Renungan Hari Minggu Biasa Ke 11 ( C )
2Sam.12:7-10.13 Gal. 2:16,19-21 Luk.7:36 – 8:3
Dalam zaman sekarang, dalam apapun bidang sama ada berkaitan dengan politik, ekonomi, sosial dan pendidikan, manusia sanggup melakukan apa sahaja yang dia fikirkan dapat meneruskan hidupnya di dunia ini tanpa mengambil kira apakah akibat dari perbuatannya itu. Segala tindakan dilihat “dibenarkan” (justified) kerana semuanya itu menyokong untuk menjaga kehidupan manusia atau kekal dalam memegang kuasa. Ada tindakan-tindakan yang disembunyikan atas nama kebaikan umum dan ada juga tindakan-tindakan yang motifnya sangat ketara. Keinginan manusia yang ingin menguasai segala-gala tidak lagi dilihat sebagai dosa.
Dalam bacaan pertama memberitahu kepada kita bahawa raja Daud yang dipilih oleh Allah memimpin umat-Nya telah melakukan dosa yang sangat serius. Oleh kerana dia didorong oleh hawa nafsu maka dia sanggup membunuh orang yang paling setia kepadanya(Uria) semata-mata mahu memiliki isterinya yang cantik iaitu Betseba. Namun, melalui Natan Tuhan menegur Raja Daud atas perbuatannya yang jahat itu. Dengan teguran itu maka raja Daud akhirnya dengan rendah hati mengakui dosanya itu dan dia segera bertobat. “Tuhan telah mengampuni dosanya.”
Dalam Injil pula menampilkan seorang perempuan yang sangat terkenal dengan perbuatan yang tidak baik. Ketika perempuan itu memasuki rumah Simon, semua orang segera mengenali dia sebagai seorang pendosa dan terhina dalam masyarakat. Perempuan itu telah menarik perhatian sehingga orang-orang yang berada disitu termasuklah orang-orang farisi membuat penghakiman terhadapnya. Pada masa yang sama perempuan itu tertarik dengan Yesus. Bagaimana pula kita melihat orang lain; sahabat, ahli keluarga, ahli dalam komuniti, sesama umat di paroki? Bagaimana pula mereka melihat diri kita sendiri? Bagaimana pula Yesus melihat kita dan orang lain?
Simon melihat dan menghakimi, bukan sahaja perempuan itu tetapi juga Yesus. Bagi Simon, jika Yesus benar-benar nabi maka sepatutnya dia tidak membenarkan perempuan itu menyentuh dia. Itu dapat menimbulkan skandal! Simon dikuasai oleh sikap suka menghakimi sehingga dia tidak lagi dapat melihat hati dan kasih melalui tindakan perempuan itu juga tidak dapat melihat sikap belas kasih yang ditunjukan oleh Yesus yang menerima perempuan itu dengan penuh pengampunan.
Perempuan itu memiliki satu kekuatan iaitu sikap mahu bertobat dan kasih yang mendalam. Dia sama sekali tidak melakukan itu tanpa kehadiran rasa tobat dan kasihnya kepada Yesus sehingga dia tidak lagi peduli dengan kata-kata orang lain. Dia hanya mahu menyatakan kasihnya yang mendalam terhadap Yesus. Tindakan perempuan dengan membawa minyak wangi, menangis, membasuh Yesus dengan air matanya dan menyekannya dengan rambut adalah ungkapan kasihnya yang tidak terhingga.
Yesus mengetahui fkiran Simon, orang-orang farisi dan semua orang yang ada disana. Dia memberitahu satu perumpamaan tentang dua orang yang berhutang, yang satu hutang sedikit dan yang satu lagi berhutang banyak. Kedua-duanya tidak mampu membayar dan akhirnya hutang mereka dilupuskan. Yesus bertanya mana satu yang lebih mengasihinya Dia. Simon menjawab bahawa orang yang mempunyai hutang yang banyak yang lebih mengasihi Dia. Perempuan itu dilihat seorang yang berhutang banyak yang mencurahkan kasihnya kepada Yesus dan hasilnya dia mendapat pengampunan dari Yesus. Orang yang menganggap dirinya tidak berdosa , tidak akan dapat mencurahkan kasihnya kepada Tuhan kerana mereka yang saleh tidak memerlukan pengampunan dari Tuhan. Sikap yang menganggap diri mereka lebih baik dari orang lain menutup rahmat kasih Tuhan dicurahkan ke atas mereka. Kasih yang benar datang dari hati yang bertobat dan bertobat dengan rendah hati akan menerima buah pengampunan yang berlimpah-limpah.
Pada hari ini Yersus mengajak kita untuk menerima satu kenyataan bahawa kita memerlukan belas kasih Tuhan kerana hanya dengan mengalami belas kasih Tuhan kita mendapat pengampunan. Bila kita disentuh dengan belas kasih Tuhan maka disanalah kita ada masa untuk mengasihi orang lain dan bukan menghakimi. Sta. Theresa dari Kalkuta mengatakan, “Bila kita menghakimi kita tidak ada masa untuk mengasihi orang lain.”
“Percayalah bahawa Tuhan tidak pernah merasa penat mengasihi kita. Disebaliknya kitalah yang seharusnya merasa penat mencari dan menemui belas kasih Tuhan kepada kita.” (Sri Paus Francis)
Soalan renungan.
- Pernahkah anda berusaha mencari dan menemukan belas kasih Tuhan?
- Apakah hasilnya yang kita perolehi bila kita sering menghakimi orang lain?
- Berapa kerapnya anda pergi menerima sakramen pengakuan?