PERSIAPAN DALAMAN LEBIH PENTING DARIPADA PERSIAPAN LUARAN

Renungan Hari Minggu Adven Ke-2

Yes 40:1-5.9-11; 2Pet 3:8-14;  Mrk 1:1-8

Sewaktu masih berada di alam persekolahan beberapa tahun yang lalu, saya teringat akan seorang paderi yang menjadi pengetua sekolah kami sekaligus sebagai paderi paroki di paroki kami.

Beliau cukup dihormati dan disegani oleh para guru, murid dan umat yang digembalakannya. Tidak hairanlah beliau sering kali dijemput untuk menghadiri pelbagai pesta. Suatu malam minggu, paderi tersebut membawa beberapa orang belia termasuk saya untuk menghadiri makan malam di rumah seorang kenamaan. Sementara kami sibuk menikmati makanan yang begitu banyak di atas meja, saya menyempatkan diri bertanya kepada paderi tersebut, “Father, apa tujuan pesta makan malam ini?” lalu beliau menguis kaki saya sambil berbisik, “Kau diam sajalah. Teruskan menikmati makananmu. Saya sendiri tidak tahu apa tujuan pesta makan malam ini.”

Paderi yang disukai ramai waktu itu sudah lama meninggal dunia, tetapi pengalaman tersebut sungguh mengingatkan saya bagaimana kita telah merayakan Krismas tahun demi tahun. Bukankah kita pun pada waktu perayaan Krismas, “Makan, minum dan bergembira,” tetapi selalu lupa mengapa dan apa tujuan kita mengadakan perayaan Krismas itu?

makananPokok pangkal masalah yang sebenarnya adalah berasal daripada masyarakat kita yang semakin moden ini, telah memperdagangkan perayaan Krismas tersebut sedemikian rupa sehingga kita lupa mana kek yang sebenar dan mana yang hanya aising belaka. Walhal Krismas itu adalah suatu peristiwa keagamaan. Kita merayakan hari kelahiran Sang Juruselamat kita yang datang ke dunia ini sekitar dua ribu tahun yang lalu.

Memang terdapat bahaya di mana kita kehilangan tujuan yang sebenar dengan cara mengesempingkannya walaupun mungkin tidak disenjagakan di mana persiapan dalaman dilupakan dan persiapan luaran diwar-warkan secara menarik dan menghiburkan hati. Nyatanya, persiapan Adven memang tidak sukar namun tidak mudah juga. Yang penting kita berusaha mendisiplinkan diri dengan harapan agar Tuhan membantu kita untuk berubah semakin baik.

Jika kita pelajari pengalaman Yohanes serta tokoh-tokoh padang pasir di dalam Kitab Suci, maka untuk menjadi seseorang yang sentiasa berdoa memerlukan tiga pendekatan: kesederhanaan, ketenagan dan bersendirian. Ketiga-tiga cara ini boleh kita jadikan sebagai sebahagiaan daripada latihan adven kita walaupun tidak ada padang pasir di tempat kita. Pendik kata pengalaman padang pasir boleh dilakukan di mana sahaja kita berdoa untuk dekat pada Tuhan. Boleh di belakang rumah, di bilik rehat, di taman bunga, dalam kereta malah di tengah-tengah kesibukan bandar raya pun boleh, yang penting ada kemahuan untuk memulakan tanpa menunggu masa dan tempat yang sesuai. Dalam kata lain, kita perlu ambil masa bukan menunggu sampai ada masa.

Cara seterusnya untuk persiapan Adven adalah mengongsikan apa yang kita miliki dengan sesama kita yang serba kekurangan. Tetapi kadang-kadang kita tergoda memberi derma yang banyak kepada orang yang miskin pada waktu Krismas kerana kita mahu nama kita atau syarikat kita terpampang di muka depan surat khabar. Dengan berbuat demikian maka aksi memberi derma tersebut mempunyai, “Udang di sebalik batu” yang pastinya nilai syurgawinya kurang atau sia-sia belaka.

Memang ada ramai orang pernah mencadangkan agar perayaan Krismas ini dimansuhkan sahaja kerana menurut mereka perayaan krismas ini membuat orang miskin bertambah miskin dan orang kaya pula semakin kaya kerana mengaut keuntungan dengan cara memperdagangkan perayaan Krismas tersebut demi kepentingan mereka. Malah musim Krismas hanya memperlihatkan kita suatu drama kehidupan perbezaan di antara orang-orang kaya yang boleh membeli belah sesuka hati dengan mereka yang hanya sanggup ‘mencuci mata’ melihat barang-barang keperluan perayaan Krismas yang dipajangkan di depan pintu gedung membeli belah.

Namun perayaan Krismas yang kita rayakan sejak turun temurun, pasti tidak akan dapat dimansuhkan. Lagi pula, sekiranya orang-orang yang cukup berada boleh mengongsikan segala berkat kelimpahan yang mereka terima dari Tuhan, maka pastilah mereka akan membawa kegembiraan dan mengurangkan beban kesusahan orang-orang yang kurang berkemampuan dari segi ekonomi.

hati

Akhirnya, oleh kerana perayaan Krismas ini adalah perayaan perdamaian di antara manusia dengan Allah yang dibawa oleh Kristus melalui kelahiran-Nya, maka kita sebenarnya dapat mengusahakan perdamaian tersebut. Contohnya bagi mereka yang sudah lama tidak bertegur sapa atas sebab perselisihan yang remeh temeh, maka inilah masanya untuk saling memaafkan, mengampuni dan melupakan.

Dan jangan lupa, pergi membuat pengakuan yang baik. Sebab pengakuan yang sederhana dan sungguh dari dalam hati yang bertaubat boleh “Meluruskan jalan kita dan perjalanan kita menjadi selesai” (Lih Lk 3:5).

Jika kita mempersiapkan hati kita untuk kedatangan Tuhan di hari Krismas lebih dai sekadar persiapan duniawi belaka, maka percayalah, perayaan Krismas kita lebih ceria, penuh makna dan penuh kegembiraan sejati yang sifatnya kekal dan syurgawi. (JL)

Cadangan soalan peribadi dan perkongsian KKD:

1. Apakah persiapan yang terbaik yang boleh kita lakukan dalam masa Adven ini?

2. Apakah penyebab yang sebenarnya makna Krismas semakin kabur di mata kaum muda di zaman sekarang dan bagaimana memperbetulkannya?

Cadangan aktiviti minggu ini.

Ambil masa untuk menghadiri saat teduh, pertemuan KKD, seminar atau rekoleksi anjuran gereja anda tentang persiapan krismas tahun ini. Jangan lupa mengambil masa khusus untuk datang menerima sakramen Tobat.

Sharing is caring!