HARI KELUARGA KATEKIS PERINGKAT PAROKI KSFX

KENINGAU : Pada 31 Ogos 2018, Komiti Katekis Paroki Keningau telah mengadakan Hari Keluarga Katekis Peringkat Paroki KSFX di Gereja St. Petrus Bundu, Apin-apin.

Seramai lebih kurang 250 umat termasuklah para Katekis bersama keluarga telah hadir memeriahkan majlis ini. Sempena dengan ini, perayaan Misa Kudus telah diadakan. Disempurnakan oleh YM Uskup Cornelius Piong yang dibantu oleh Rev. Fr Rudolf Joannes.

Tujuan Hari Katekis ini diadakan untuk mengingatkan para Katekis untuk merenung perjalanan pelayanan mereka selama ini. Selain itu, mengeratkan lagi hubungan antara Katekis dan keluarga masing-masing. Dalam perayaan Misa, para Katekis memperbaharui janji mereka di hadapan Uskup dan umat yang hadir.

Uskup berpesan agar sentiasa berjaga-jaga agar sedar bahawa peranan Katekis hanyalah alat saluran  bukannya mengambil peranan Tuhan.  Sebagai Katekis kita diharapkan agar pengajaran yang di kongsikan itu turut dilakukan dan diikuti oleh Katekis sendiri. Ini untuk menunjukkan teladan yang baik kepada umat supaya kesaksian yang dikongsikan terbukti bukan melalui perkataan sahaja tetapi juga dalam perlakuan. Kesetiaan kepada Tuhan juga harus ada dalam setiap peribadi Katekis agar tidak tersesat dalam pelayanan.

“Namun begitu, dalam kesibukan melayani umat jangan lupa keluarga sendiri. Pincang keluarga pincanglah pelayanan,” demikianlah homili Uskup.

Kat. Gilbert Timun merangkap pengerusi Komiti Katekis mengucapkan terima kasih kepada KUK Bundu kerana telah bertungkus lumus dalam menyediakan dan menjayakan Majlis Hari Keluarga Katekis.

“Saya ucapkan berbanyak terima kasih kerana kerelaan, iman dan ketabahan para Katekis dalam menjalankan pelayanan. Tugas pelayanan kami sebagai pihak paderi menjadi senang dengan adanya Katekis. Kita bersyukur juga kerana Gereja menggalakkan umat awam untuk melayani sebagai Katekis dan sebagainya,” Uskup dalam ucapannya.

Seusai Misa, jamuan kesyukuran diadakan. Majlis dimeriahkan lagi dengan cabutan tiket bertuah, pemberian anugerah kepada Katekis bertuah dan persembahan pentas. KOMSOS KGAU

Sharing is caring!