BERSAMA KITA DIA WAFAT, BERSAMA DIA KITA BANGKIT

Renungan Malam PASKA (C)

Kej 1:1 – 2:22;     Kel 14:15 – 15:1;     Yes. 55:1-11;     Rom 6:3-11;     Luk 24:1-12

 

parasAda seorang pemuda bertemu dengan seorang pertapa dengan permintaan, “Tunjukkan kepadaku bagaimana saya dapat menemukan Allah.” Orang alim itu bertanya, “Berapa besar kerinduanmu ini?” Orang muda itu menjawab, “Lebih dari apapun di dunia ini.” Kemudian pertapa itu membawa pemuda tersebut ke tepi sungai dan mereka masuk ke dalam air sungai sampai paras leher. Kemudian pertapa menekan kepala orang muda tersebut ke dalam air. Orang muda tersebut berjuang dengan susah payah, tetapi pertapa itu tidak melepaskannya sampai dia hampir lemas. Ketika mereka kemali ke tepi sungai, pertapa itu bertanya, “Anakku, ketika engkau berada di dalam air, apa yang engkau inginkan lebih dari segalanya?” Tanpa ragu-ragu pemuda itu menjawab, “udara”. “Bagus, ketika engkau merindukan Allah seperti engkau menginginkan udara maka matamu akan terbuka terhadap keajaiban Allah.”

Apa sebenarnya yang kita ingini dan rindui? Perkara-perkara yang kita ingini masing-masing berbeza-beza, namun akhirnya keinginan-keinginan kita bersifat masing-masing itu akan menjadi sama, iaitu hanya tiga perkara sahaja. Pertama, kita merindukan cahaya untuk menerangi makna kehidupan ini. Kedua, keinginan untuk mengasihi dan dikasihi. Ketiga, kita merindukan kehidupan yang selamat, aman damai dan dipenuhi dengan kegembiraan hidup. Saya percaya setiap kita mengalami ketiga jenis keinginan ini pada satu-satu masa tertentu di dalam kehidupan kita masing-masing dan ini memang sungguh nyata berlaku.

Namun pada malam ini, kita orang-orang yang penuh keinginan dan kerinduan ini semua dapat bergembira ria. Kenapa? Sebab kita merayakan kisah tentang Yesus, Putera Allah yang wafat untuk kita dan bangkit untuk kita. Dia wafat untuk kita, atau dengan perkataan yang lebih baik lagi, Dia mati dengan kita. Para malaikat berkata kepada perempuan-perempuan yang ketakutan, “Dia harus… disalibkan” (Lk 24:7). Namun perkataan “Dia harus” itu bukan bererti hanya sekadar melakukan kewajiban-Nya. “Dia harus menderita” sebab demi kasih-Nya kepada kita. Dan kerana Dia mengasihi Kita, maka Dia menghendakinya, memerlukan dan Dia harus bersama kita di dalam segala kelemahan, kesengsaraan dan kematian kita.

Yesus bangkit -1Bersama kita, Dia wafat; bersama Dia, kita bangkit. Sebenarnya inilah inti kisah yang kita rayakan malam ini, iaitu cerita tentang Allah yang maha pengasih, kasih yang diterjemahkan melalui peribadi Yesus. Inilah sebabnya mengapa kita bergembira. Sebab melalui kematian dan kebangkitan Yesus, kita sedar bahawa kita tidak akan lagi mengalami kesengsaraan atau mati bersendirian tanpa teman, sebab Yesus sendiri telah mengalaminya, Dia ada bersama kita dan di dalam kita.

Selepas malam ini, apabila perayaan ini selesai, kita akan kembali ke dunia keluarga dan pekerjaan, ke dalam dunia kita yang nyata, ke dalam keadaan negara kita yang bergolak dengan pelbagai krisis politik yang tidak menentu serta krisis ekonomi yang sunguh menakutkan ini. Mungkin malam ini baiklah kiranya kita memohon daripada Tuhan Yesus, dua permohonan sederhana yang akan kita bawa pulang.

Pertama, kita mohon rahmat belas kasihan, rahmat untuk menjadi seperti Dia di tengah-tengah dunia yang serba bergerak ini, untuk tidak mudah takut turun ke bawah di mana terdapat banyak kesengsaraan dan kemiskinan. Menjadi terang Kristus di tengah-tengah masyarakat yang sungguh memerlukan bantuan kita.

graceKedua, kita mohon rahmat keberanian, iaitu rahmat pengharapan di dalam perbuatan: Rahmat keberanian menghadapi kehidupan, dengan penuh kegembiraan dan kemurahan hati kerana sedar bahawa Yesus sungguh merupakan Allah beserta kita. Beserta kita di dalam segala aspek kehidupan kita. Bersama kita dengan cahaya, dengan kehidupan yang sesungguhnya dan dengan kehangatan cinta kasih-Nya yang tidak pernah menjadi dingin.

Maka seandainya kita merindui dan sungguh mengingini agar Tuhan sentiasa bersama kita, maka tidak ada jalan lain. Sama seperti pengalaman pemuda yang bertemu dengan pertapa itu tadi maka kitapun demikian juga. Kita perlu menumpukan segala fikiran kita agar apapun yang kita lakukan setiap hari hendaknya Tuhan menjadi pusat segala aktiviti kita. Sebab, “Seluruh kepenuhan Allah berkenan diam di dalam Dia, dan oleh Dialah Ia memperdamaikan segala sesuatu dengan diri-Nya” (Kol 1:19-20). (JL)

Cadangan soalan refleksi peribadi dan perkongsian KKD.

  1. Mulai malam Paska, kita rayakan inti iman kita, iaitu Yesus Kristus sudah bangkit. Persoalannya, apakah makna kebangkitan Yesus itu bagi anda secara peribadi?
  2. Apakah perkara-perkara yang perlu anda ‘bangkitkan’ di dalam kehidupan harian anda?

Sharing is caring!