Keberadaan Allah tidak dapat disangkal oleh kita. Alkitab bahkan mengatakan bahawa kita seharusnya menerima keberadaan Allah dengan iman. “Tetapi tanpa iman tidak mungkin orang berkenan kepada Allah. Sebab barangsiapa berpaling kepada Allah, ia harus percaya bahwa Allah ada, dan bahwa Allah memberi upah kepada orang yang sungguh-sungguh mencari Dia” (Ibr 11:6)
Saya telah mula jatuh cinta dengan Yesus kerana Dia telah mendengar dan mengabulkan doa saya suatu ketika dahulu. Doa yang mengharapkan agar kedua orangtua saya dapat menyelesaikan masalah rumahtangga mereka tanpa mengambil keputusan untuk berpisah yang boleh mengakibatkan perpisahan kedua orangtua dan adik-beradik.
Perasaan takut berlakunya perpisahan antara kami telah mendorong saya untuk berlutut dan berdoa, berdoa tanpa henti, memohon kepada Yesus yang belum saya kenali dengan sangat. Syukur dan puji Tuhan kerana doa saya dikabulkan ketika pergaduhan mereka telah menimbulkan isu perceraian.
Sejak kejadian itu, saya tidak pernah berhenti bersyukur kepada Yesus Kristus kerana telah membuat bapa saya sedar akan kesalahan beliau dan membuat beliau berusaha untuk menebus kesalahannya terhadap kami. Beliau sentiasa berusaha mendapatkan kembali kepercayaan kami semua tanpa menghiraukan sikap diri saya yang sukar untuk memaafkan.
Ibulah orang yang bertanggungjawab mendaftarkan kami adik-beradik untuk menjadi seorang simpatisan dan kini sedang mempersiapkan diri untuk dibaptis pada malam Paskah nanti. Harapan ibu agar anak-anaknya dapat mengenal Yesus yang selalu ada buat mereka yang percaya dan berharap kepada-Nya. Dari seorang simpatisan dan kini sebagai salah seorang katekumen, saya akan tetap dengan iman saya akan Yesus Tuhan dan tidak akan pernah meninggalkan Gereja Katolik. Melalui Gereja Katolik, banyak hal yang saya pelajari dan pesan mendiang datuk akan selalu saya pegang, “agama yang dianuti pada waktu kita lahir, agama itulah juga yang kita amalkan sehingga sang kematian datang menjemput untuk menghadap Sang Pencipta”.
(oleh: Shaine Abbygail – IKR KSFX)
Saya tergerak hati untuk berbagi pengalaman dengan saudara seiman. Pengalaman perjalanan hidup kerohanian saya, sehingga saya berani mengatakan “Ya” untuk dibaptis pada malam Paskah nanti dan tergabung di dalam Gereja Katolik.
Mengapa saya memilih Tuhan Yesus dan bukannya tuhan-tuhan yang lain? Alasannya, kerana saya sedar dan percaya bahawa Tuhan Yesus benar-benar wujud. Lahir dari seorang perawan dan menjadi manusia seperti saya. Dia merasakan dan turut menderita dengan apa yang saya rasakan (kekecewaan, kemarahan, putus asa, kebingungan dll) namun, Dia tidak pernah melakukan atau jatuh dalam hal kedosaan. Inilah yang membezakan antara manusia dengan Yesus.
Sifat kerendahan hati dan belaskasih-Nya amat menyentuh hidup saya. Dengan mengikuti kelas bimbingan IKR, saya ingin mengetahui dan mencari erti kehidupan yang sesungguhnya berdasarkan kehidupan Yesus sendiri. Mempelajari dan meneladani perbuatan-perbuatan Yesus kepada para pendosa.
Selain itu, bersama Yesus, saya mengalami ketenangan dan muncul kerinduan untuk meninggalkan cara hidup saya yang lama. Cara hidup yang penuh dengan kedosaan, yang selalu melukai dan membuat Tuhan Yesus menitiskan airmata-Nya. Bertobat dan mengampuni menjadi azam dan tentunya dengan bantuan Roh Kudus sendiri.
Saya merindukan untuk melangkah pada malam Paskah nanti. Saya mahu mempersembahkan seluruh hidup saya kepada Tuhan dan menjadi pengantin perempuan bagi Sang Mempelai Lelaki. Selalu mencari dan melakukan apa yang menjadi rencana dan kehendak-Nya. Saya juga mahu belajar untuk mencintai Gereja Katolik. Menggali dan mendalami ajaran Gereja yang kaya. Terima kasih Tuhan untuk kebaikan dan cinta-Mu.
(oleh: Johana John – IKR KSFX)
Nama saya Daniel dan melalui ruangan ini, saya ingin berkongsi pengalaman kehidupan yang akhirnya sampai pada keputusan bahawa saya mahu dibaptis di dalam Gereja Katolik dan menjadikan Tuhan Yesus sebagai sahabat, yang selalu ada ketika saya gembira ataupun menangis.
Sejak berumur 7 tahun, saya tinggal bersama dengan nenek saya yang beragama Kristian Katolik. Kehidupan keagamaan nenek sebagai seorang Katolik, hidup doa yang teratur dan selalu hadir dalam perayaan Ekaristi, secara tak disedari turut memberi corak di dalam hidup saya. Nenek selalu membawa saya mengikutinya ke Gereja. Namun, nenek tidak mengizinkan saya untuk dibaptis menjadi seorang Katolik kerana menjadi seorang pengikut Tuhan Yesus, memerlukan kebenaran dari kedua ibubapa saya. Tapi dalam masa yang sama, nenek memberi masa untuk saya berfikir masak-masak dan memutuskan agama mana yang harus saya anuti.
Ketika menginjak kaki di sekolah menengah, corak kehidupan yang telah ditanamkan oleh nenek, banyak mempengaruhi cara berfikir, perkataan dan perbuatan saya. Namun, ketika berumur 15 tahun, saya berhadapan dengan satu masalah yang tidak dapat diselesaikan. Tapi saya percaya, bahawa Tuhan Yesus yang saya kenal melalui nenek, tidak akan pernah melepaskan tangan dan pandangan-Nya dari saya. Saya terus berdoa kepada Yesus. Berharap akan ada mukzizat terjadi dan mengubah semua masalah saya menjadi berkat.
Pergumulan demi pergumulan, akhirnya saya membuat keputusan bahawa saya memilih Yesus menjadi Tuhan, penyelamat dan sahabat setia. Saya tidak pernah ragu dengan keputusan ini. Ini kerana, saya sendiri sudah mengalami penyertaan dan bimbingan-Nya. Tangan Tuhan tidak pernah lepas dari kehidupan saya. Dia selalu menuntun dan mendukung ketika saya menjadi lemah dan jatuh. Saya, Daniel telah jatuh cinta dengan Tuhan Yesus.
(oleh: Daniel – IKR KSFX)