Renungan Hari Minggu Paska (A-B-C)
Kis 10:34,37-43; Kol 3:1-4; Yoh 20:1-9
Di suatu subuh yang indah, Maria Magdalena berdiri dekat kubur Yesus sambil menangis ia menjenguk ke dalam kubur yang kosong itu. Yesus berkata kepadanya, “Maria!” Lalu Maria mengenali suara tersebut. Dia bergegas pergi dengan hati gembira, memberitahukan khabar tersebut kepada para murid yang kurang percaya: “Aku telah melihat Tuhan!” (Yoh 20:18).
Pernyataan, “Aku telah melihat Yesus.” Merupakan pernyataan yang harus ada pada setiap mulut pengikut Kristus. Tetapi seringkali kita tidak menyedari akan keberkesananya sebab pertemuan kita yang pertama dengan-Nya sudah kabur akibat dimakan oleh masa.
Yesus pernah berkata, “Kerajaan Allah ada di antara kamu” (Lk 17:21), tetapi apakah fikiran kita memang percaya bahawa Dia ada di dalam kita? Di mana sebenarnya fikiran, kerinduan dan keinginan kita berada? Sekali lagi Yesus berkata: Di mana hartamu berada, di situ juga hatimu berada” (Mt 6:21). Jadi yakinkah kita bahawa hidup bersama dan di dalam Kristus perlu belajar “mematikan” keinginan-keinginan diri kita setiap hari?
Maka sempena perayaan Paska ini kita perlu “mengulang tayangkan” semula pertemuan kita dengan Kristus pada hari ini dan setiap hari agar keintiman kita dengan-Nya dieratkan lagi hari demi hari.
Kita boleh melakukan semua perkara ini melalui:
- Komunti Kristian Dasar (KKD). Sebab Yesus sendiri pernah berkata: “Di mana dua atau tiga orang berkumpul dalam nama-Ku, di situ Aku berada di tengah-tengah mereka” (Mt 18:20).
- Aksi kebajikan terhadap sesama seperti yang diingini oleh Yesus sendiri, “Sesungguhnya segala sesuatu yang kamu lakukan untuk salah seorang dari saudara-Ku yang paling hina ini, kamu telah melakukannya untuk Aku” (Mt 25:40).
- Perayaan Ekaristi. Sebab melalui pemecahan rotilah kita semakin dekat dan kenal siapa Yesus itu,” ketika itu terbukalah mata mereka dan mereka pun mengenal Dia” (Lk 24:31).
- Mendengar sabda-Nya. Sebab melalui sabda-Nyalah kita disegarkan serta diberi suntikan semangat baru seperti yang dialami oleh dua orang murid semasa perjalanan ke Emaus, “Bukankah hati kita berkobar-kobar, ketika Ia berbicara dengan kita di tengah jalan dan ketika Ia menerangkan Kitab Suci kepada kita? (Lk 24:32).
- Tanda-tanda zaman dan juga melalui sejarah. Sebab Yesus sentiasa menyertai kita
hingga ke akhir zaman seperti apa yang pernah dijanjikan-Nya, “Aku menyertai kamu senentiasa sampai kepada akhir zaman” (Mt 28:20).
Memang tidak mungkin merenungi salah satu keadaan yang saya sebutkan tadi tanpa timbul perasaan dari dalam sanubari yang bagaikan menginginkan sesuatu, seperti :”Jiwaku haus kepada Allah, kepada Allah yang hidup. Bilakah aku boleh datang melihat Allah?” (Mzm 42:3).
Sementara di dalam kehidupan seharian kita, kita sebenarnya berkesempatan untuk hidup dan menghidupi peristiwa Paska – kisah kesengsaraan, kematian dan kebangkitan Kristus. Bagi pasangan suami isteri yang mengalami krisis dalaman, masa inilah untuk melupakan apa yang sudah berlalu dan memulakan lagi untuk maju ke hadapan. “Maksudmu, saya harus melupakan segala yang telah dilakukannya – segala pembohongan, menduakan saya serta memperbodoh-bodohkan saya selama ini?” kata isteri-isteri yang pernah disakiti hati oleh suami-suami mereka. Jawapannya, “Ya 100%”. Jika pasangan kita mengaku bersalah dan berjanji untuk memulakan hidup yang baru. Jawapan ini bukan daripada saya sendiri tetapi ianya merupakan ajaran agama kita sendiri. Tentang mengampuni bukan 7 kali tapi 70 kali 7 kali (lih. Mt 18:22), alias tanpa batas dan tanpa syarat. Memang sukar jika difikir secara rasional tetapi jika hati kita dipenuhi dengan cinta kasih Yesus perkara mengampuni sesama yang bersalah bukan lagi satu persoalan yang sukar bagi kita.
Suatu ketika ada seorang ayah pergi mengikuti retret khas untuk bapa-bapa sempena persiapan menyambut perayaan Paska. Apabila balik dari retret tersebut, sebagai tanda bahawa dia sudah berubah sepenuhnya daripada sikap suka marah-marah, tidak sabar, suka menengking dan sebagainya, dia menulis pada kertas tebal semacam poster dan menggantungkannya di pintu bileknya yang berbunyi: “Di sini hidup seorang manusia yang baru. Orang yang lama sudah mati dan dikebumikan.”
Seisi rumah tersebut sangat bergembira tentang perubahan sang ayah yang cukup mendadak itu. Tetapi beberapa minggu kemudian sikapnya yang negetif itu mulai timbul semula.
Suatu hari, salah seorang anaknya memberanikan diri mendekati bilek sang ayah lalu menulis di bawah poster tersebut dengan kata-kata: “Tetapi pada hari ketiga orang lama itu bangkit semula dari alam kematian.”
Sama seperti Kristus, kita semua pun mempunyai Kalvari dan Jumaat Agung kita tersendiri. Dan ini boleh bererti pengalaman kita gagal dalam usaha memperbaiki diri, seperti yang dialami oleh sang ayah tadi. Tetapi, sama seperti Yesus, kita pun akan tahu dan merasakan kecantikan dan kegembiraan kebangkitan jika terus berusaha ke arah itu. Dan jika kita tetap tinggal di dalam kasih-Nya, dan menjadi saksi terhadap kebangkitan-Nya maka akhirnya sama seperti Maria Magdelina, kitapun dapat bersaksi kepada semua orang: “Aku telah melihat Tuhan,” Alleluia!! (JL)
Cadangan soalan untuk refleksi peribadi atau perkongsian KKD.
- Bagaimanakah anda mengenal suara Tuhan di dalam kehidupan harian anda?
- Menurut anda, bagaimana caranya mengajak sesama kita supaya mereka pun dapat berkata ‘Aku melihat Tuhan,’ di dalam kehidupan harian mereka?
Cadangan aktiviti minggu ini.
Ucapkan selamat hari Paska kepada semua teman-teman jauh dan dekat melalui media sosial – SMS, Face book, tweeter, radio FM untuk mengeratkan tali persaudaraan dan saling menyedarkan bahawa Tuhan kita Yesus Kristus, hidup dan ada bersama kita.