APAKAH KITA MEMBINA JURANG PEMISAH?

Renungan Hari Minggu Biasa Ke 26 ( C )

Amo. 6:1, 4-7              1Tim. 6:11-16              Luk. 16:19-31

Merenungkan tentang si orang kaya dan Lazarus mungkin kita bertanya kenapa orang kaya itu tidak masuk surga sedangkan Lazarus mendapat tempat dalam kemuliaan Allah di surga?  Apakah kerana orang kaya itu masuk neraka kerana dia kaya dan Lazarus masuk surga kerana miskin?

Kisah yang Yesus berikan dalam Injil hari ini mengajak kita untuk merenungkan dengan lebih dalam.  Seseorang yang kaya, banyak harta dan hidup mewah bukanlah sesuatu yang jahat.  Sebaliknya juga,  miskin bukanlah sesuatu yang baik dan syarat untuk masuk surga.

Kita melihat kepada orang kaya itu dimana dia begitu taksub dengan kekayaannya, berbangga dengan keberhasilannya menjadikannya hanya pentingkan diri sendiri.  Orang kaya ini menganggap kekayaannya itu adalah yang paling penting.  Dia tidak menyedari ada seorang pengemis miskin di dekat pintu rumahnya sementara dia bersukaria dalam kemewahannya.  Dia telah membina tembok dan jurang dengan orang yang tidak setaraf dengannya dan lebih-lebih lagi dengan orang miskin yang hina itu.  Hati orang kaya ini jadi beku, tiada belas kasihan kepada yang menderita dan miskin.  Jurang yang dibina oleh orang kaya ini dengan Lazarus semasa hidupnya telah menjadi jurang pemisah juga dalam kehidupan selepas kematian.

Dalam kehidupan kita sehari-hari, mungkin kita juga membina tembok jurang pemisah antara satu sama lain. Tidak murah hati dalam hal memberi pertolongan kepada mereka yang memerlukan. Menjauhkan diri dari orang yang tidak setaraf dengan kita.  Janganlah kita seperti orang kaya yang kikir tetapi orang kaya yang mempunyai belas kasihan kepada orang lain yang memerlukan.  Kita mohon rahmat Tuhan untuk merobohkan tembok-tembok kesombongan, keangkuhan dan pentingkan diri sendiri dalam hidup kita setiap hari.

 

SOALAN RENUNGAN

  1. Bagi anda, adakah hidup mewah itu sesuatu yang salah?
  2. Apakah tembok-tembok yang menjadi jurang pemisah antara saya, Allah dan sesama?

Sharing is caring!