Keningau : Pada 10 November yang lalu, Dataran Keuskupan Keningau disambut meriah dan syukur apabila Seminarian Nelbart Peter telah ditahbiskan menjadi dikon. Misa Kudus pentahbisan yang bermula pada jam 4.00 petang telah diselebrankan oleh Yang Mulia Uskup Datuk Cornelius Piong. Upacara pentahbisan ini disaksikan oleh para paderi dan religius serta dihadiri keluarga Dikon Nelbart dan umat di Keuskupan Keningau.
Pentahbisan itu membawa makna yang mendalam ketika Dikon Nelbart menyahut panggilan Tuhan kepada kehidupan pelayanan, dipandu oleh tema yang diambil dari Injil Lukas 10:2: “Tuaiannya memang banyak, tetapi pekerjanya sedikit.” Petikan yang kuat ini merangkum dedikasi yang ditunjukkan Dikon Nelbart dalam perjalanan imannya yang mahu mengabdikan hidup sepenuhnya kepada Tuhan di dunia yang semakin memerlukan komitmen sedemikian.
Uskup dalam amanatnya, menjelaskan tentang tugas-tugas seorang dikon kepada Dikon Nelbart dan umat, di mana prelatus itu menekankan peranan dikon sebagai salah satu pelayanan yang tidak mementingkan diri, membantu uskup dan paderi, serta melayani umat beriman dengan rendah hati dan belas kasihan.
Uskup Cornelius mengungkapkan kesyukuran dan terima kasihnya kepada keluarga Dikon Nelbart atas sokongan dan doa yang telah mereka berikan dalam menuju ke pentahbisannya. “Kita terus berdoa untuk Dikon Nelbart agar dia terus teguh dalam pelayanannya dan tidak lama lagi akan menjadi seorang paderi”, pesan prelatus menutupi ucapannya.
Upacara pentahbisan bermula dengan Perjanjian Hidup Membujang, diikuti dengan pemeriksaan calon, Janji Setia, Litani, dan seterusnya upacara Penumpangan Tangan.
Selepas upacara penumpangan tangan, upacara menyandang stola dan dalmatik kepada Dikon Nelbart dilakukan dan dibantu oleh Fr Patrick Heng. Uskup kemudian, membentangkan Kitab Suci kepada Dikon Nelbart, menandakan tanggungjawabnya dalam memberitakan Injil Tuhan. Sebagai tanda syukur dan dorongan, uskup mengakhiri upacara dengan pelukan kasih kepada Dikon Nelbart, mengalu-alukan dikon baru itu.
Dikon Nelbart, anak kelahiran Kg. Simbuan, Sook menyahut panggilan untuk menjadi paderi ketika uskup melawat di Kg. Simbuan sekitar tahun 2013 dimana kata Dikon Nelbart, masih segar dalam ingatannya, uskup mengatakan “Kalau tidak ada yang mahu menjadi paderi, siapa akan menggantikan kami, siapa yang mahu bekerja di ladang Tuhan?”. Kini, Dikon Nelbart telah pun ditahbis dan akan melangkah ke alam kepaderian tidak lama lagi.
Dalam ucapannya, Dikon Nelbart mengucap pujian dan syukur kepada Tuhan atas panggilan yang diberikan. Ucapan terima kasih juga ditujukan kepada keluarga serta umat dari Paroki Sook yang banyak memberinya sokongan serta tidak lupa juga kepada pengerusi MPP KSFX dan semua AJKT Pelaksana yang telah bertungkus lumus dalam persiapan sehinggalah upacara pentahbisan beliau.
Lahir pada tahun 15 Nov 1994, Dikon Nelbart Peter menerima pendidikan di Tadika dan Sekolah Rendah di SFX, Keningau kemudiaan di SK Simbuan dan seterusnya di Sekolah Menengah Tulid. Pembentukan seminari Dikon Nelbart bermula pada tahun 2015-2016 di Catholic Diocesan Centre, Kota Kinabalu, inisiasi tahun berikutnya di St. Peter’s College, Kota Kinabalu kemudian, tahun 2018-2019 di College General, Penang dan, di St. Peter’s College, Kuching pada tahun 2020-2024. Dikon Nelbart juga telah menjalani pendedahan pastoralnya di beberapa paroki di Keuskupan Keningau dan juga di Gereja St George, Sebauh, Bintulu, Miri.
Selesai Misa, uskup dan para paderi serta jemputan ke Dewan MPP bagi meraikan jamuan kesyukuran bagi dikon baru yang diraikan. Dikon Nelbart Peter akan melayani dan meneruskan pastoralnya di KSFX, Keningau. -Melty Paulus