ULANG TAHUN KELAHIRAN YANG KE-75 TAHUN BAPA USKUP CORNELIUS PIONG

Sumber : Herald Malaysia

KENINGAU: Uskup Cornelius bukan sahaja seorang Uskup bagi Keuskupan Keningau, tetapi dia juga seorang bapa, kini datuk, pemimpin dan penghulu! Pengalaman emasnya akan terus membantu Keuskupan Keningau untuk menjadi keuskupan sinodal! kata Kardinal Sebastian Francis, semasa majlis ulang tahun kelahiran ke-75 Uskup Cornelius Piong, pada Julai 1 lalu di Pusat Ziarah Keluarga Kudus, Nulu Sosopon.

Majlis ulang tahun itu juga bersempena perhimpunan Konferensi para Uskup Katolik Malaysia, Singapura dan Brunei kali ke-114. Turut hadir ialah Nunsio Apostolik ke Malaysia, Uskup Agung Wojciech Zaluski.

Majlis kesyukuran ulang tahun ke-75 Uskup Cornelius dimulakan dengan perayaan Ekaristi yang dihadiri para paderi Keuskupan Keningau, Keuskupan Agung Kota Kinabalu, rakan-rakan paderi seangkatan Uskup Cornelius Piong dan lebih tiga ribu umat.

“Terima kasih kerana kehadiran anda semua. Ini bukanlah perayaan untuk saya tetapi perayaan untuk kita semua,” ucap Uskup Cornelius yang memimpin perayaan Ekaristi pada petang Isnin itu.

Dalam nada gurau prelatus itu berkata, “Saya sendiri tidak menyangka dapat mencapai usia 75 tahun namun saya percaya Tuhan mengizinkan dan sentiasa memampukan saya untuk menjadi alat-Nya.”

Uskup bumiputera pertama di Sabah itu mengenang kembali semasa Keuskupan Keningau menyambut ulang tahun ke-25 pada tahun 2018.

“Saya berfikir dan bertanya apa lagi yang perlu kita lakukan supaya terus dapat berjalan bersama. Dan saya diinspirasikan dengan doa Yesus sebelum Dia meninggalkan murid-muridNya (Yohanes 17).

Yesus berdoa tiga perkara ini:

1.Yesus berdoa kepada Bapa agar para pengikut- Nya bersatu sama seperti kesatuan Dia dengan Bapa dan Roh Kudus

2.Perlindungan dari si jahat. Mari kita selalu mendekatkan diri kepada Tuhan agar Dia selalu melindungi kita dari si jahat. Jangan biarkan diri kita digunakan atau menajdi ejen syaitan!

3.Yesus berdoa supaya para pengikut-Nya hidup dalam kekudusan. Kekudusan bukan bermakna berlutut dan berdoa 24 jam sebaliknya menjadi alat atau saluran Yesus di mana sahaja kita berada.

Selepas Misa Kudus, acara diteruskan di Dewan Keluarga Kudus. Ada tujuh hal yang menarik semasa majlis di dewan iaitu: 

— pemberian hadiah berupa kereta pacuan empat roda kepada Uskup Cornelius, 

— pemberian gambar berbingkai berkat apostolik Sri Paus Fransiskus sempena ulang tahun ke-75 Uskup Cornelius yang disampaikan oleh Nunsio Apostolik 

— penerbitan buku mini biografi Uskup Cornelius Piong 

— pemberian hadiah patung Bonda Maria setinggi tiga kaki kepada Uskup Cornelius Piong oleh kakitangan Katedral St Francis Xavier dan Mision Kemabong 

— persembahan-persembahan kebudayaan (antaranya bertaraf antarabangsa) dari setiap paroki 

— hadiah kek seberat lebih lima kg oleh seorang ahli politik Islam, Datuk Annuar Ayub @ Banand 

— nyanyian khas lagu ciptaan Uskup Cornelius Piong “Maria Tina Za do Koupusan”: (Maria, bonda kami yang disayangi).

Uskup Cornelius Piong baharu sahaja menyambut ulang tahun episkopalnya yang ke-31 pada Mei 1, lalu. Terkenal dengan slogan “Kekitaan adalah Kebahagiaan”, Uskup Cornelius dilahirkan di Kg Kayul, Kuala Penyu pada Julai 1, 1949. Beliau ditahbis sebagai paderi pada Mac 27, 1977 dan dilantik sebagai uskup pertama Keuskupan Keningau pada Mei 6, 1993.

Anak tempatan Sabah boleh menggembala umat Tuhan pelbagai bangsa!

Paderi pertama yang ditahbis oleh Uskup Cornelius Piong iaitu Fr Paul Mikin pada September 9. 1993 mengatakan, “Tuhan mengaruniakan Uskup Cornelius Piong dengan sikap panjang sabar, kebapaan, kebijaksanaan, kesatuan, cinta kasih, kekudusan, kesetiaan, kerajinan, akal budi, relasi akrab dengan Tuhan, Putera dan Roh Kudus, sangat menghormati Bonda Maria serta membuktikan bahawa anak tempatan Sabah boleh menggembala umat Tuhan yang terdiri daripada pelbagai bangsa!”

Kardinal Sebastian yang merupakan rakan seangkatan Uskup Cornelius semasa menuntut di College General pada penghujung era 60 dan 70-an mengatakan, “Uskup Cornelius Piong merupakan anggota paling lama dalam Konferensi para Uskup Katolik Malaysia, Singapura dan Brunei. Secara jujur, Cornelius Piong adalah seorang insan yang sangat baik, pengikut Tuhan dan rasul yang setia, yang berani mendedahkan wajah Yesus melalui sikap yang sangat sederhana, sama ada dari segi percakapan mahupun tindakan.”

Sharing is caring!