Gambar 1: Encik Marselinus Linus dan Puan Emilia Eta
Gambar 2: Encik Garmanus Jamanah@Jaminus Bin Agiik dan Puan Veronica Mailinah Binti Daik
Bunsit, Keningau -Pada 17 November 2024 yang lalu, seramai 28 pasangan telah memperbaharui janji perkahwinan di Saint James The Apostle, Bunsit. Pembaharuan Janji Perkahwinan kali ini adalah dengan mensasarkan pasangan yang telah berkahwin serta diberkati gereja mencapai usia perkahwinan 5 tahun dan ke yang atas.
Bermula daripada 12-14 November 2024, pasangan ini mengikuti tridium persiapan bagi pembaharuan janji perkahwinan. Selepas itu, kesemua pasangan ini mengikuti rekoleksi pada 15 November 2024 bertempat di Saint James The Apostle, Bunsit selama sehari.
Sepanjang rekoleksi ini berlangsung, pasangan ini disajikan dengan sesi ceramah dan perkongsian yang berkaitan untuk menyegarkan semula janji perkahwinan mereka.
Sesi 1, ‘Kerohanian Dalam Keluarga’ telah disampaikan oleh Katekis Joseph Konten. Menerusi sesi yang disampaikan oleh Katekis Joseph Konten, beliau berpesan ibubapa adalah katekis pertama kepada anak-anak. Oleh itu, anak-anak cenderung untuk meniru sikap atau perangai ibubapa.
Katekis Joseph Konten menasihati agar ibubapa sentiasa berusaha untuk menjadi teladan yang baik kepada anak-anak dan tidak mempengaruhi pemikiran mereka dengan hal-hal yang tidak baik.
Sesi 2, ‘Komunikasi Dalam Keluarga’ pula disampaikan oleh Katekis Denis Zeno Kogoh yang mana beliau menegaskan betapa pentingnya komunikasi dalam sesebuah keluarga. Komunikasi yang juga merupakan satu doa dalam konsep kekeluargaan.
Selain itu, Katekis Denis Zeno Kogoh turut berpesan kepada para pasangan agar sentiasa menanam benih cinta kasih dalam keluarga terutamanya dalam pertuturan sehari-hari. Setiap perkataan yang keluar daripada mulut ibubapa merupakan sebuah doa. Ungkapan yang dipertuturkan juga adalah sumber sukacita dalam kehidupan berkeluarga.
Kemuncak bagi rekoleksi ini ialah sesi perdamaian dalam keluarga dimana pasangan ini diajak untuk mengimbas semula perjalanan dalam perkahwinan mereka. Setiap pasangan yang sudah berkahwin semestinya tidak akan lari daripada kelemahan-kelemahan manusiawi dan kerana itu pasangan ini haruslah bersikap terbuka dan menerima kekurangan pasangan mereka.
Perdamaian dalam keluarga memainkan peranan yang penting dalam sesebuah perkahwinan. Dengan memberi pengampunan maka pasangan ini melepskan perkara yang menyakitkan dalam perkahwinan sekali gus menyemai semula cinta kasih dalam kekeluargaan.
Dalam pada itu, dua pasangan turut berkongsi pengalaman mereka dalam menempuh lumrah alam perkahwinan dan menzahirkan rasa kesyukuran kerana walaupun terdapat banyak cabaran dalam kehidupan berumahtangga namun mereka masih mampu mengekalkan keutuhan dan keharmonian dalam perkahwinan.
Pasangan pertama iaitu Encik Marselinus Linus dan Puan Emilia Eta yang berasal daripada Keuskupan Maumere Flores NTT dan telah menetap di daerah Keningau selama 10 tahun.
Encik Marselinus Linus bersyukur kerana isterinya, Puan Emilia Eta banyak menjadi tulang belakang kepada beliau untuk berubah menjadi suami yang lebih baik dan tanpa lelah mengajak beliau untuk terus datang kepada Tuhan.
Sebelum ini, Encik Marselinus Linus berkata bahawa dia lebih terdorong untuk menjalani kehidupan yang bebas seperti menjadi seorang peminum dan penjudi.
‘Handalkan Tuhan dalam setiap perkara’ itulah titipan Encik Marselinus Linus kepada semua pasangan yang sedang menempuh kehidupan dalam rumahtangga.
Melalui pasangan kedua iaitu Encik Garmanus Jamanah@Jaminus Bin Agiik dan Puan Veronica Mailinah Binti Daik berkata hal yang remeh terkadang boleh menjadi hal yang besar sehinggakan membawa kepada pergaduhan dan ada ketikanya berpaling muka daripada pasangan selama berhari-hari.
Encik Garmanus Jamaah@Jaminus Bin Agiik mengingatkan kepada pasangan yang berkahwin yakni semakin kita mahu mendekatkan diri kepada Tuhan maka cabaran dalam rumahtangga juga kian membesar.
Beliau memberi pesan kepada pasangan yang lain agar hiduplah dalam rumahtangga yang harmoni dan sikap taat setia kepada Tuhan akan menuntun pasangan suami isteri berjalan dalam rencana yang dikehendaki oleh Tuhan itu sendiri.
Puan Rachel Cheryll Alfred Nadus iaitu wakil pasangan pembaharuan janji perkahwinan memberikan ucapan beliau dengan menyatakan bahawa pasangan yang memperbaharui janji perkahwinan mereka pada kali ini bukan saja menyegarkan semula janji perkahwinan tetapi juga mengaktifkan semula benih cinta kasih kepada sesama pasangan.
Puan Rachel Cheryll Alfred Nadus turut berharap agar benih cinta kasih ini terus bertumbuh sehingga membawa damai dalam kehidupan berkeluarga. Beliau menambah terlalu banyak cabaran yang mendatang silih berganti tetapi jangan lupa bahawa kita memiliki satu pribadi yang sangat baik. Dia adalah sahabat sejati yang akan menopang kita disepanjang jalan kita. Dia adalah Yesus sendiri. Janganlah berjalan mengikut kefahaman manusiawi kita.
Puan Rachel Cheryll Alfred Nadus turut berpesan agar sentiasa berkomunikasi di dalam keluarga. Komunikasi iaitu umpama sebuah doa. Apa yang kita ucapkan itu adalah doa dan setiap perkataan mempunyai kuasa.
Sementara itu, Father Appolonius menutup Misa Kudus dengan menitipkan pesan kepada para pasangan agar berusaha untuk memperbaharui janji perkahwinan setiap tahun dan menyeru agar lebih ramai pasangan untuk memperbaharui janji perkahwinan di masa akan datang.
-Veron