TINGKATKAN TARAF HIDUP IMBANGI DENGAN HIDUP ROHANI

Renungan Hari Minggu Biasa Ke 16 ( C )

Kej.18:1-10a                Kol.1:24-28                  Luk.10:38-42

Bacaan Injil minggu ini memperlihatkan satu situasi di mana Maria dan Martha menerima kehadiran Yesus di rumah mereka.  Martha sibuk sekali melayani  dan tentunya dengan menyediakan masakan dan minuman berbagai jenis untuk tetamu yang istimewa ini.  Sedangkan Maria duduk di kaki Yesus mendengarkan Dia dengan penuh perhatian.

mary n marthaMemang banyak yang perlu disediakan sehingga Martha menjadi cemas dan mengharapkan bantuan dari Maria.  Yesus seakan-akan tidak peduli dengan keadaan Martha, maka dia meminta agar Yesus menyuruh Maria untuk membantunya.  Tetapi Yesus bukannya menyuruh Maria, malah memuji  tindakan Maria yang telah memilih bahagian yang terbaik. Yesus kerapkali mengatakan bahawa Dia datang untuk melakukan kehendak Bapa.  “Makanan Ku ialah melakukan kehendak Dia yang mengutus Aku” (Yoh 4:34).  Keutamaan ini membolehkan kita memahami mengapa Yesus memuji pilihan Maria yang duduk di kaki Yesus dan mendengarkan-Nya.

Maria dan Martha adalah gambaran kepada dua cara manusia dalam menyambut Yesus dalam kehidupan sehari-hari.  Martha coba memahami Yesus menurut pandangannya sendiri dan bukan menurut yang dikehendaki Yesus. Martha gagal memahami apa yang Yesus kehendaki iaitu kehadiran penuh perhatian bersamaNya. Banyak sekali yang harus dilakukannya sehingga dia tidak dapat melaksanakannya.  Pelayanan Martha akhirnya kehilangan daya tarik, menjadi tawar akhirnya kehilangan berkat.  Sementara Maria yang duduk dengan penuh perhatian mendengar Yesus.  Maria dapat menanggapi apa yang dikehendaki oleh Yesus iaitu kehadiran penuh perhatian terhadapNya.

question-mark1Sikap Martha dan Maria ini ada dalam diri kita masing-masing.  Kebimbangan dan kesibukan mengenai perkara-perkara duniawi membuatkan tumpuan kita berbelah bagi terhadap Tuhan.  Kita diajak untuk memberikan masa untuk Tuhan, menyerahkan segala kerisauan dan kesibukan kita kepada Tuhan kerana hidup yang penuh kesibukan menjauhkan kita dari Tuhan. Tidak dinafikan, meningkatkan taraf hidup kita adalah sesuatu yang baik dan penting.  Tuntutan kelangsungan hidup sesungguhnya bukan mudah.  Janganlah kiranya disebabkan mengejar harta di dunia ini membawa kita jauh dari Tuhan.  Kita imbangi kedua-duanya.

Jika kita membaca pembacaan pertama, Abraham juga begitu sibuk melayani tetamunya yang singgah di khemahnya.  Dia menyediakan hidangan yang terbaik.  Ternyata tetamu itu adalah malaikat Tuhan.  Dibandingkan dengan Martha, Abraham melakukan semuanya dengan penuh ikhlas tanpa bersungut-sungut.  Akhirnya Abraham mendapat ganjaran dimana dia akan mendapat anak laki-laki.

Apakah kisah Maria dan Martha ini menyentuh kita?  Marilah kita belajar dari Martha dan Maria.  Apakah pelayanan seperti Martha yang tanpa kita sedari berakhir pada sikap mengabaikan Tuhan?  Marilah kita sama-sama memohon bimbingan Roh Kudus agar diberi kebijaksanaan dalam mengatur dan mengimbangi kehidupan kita sehari-hari. Dalam usaha meningkatkan taraf hidup kita tingkatkan juga hidup rohani kita.

SOALAN RENUNGAN

  1. Di dalam gereja terdapat banyak bentuk pelayanan yang memerlukan anda…pelayanan yang bagaimanakah yang ingin atau sedang anda lakukan?
  2. Apakah cara yang terbaik untuk mengimbangi keperluan rohani dan jasmani dalam kehidupan saya setiap hari?

Sharing is caring!