PERKONGSIAN PARA KATEKUMEN – IKK KSFX

IKK - JessicaNama saya Jessica Cham dan saya ingin mengsharingkan mengapa saya mahu mengikuti Kristus dan dibaptis di dalam Gereja Katolik pada malam Paskah nanti.

Alasan utama yang saya pelajari sendiri mahupun dari guru-guru pembimbing ialah, Yesus telah lahir ke dunia dan menjadi manusia. Sebagai manusia, Dia telah mengalami kesengsaraan, kematian dan akhirnya Dia bangkit mengalahkan maut. Dia rela tergantung dan dipaku pada kayu salib, demi dosa-dosa saya dan anda. Tidak ada kisah dari agama-agama lainnya seperti yang telah dikerjakan oleh Yesus. Hanya Yesus saja yang pernah dan sanggup melakukan pengorbanan besar.

Ketika saya mulai belajar membuka Alkitab, saya temukan kisah-kisah Yesus yang luarbiasa. Yesus mengajarkan, menguatkan iman para pendengar-Nya dan melakukan mukzizat kesembuhan. Ini adalah tanda bahawa Yesus sungguh-sungguh Anak Manusia.

Bukti-bukti di atas, memutuskan bahawa saya tidak ragu lagi menjadi pengikut Kristus. Tentu ini adalah dorongan dan ilham dari Roh Kudus sendiri. Saya sudah tidak sabar menantikan malam Paskah. Dimana saya akan dibaptis dan menjadi pengantin perempuan bagi Sang Mempelai Lelaki iaitu Tuhan Yesus sendiri.

(oleh: Jessica Cham – IKK KSFX)

 

 

IKK - MaxPengalaman berjumpa dengan kepercayaan lainnya, mengajarkan saya bahawa apa yang saya percaya dan imani sekarang ini, takkan pernah saya lepaskan. Tawaran dari dunia dan godaan dari kawan-kawan selalu datang menerpa. Pengalaman dibawa untuk mengenal kepercayaan denominasi lain atau agama lain, telah saya laluinya.

Kedua orangtua mengetahui dan akhirnya memutuskan untuk menghantar kami adik-beradik untuk mengikuti kelas bimbingan IKK dan IKR. Keputusan yang diambil oleh kedua orangtua, sungguh suatu keputusan yang tepat. Tanpa campur tangan kedua orangtua, kemungkinan besar, iman akan Yesus tidak akan tertanam di dalam hati dan hidup ini.

Perziarahan sebagai seorang simpatisan dan akhirnya diterima menjadi seorang katekumen di dalam Gereja Katolik, sungguh merupakan berkat dan hadiah yang manis dari Tuhan Yesus. Keputusan untuk dibaptis pada malam Paskah nanti, merupakan keputusan saya sendiri. Bukan kerana paksaan dari kedua orangtua. Sebab apa yang saya imani dan percaya, iaitu Yesus sungguh-sungguh Tuhan. Kedua orangtua yang juga seorang Katolik, turut mewarnai dan memberi corak di dalam keimanan saya dan saudara-saudari saya.

Kisah mengenai datuk saya iaitu Katekis Josue Kating turut mewarnai perjalanan iman saya sebagai seorang katekumen. Datuk menjadi “pahlawan” dan contoh di dalam penyebaran iman Katolik. Beliau banyak membantu membangun Gereja Katolik khususnya di daerah Keningau.

Sesudah dibaptis pada malam Paskah nanti, saya mahu menjadi pengikut Yesus yang setia dan taat. Melayani Tuhan di dalam diri orang lain terutama bagi anggota keluarga saya sendiri. Terima kasih Tuhan kerana melayakkan saya untuk melangkah menjadi anak-Mu.

(oleh: Max Dylan Donny Kating – IKK KSFX)

 

 

IKK - ArlandFirman Tuhan membuat saya jatuh cinta dengan peribadi Yesus. Di dalamnya berisikan janji-janji pengharapan dan penyertaan Tuhan bagi yang percaya kepada-Nya. Kisah besar yang dikerjakan oleh Yesus menjadi buah tutur sampai sekarang ini. Terlebih kisah heroik yang diperankan oleh Yesus sangat menyentuh hati saya yang terdalam. Penderitaan dipukul dan dipaku dikayu salib, kematian dan kebangkitan-Nya sungguh pengorbanan yang luarbiasa.

Dengan menjadi seorang simpatisan dan akhirnya diperbolehkan untuk menjadi seorang katekumen, suatu hadiah dari Tuhan buat saya. Saya diperkenalkan siapakah Yesus, apa yang dikerjakan oleh Gereja Katolik dalam melanjutkan tugas yang telah diamanahkan oleh Yesus dan kekayaan dari ajaran para bapa Gereja dan Magisterium, membuat saya semakin jatuh cinta dengan Yesus dan Gereja-Nya.

Saya mahu bertumbuh di dalam iman, harapan dan kasih. Mahu melayani sesama dengan segenap hati dan berbakti kepada ibubapa saya. Tanpa mereka, saya mungkin tidak berpeluang untuk mengenal semua ini. Saya mahu mencontohi Bonda Maria, yang penuh kerendahan hati dan selalu mencari dan melakukan kehendak Tuhan. Saya mahu belajar selalu mengatakan “Ya” untuk apa yang dikatakan kepada saya, walau mungkin itu berlawanan dengan kehendak peribadi saya.

(oleh: Jeadrynickarland Junior – IKK KSFX)

Sharing is caring!