GAYA HIDUP KITA MERUBAH SESAMA

Hari Minggu Adven Ke 4 (C)

Mik.5:1-4;      Ibr. 10:5-10;      Luk. 1:39-45

 

Ada sebuah lagenda tentang Ratu Sheba yang menceritakan bahwa pada suatu hari Ratu tersebut melawat Raja Sulaiman sambil membawa dua karangan bunga mawar sebagai hadiah. Satu karangan bunga asli sedangkan satu lagi adalah bunga tiruan. Menurut lagenda tersebut, Ratu Sheba mencabar Raja Sulaiman untuk menunjukkan kepadanya bunga mana yang asli dan mana yang tiruan.

ratu-sheba-2

Setelah memperhatikan bunga yang kelihatan sama saja itu, lalu Raja Sulaiman menyuruh orang membuka jendela istana seluas-luasnya dan membiarkan sekumpulan lebah masuk ke dalam istana yang dengan segera mengeremuni bunga-bunga mawar yang asli.

Demikianlah, Allah mengetahui perbezaan antara kebaktian yang tulus dan tidak tulus, pemberian yang ikhlas dan yang tidak ikhlas. Demikian juga Allah mengetahui motif kita yang sebenar apabila melawat sahabat handai atau saudara mara.

Di dalam Injil tadi terdapat suatu kisah lawatan yang sangat istimewa. Maria telah melawat Elizabet, saudaranya. Kisah ini biasanya ditekankan tentang keprihatinan Maria terhadap sesamanya yang memerlukan bantuannya.

maria dan elisabetPerjalanan dari kampung Maria ke tempat saudaranya, Elizabet memang sangat jauh. Menuru teman-teman yang pernah melawat ke tanah suci, tempat tersebut adalah suatu bukit yang curam dan lerengnya berceracak. Walaupun keadaan perjalanan yang tidak selesa, ditambah lagi dengan keadaannya yang sedang sarat mengandung, namun Maria tetap membuat lawatan tersebut dengan penuh keikhlasan. Inilah sikap seorang kristian yang sejati – prihatin dan komited terhadap keperluan sesamanya.

Saya melihat kisah lawatan Maria kepada Elizabet ini sebagai sebuah kisah tentang sifat kemanusiaan Maria. Dia ingin mengkongsikan kegembiraan dan misteri kehidupan yang baru di dalam dirinya kepada Elizabet, iaitu membawa Yesus di dalam kandungannya kepada Elizabet.

Melalui kisah lawatan tersebut, kita dapat merasakan bahawa setiap kita sebenarnya membawa Yesus di dalam diri kita masing-masing. Maka apabila kita melawat atau bertemu dengan sesama kita pada kesempatan-kesempatan yang memang disengajakan ataupun pada kesempatan-kesempatan yang tidak diduga, kita sebenarnya dapat memberi semangat, menguatkan dan mendorong segala usaha-usaha untuk menyembuhkan dan meringankan beban yang ditanggung oleh sesama kita.

Apabila kita melawat sahabat handai atau sanak saudara kita, kita harus membawa sikap kegembiraan kita yang ikhlas, yang sebenarnya merupakan hadiah atau buah tangan yang asli yang kita berikan kepada mereka.

Bermodelkan Maria, hendaknya kita melupakan keresahan sama ada kita selesa atau tidak bersama mereka, tetapi lebih-lebih menumpukan perhatian tentang bagaimana menyenangkan hati, membantu dan menyokong mereka yang kita lawati itu. Sebab Yesus sendiri pernah berkata, “Aku datang bukan untuk dilayani, melainkan untuk melayani” (Mk 10:45). Mungkinkah kata-kata Yesus ini diilhami oleh ibu-Nya sendiri, Maria?

Persoalannya sekarang, apakah kita ada masa untuk melawat terutama di masa Adven ini dan apakah kita ada rancangan untuk “balik kampung” pada hari Krismas nanti untuk melawat ibu bapa, sanak saudara, orang-orang yang terpinggir, saudara dan kawan-kawan kita yang terlantar di rumah sakit, di penjara dan di pusat-pusat pemulihan akhlak?

Ataukah kita hanya ada masa atau sengaja cari masa untuk melawat orang-orang yang kita rasa ada kepentingan seperti ‘bos’, majikan, rakan niaga dan pelanggan tetap?

Jerami-Dalam-Palungan

Beberapa ketika lagi kita akan merayakan bari kelahiran Yesus. Untuk itu marilah kita mencontohi Maria serta menjadikannya sebagai model kita apabila melawat handai taulan dan saudara mara kita. Bahawa keistimewaan Maria terletak pada kesederhanaannya dalam melaksanakan segala sesuatu di dalam nama Yesus, sehingga ramai umat manusia berubah kerana layanannya yang penuh dengan keikhlasan, keprihatinan, komited dan efektif itu.

Sebagai kesimpulan, rangkai kata berikut yang saya terima daripada pesanan ringkas daripada seorang sahabat mungkin boleh menjadi renungan kita selanjutnya: “Kehebatan seseorang itu bukan pada apa yang dia telah lakukan tetapi apa yang telah terjadi pada sesamanya kerana dia.” Perkara inilah yang telah dilakukan oleh Yesus sendiri, “Kerana kehendak-Nya inilah kita telah dikuduskan satu kali untuk selama-lamanya oleh persembahan tubuh Yesus Kristus” (Ibr 10:10). (JL)

 

Cadangan soalan refleksi dan perkongsian KKD.

1    Apakah hikmat yang anda perolehi melalui kisah Maria melawat Elizabet di dalam Injil tadi?

2   Menurut pengalaman anda apakah peranan dan pengaruh ibu anda dalam membentuk                   kepribadian dan keberadaan anda sekarang ini?

Cadangan aktiviti minggu ini.

Bersyukur dan hormatilah ibu anda, buatlah sesuatu yang terbaik untuk ibu anda minggu ini dan doakan tiga Salam Maria setiap hari khusus untuk ibu anda dan semua yang bergelar ibu agar dapat menauladani sikap Bonda Maria yang sungguh mulia itu.

Sharing is caring!