KG PULUTAN AKHIRNYA MEMPUNYAI SEBUAH RUMAH IBADAT

PGP1

KG PULUTAN, Sook – Umat dari Kg Pulutan pada 25 Mac yang lalu menyaksikan pemberkatan Chapel St. Theresa oleh YM Bapa Uskup Datuk Cornelius Piong. Upacara pemberkatan ini disaksikan oleh umat dari ZON Simbuan yang terdiri daripada KUK Simbuan, KUK Dumbun, KUK Mokotog dan KUK Pulutan. Seramai 150 umat hadir pada hari itu.

PGP4

PGP6

Upacara pemberkatan Chapel baru ini bermula pada jam 10 pagi dan dimulai dengan pemberkatan pintu masuk, pemberkatan air suci dan dilanjutkan dengan perayaan Ekaristi bersama umat setempat.

Dalam homili Bapa Uskup, beliau berpesan kepada umat yang hadir bahawa kehadiran mereka pada pagi itu bukanlah suatu kebetulan, melainkan satu undangan dari Tuhan sendiri. Bapa Uskup menekankan bahawa iman itu bersifat relasi ataupun hubungan dengan Tuhan. Kerana ia bersifat relasi/hubungan, maka kita harus menyempatkan diri, menyempatkan masa untuk berdoa secara peribadi, berkumpul sebagai satu komuniti dan merayakan Ekaristi/Ibadat Sabda, membaca dan merenungkan Firman Tuhan, merayakan Sakramen-Sakramen dan menghidupi kehidupan KKD (Komuniti Kristian Dewasa).

Lanjutnya, beliau berkata jika seorang Kristian Katolik tidak mahu mendekatkan diri dengan Tuhan dan Gereja-Nya, cepat atau lambat, orang itu akan terjerumus dengan godaan-godaan yang ditawarkan oleh dunia. Mudah membelakangi Yesus dan meninggalkan Dia. Bapa Uskup mengutip ayat dari Kolose 2:6-7 iaitu seorang Kristian Katolik haruslah berakar, bertambah iman dalam Dia dan sentiasa mengucap syukur atas segala yang dialami. Beliau turut menceritakan bahawa ramai orang Kristian yang mahu dibaptis dan menerima Yesus tetapi tidak mahu menjalankan tanggungjawab sebagai seorang pengikut Kristus.

PGP2

Dalam ucapan Pengerusi KUK Kg. Pulutan iaitu En. Billy Paten, beliau berterima kasih kepada Bapa Uskup yang sudi hadir pada hari itu untuk memberkati sekaligus merayakan perayaan Ekaristi bersama umat di ZON Simbuan. Beliau juga berterima kasih kepada umat di ZON Simbuan atas kemurahan hati dan kerjasama membangun Chapel St. Theresa hingga selesai.

Bapa Uskup dalam ucapannya juga berbangga kerana akhirnya Kg. Pulutan akhirnya memiliki sebuah bangunan rumah ibadat. Beliau meneguhkan iman umat di KUK Pulutan bahawa Tuhan tidak pernah meninggalkan mereka yang percaya kepada-Nya. Teruslah berharap dan teguh dalam iman, kerana hanya orang yang beriman sahajalah yang dapat melihat karya-karya Tuhan yang luarbiasa.

PGP8

Upacara pemberkatan dan perasmian Chapel St. Theresa Kg. Pulutan berakhir pada jam 11.30 pagi. Setelah itu, para undangan dan umat setempat bersama-sama menjamu makan tengahari sebagai ungkapan syukur dan terima kasih.

KHEMAH BELIA PAROKI (KBP) SOOK KE-5

KBP5 8

Sook – “Pergilah dan beritakanlah: Kerajaan Syurga sudah dekat” (Mat 10:7) adalah tema untuk Khemah Belia Paroki (KBP) Sook yang kali kelima telah diadakan di tahun 2016. Bertempat di Gereja Roh Kudus Sook, seramai 1017 belia telah mendaftarkan diri untuk mengikuti kegiatan yang telah disediakan untuk mereka. Khemah Belia Paroki (KBP) Sook Ke-5, telah berlangsung dari 1-3 Disember tahun 2016. Kegiatan selama tiga hari ini telah dirasmikan oleh Yang Mulia Bapa Uskup Datuk Cornelius Piong dan didampingi oleh Rev. Fr. Claudius Andrew selaku Paderi Paroki dan Rev. Fr. Hilanus Simon sebagai Pembantu Paderi Paroki.

KBP5 7

KBP5 9

Khemah Belia Paroki (KBP) Sook tahun ini, untuk julung kalinya mencatat jumlah peserta yang besar. Objektif diadakan Khemah Belia Paroki (KBP) Sook ini adalah bertujuan: Pertama, untuk menyedarkan para belia akan kehadiran Kerajaan Allah adalah anugerah nyata dalam peribadi mereka. Kedua, untuk mempersiapkan dan memperkasakan jati diri para belia untuk menjadi ejen perubahan dalam mewartakan Injil (pelayanan sebagai Karolers) dan yang terakhir, agar dapat mempereratkan persahabatan di antara para belia sebagai kesatuan Umat Allah.

KBP5 6

KBP5 3

Selama tiga hari berlangsung Khemah Belia Paroki (KBP) Sook ini, terdapat beberapa pengisian aktiviti dan diantaranya seperti persembahan lagu-lagu Adven, persembahan tari-tarian dari setiap ZON di dalam acara Welcoming Night, nyanyian dan lakonan serta pengisian ceramah kaitannya dengan pelayanan sebagai seorang belia. Beberapa permainan turut diselitkan yang bertujuan untuk membentuk jati diri para peserta.

KBP5 2

KBP5 1

Kemuncak dari Khemah Belia Paroki (KBP) Sook Ke-5 ini adalah pengutusan anggota Karolers yang dipimpin sendiri oleh Yang Mulia Bapa Uskup Datuk Cornelius Piong selaku Uskup di Keuskupan Keningau. Sebelum Khemah Belia Paroki (KBP) Sook Ke-5 ditutup secara rasmi, Bapa Uskup mengumumkan tuan rumah Khemah Belia Paroki Sook Ke-6 adalah St. Bede, Nabawan.

PERAYAAN 4 DALAM 1, PAROKI ROH KUDUS SOOK

a1

Sook – Majlis 4 dalam 1 iaitu Majlis sambutan Krismas, Tahun Baru 2017, Perpisahan Rev. Fr. Hilanus Simon, dan Kedatangan Rev. Fr. Harry Dorisoh dan Seminarian Wilfred James telah diadakan di Dewan Gereja St.Petrus Sook yang mana melibatkan semua umat di sekitar Paroki Sook.

a2

Majlis sambutan 4 dalam 1 ini merupakan sebuah majlis yang meriah dengan ucapan daripada Paderi Paroki iaitu Rev. Fr. Claudius Andrew, Seminarian Wilfed James dan juga Pengerusi Majlis Pastoral Paroki En. Fred Jupilin. Rev.Fr Hilanus Simon yang akan berpindah ke Katedral St. Francis Xavier pada 1 Febuari 2017 mengimbas kembali perjalanan pelayanannya di Paroki roh Kudus Sook, yang mana telah melayani di Paroki Sook sebelum menjadi paderi, bermula dengan menjalani pelayanan Pastoral terakhir semasa masih bergelar Seminarian, dan meneruskan pelayanan sebagai seorang Diakon sehinggalah di tahbis menjadi Paderi di Gereja St. Valentine, Beaufort seterusnya memulakan pelayanan kepaderian di Paroki Roh Kudus Sook sejak 17 Oktober 2015 sehinggalah 31 Januari 2017, dan akan mula melayani di tempat baru iaitu di di Paroki Katedral St. Francis Xavier, Keningau.

a3

a4

a5

Sepanjang program sambutan 4 dalam 1 ini, umat dapat mengenali dengan lebih dekat lagi antara sesama dalam satu Paroki seterusnya dapat bekerjasama dalam membangunkan gereja untuk tujuan pembangunan kerohanian seluruh umat di Paroki Sook, dan juga dapat memberi salam perpisahan kepada Rev Fr. Hilanus Simon serta salam perkenalan bagi Seminarian Wilfred James yang akan memulakan pelayanannya di Paroki roh Kudus Sook.

a6

LAWATAN KE PENSIANGAN DAN SEKITARNYA

1

Sook – Lawatan Paderi Paroki bersama rombongan St. Michael Malaikat Agung ke Gereja-gereja sekitar perkampungan Pensiangan. Pada 24 Januari 2017 seramai 37 peserta rombongan St. Michael Malaikat Agung bersama-sama dengan Paderi Paroki Roh Kudus Sook telah menyertai lawatan amal ke Gereja-gereja sekitar Perkampungan di Pensiangan. Lawatan ini telah disertai oleh tiga orang Paderi iaitu Rev. Fr Claudius Andrew, Rev. Fr Hilanus Simon yang telah memulakan pelayanan barunya di Katedral St.Francis Xavier pada 1 Febuari 2017, dan Rev. Fr Harry Dorisoh yang sebelum ini melayani di Paroki Bundu, Kuala Penyu dan seterusnya berpindah ke Paroki Sook menggantikan Fr.Hilanus Simon sebagai pembantu Paderi Paroki. Tidak ketinggalan juga yang turut menyertai rombongan iaitu Seminarian Wilfred James yang sedang menjalani Pastoralnya selama 4 bulan di Paroki Roh Kudus Sook.

2

Antara yang terlibat dalam lawatan ini Paderi, Misionaris Awam (KTM), para belia, Katekis, Umat, dan juga sebuah badan NGO iaitu World Vision.

3

Para rombongan mula bertolak daripada Gereja Roh Kudus Sook pada Pukul 9.00 pagi dengan diawali dengan doa yang dipimpin oleh Rev. Fr. Claudius Andrew. Semasa dalam perjalanan, rombongan berhenti berehat dan makan Tengahari di satu persingahan yang dinamai Karalilin, dan selepas itu perjalanan diteruskan  semula menuju ke Pensiangan dan tiba tepat pada pukul 3.00 Petang. Setibanya di Pensiangan rombongan berehat sebentar di rumah penginapan yang disediakan sebelum meneruskan aktiviti yang telah dirancang khas untuk kanak-kanak, belia, ibubapa dan warga emas sempena persiapan Jubli Perak Keuskupan Keningau yang mana aktiviti-aktiviti tersebut dikendalikan oleh Misionaris Awam (KTM), dan juga dibantu oleh beberapa orang belia yang turut serta dalam lawatan tersebut.

4

5

Pada hari seterunya, rombongan telah melawat umat di 3 buah kampung sekitar iaitu, Kg. Sibangali, Kg. Baybayasing dan Kg. Siaatu dengan menaiki bot. Lawatan ke 3 buah Kampung ini mengambil masa setengah hari dan balik semula ke penginapan. Pada sebelah petang pula, dalam jam 6.00 petang telah diadakan Misa Kudus yang dipimpin oleh Fr. Hilanus Simon yang dalam homilinya menyatakan, umat di Pensiangan ini haruslah selalu teguh dalam iman Katolik dan berani bersaksi bagi Kristus seperti St. Paulus.

6

Selesai sahaja Misa Kudus, umat di Pensiangan bersama-sama dengan rombongan merayakan perayaan Krismas, Tahun Baru, dan juga Kesyukuran Perpisahan Fr. Hilanus Simon yang pada ketika itu akan mula melayani di Katedral St. Francis Xavier pada 1 Febuari 2017 dan juga selamat datang kepada Fr. Harry Dorisoh juga Seminarian Wilfred James yang kini melayani di Paroki Roh Kudus Sook.

7

Keesokan harinya, rombongan bertolak ke Kg. Tikandis Salung dan tiba di Kampung tersebut pada tengahari. Setibanya di Kg. Tikandis Salung, rombongan disajikan dengan makanan tengahari, selepas itu rombongan berehat untuk membuat persiapan Misa Kudus. Sebelum Misa Kudus dimulakan Rev. Fr. Claudius Andrew dan juga Fr. Hilanus Simon telah menyempurnakan pemberkatan Gereja baru di Kg. Tikandis Salung itu, dan Misa Kudus berjalan seperti biasa.

8

Selepas sahaja Misa Kudus selesai, umat kampung tersebut juga merayakan kesyukuran seperti yang dirayakan oleh umat-umat di Perkampungan Pensiangan iaitu Perayaan Krismas, Tahun baru, dan juga Kesyukuran Perpisahan Fr.Hilanus Simon serta kedatangan Fr. Harry Dorisoh dan juga Seminarian Wilfred James.

Pada 27 Januari 2017, sebelum rombongan balik ke Paroki Roh Kudus Sook, ada beberapa aktiviti yang telah dijalankan oleh Misionaris awam (KTM) yang juga khas untuk kanak-kanak, belia, ibubapa, dan warga emas sempena persiapan Jubli Perak Keuskupan Keningau.

Sepanjang lawatan tersebut Rev. Fr. Claudius Andrew dan juga Fr. Hilanus Simon mengucapkan berbanyak-banyak terima kasih atas semua sumbangan yang diberikan oleh umat disekitar Paroki Roh Kudus Sook yang mana banyak membantu umat di Perkampungan Pensiangan sehinggalah di Kg. Tikandis Salung sepanjang lawatan tersebut, tidak kira dalam bentuk wang ataupun barang-barang keperluan seperti pakaian dan barang makan.