KG PULUTAN AKHIRNYA MEMPUNYAI SEBUAH RUMAH IBADAT

PGP1

KG PULUTAN, Sook – Umat dari Kg Pulutan pada 25 Mac yang lalu menyaksikan pemberkatan Chapel St. Theresa oleh YM Bapa Uskup Datuk Cornelius Piong. Upacara pemberkatan ini disaksikan oleh umat dari ZON Simbuan yang terdiri daripada KUK Simbuan, KUK Dumbun, KUK Mokotog dan KUK Pulutan. Seramai 150 umat hadir pada hari itu.

PGP4

PGP6

Upacara pemberkatan Chapel baru ini bermula pada jam 10 pagi dan dimulai dengan pemberkatan pintu masuk, pemberkatan air suci dan dilanjutkan dengan perayaan Ekaristi bersama umat setempat.

Dalam homili Bapa Uskup, beliau berpesan kepada umat yang hadir bahawa kehadiran mereka pada pagi itu bukanlah suatu kebetulan, melainkan satu undangan dari Tuhan sendiri. Bapa Uskup menekankan bahawa iman itu bersifat relasi ataupun hubungan dengan Tuhan. Kerana ia bersifat relasi/hubungan, maka kita harus menyempatkan diri, menyempatkan masa untuk berdoa secara peribadi, berkumpul sebagai satu komuniti dan merayakan Ekaristi/Ibadat Sabda, membaca dan merenungkan Firman Tuhan, merayakan Sakramen-Sakramen dan menghidupi kehidupan KKD (Komuniti Kristian Dewasa).

Lanjutnya, beliau berkata jika seorang Kristian Katolik tidak mahu mendekatkan diri dengan Tuhan dan Gereja-Nya, cepat atau lambat, orang itu akan terjerumus dengan godaan-godaan yang ditawarkan oleh dunia. Mudah membelakangi Yesus dan meninggalkan Dia. Bapa Uskup mengutip ayat dari Kolose 2:6-7 iaitu seorang Kristian Katolik haruslah berakar, bertambah iman dalam Dia dan sentiasa mengucap syukur atas segala yang dialami. Beliau turut menceritakan bahawa ramai orang Kristian yang mahu dibaptis dan menerima Yesus tetapi tidak mahu menjalankan tanggungjawab sebagai seorang pengikut Kristus.

PGP2

Dalam ucapan Pengerusi KUK Kg. Pulutan iaitu En. Billy Paten, beliau berterima kasih kepada Bapa Uskup yang sudi hadir pada hari itu untuk memberkati sekaligus merayakan perayaan Ekaristi bersama umat di ZON Simbuan. Beliau juga berterima kasih kepada umat di ZON Simbuan atas kemurahan hati dan kerjasama membangun Chapel St. Theresa hingga selesai.

Bapa Uskup dalam ucapannya juga berbangga kerana akhirnya Kg. Pulutan akhirnya memiliki sebuah bangunan rumah ibadat. Beliau meneguhkan iman umat di KUK Pulutan bahawa Tuhan tidak pernah meninggalkan mereka yang percaya kepada-Nya. Teruslah berharap dan teguh dalam iman, kerana hanya orang yang beriman sahajalah yang dapat melihat karya-karya Tuhan yang luarbiasa.

PGP8

Upacara pemberkatan dan perasmian Chapel St. Theresa Kg. Pulutan berakhir pada jam 11.30 pagi. Setelah itu, para undangan dan umat setempat bersama-sama menjamu makan tengahari sebagai ungkapan syukur dan terima kasih.

Sharing is caring!