam, maka Gereja harus juga mewartakan Kristus ke tempat yang dalam. Dan setelah penuh, maka pukat tersebut diseret ke pantai dan orang-orang kemudian memilih ikan yang baik dan membuang ikan yang tidak baik. Ini menggambarkan tentang akhir zaman, di mana para malaikat akan memisahkan manusia yang baik dari yang tidak baik. Dan bagi orang yang jahat akan mendapatkan ganjarannya di dalam neraka.
Sama seperti di dalam Gereja terdiri dari orang kudus dan pendosa. Katekismus Gereja Katolik (KGK, 867) menjelaskan; Gereja adalah kudus: Roh Kudus adalah asalnya; Kristus, Mempelainya, telah menyerahkan Diri untuknya, untuk menguduskannya; Roh kekudusan menghidupkannya. Memang orang berdosa juga termasuk di dalamnya, tetapi ia [Gereja] adalah “yang tak berdosa, yang terdiri dari orang-orang berdosa”. Dalam orang-orang kudusnya terpancar kekudusannya; di dalam Maria ia sudah kudus secara sempurna.
Setelah Yesus mengatakan perumpamaan tersebut, maka Yesus berpaling kepada para murid dan bertanya mengertikah kamu semuanya itu? Dengan kata lain, mengertikah kamu, bahawa ketika engkau Ku panggil, Aku akan menjadikan engkau penjala manusia? (Mat 4:9; Mrk 1:17). Tugas perutusan untuk mewartakan Kerajaan Syurga bukan hanya diberikan kepada paus, para uskup dan para imam, namun juga kepada semua umat Allah yang telah dibaptis.
Dari uraian di atas, maka kita dapat melihat bahawa Kerajaan Syurga adalah begitu berharga dan begitu indah. Tidak ada pengorbanan yang terlalu besar untuk mendapatkan Kerajaan Syurga. Oleh kerana itu, kita mohon rahmat Allah dan karunia keberanian, sehingga kita berani untuk mengorbankan segalanya bagi Tuhan.
Allah Bapa yang penuh kasih, kami bersyukur atas rezeki kehidupan kekal yang telah kami terima ini. Semoga kami juga Kau beranikan untuk mengorbankan segalanya demi terciptanya Kerajaan-Mu di tengah-tengah kami, iaitu kehidupan bersama yang dipenuhi cinta kasih, keadilan dan kedamaian sebagaimana suasana Yerusalem syurgawi yang kami dambakan. Dengan pengantaraan Kristus, Tuhan kami.