GEREJA BARU DENGAN IMAN UMAT YANG TURUT DIPERBAHARUI

Ansip,Keningau– Bapa Uskup Cornelius Piong menyeru umat di Gereja St.Gabriel, Kg.Ansip, Keningau agar mempunyai iman yang turut diperbaharui sesuai dengan gereja yang berwajah baru. Seruan ini diucapkan semasa memyampaikan homili di Perayaan Ekaristi sempena Pemberkataan Gereja St.Gabriel, Kg.Ansip, Keningau.

Turut dirayakan pada hari tersebut adalah Hari Penaung Gereja St.Gabriel dan Ulang Tahun Kerasulan Devosi Kerahiman Ilahi peringkat Kuk .

Upacara dimulakan dengan pemotongan riben sebagai gimik perasmian sebelum Uskup Cornelius Piong memimpin Doa Pemberkatan bangunan gereja. Selepas itu, prelatus itu memercik air berkat yang turut dibantu oleh Msgr.Gilbert Lasius dan Rev. Fr Appolonius Yakis.Selepas itu prelatus itu turut memberkati meja altar, mimbar dan statue Rohani.

“Konsep gereja pada masakini bukan hanya terikat kepada bangunan sahaja tetapi umat yang beribadat di dalamnya. Bangunan gereja akan hidup sekiranya umat di dalamnya mempunyai iman yang hidup,” jelas prelatus yang berumur 75 tahun itu semasa homili. Prelatus itu  juga mengharapkan agar umat tidak terlalu taksub dengan bangunan gereja yang menarik dan besar tetapi juga harus menumpukan komuniti gereja yang bersatu dan setia bersaksi bagi Yesus Kristus.

Prelatus itu turut mengingatkan umat bahawa menjadi saksi bagi Kristus tidaklah mudah kerana pasti ada cabaran yang perlu ditempuhi. “Apabila kita bersaksi kepada Yesus Kristus pasti akan ada mereka yang tidak menyukainya, namun janganlah takut, percayalah Roh Kudus akan memimpin kita, seperti mana Yesus pun telah melalui pelbagai cabaran dalam  melaksanakan misinya”, tutup Uskup Cornelius Piong.

Seusai misa kudus, Bapa Uskup Cornelius Piong bersama dengan YB Datuk Ellron Alfred Angin menandatangani plak perasmian menandakan sempurnanya gimik perasmian.

Gereja St.Gabriel, Kg.Ansip terletak lebih kurang 6.8km dari Katedral St.Francis Xavier, Keningau dan dibawah  komuniti gereja Zon Biah. Gereja yang berkeluasan 40 kaki lebar dan 60 kaki lebar telah dibina sejak beberapa tahun sebelumnya namun hanya mendapat penambahbaikan pada Julai tahun ini, dan siap sepenuhnya pada bulan Oktober.

Komuniti Kuk Gereja St.Gabriel juga sedang berusaha untuk membangunkan dewan gereja pula di masa depan  _ Juanis bin Marcus

Sharing is caring!