SETIA MENGIKUTI DIA WALAU DALAM APA KEADAAN SEKALIPUN

Renungan Hari Minggu Biasa Ke 23 ( C )

Keb. 9:13-18      Flm.9b-10.12-17      Luk.14:25-33

 

Tuntutan untuk menjadi murid dan mengikuti Yesus adalah sungguh mahal.  Ianya melibatkan penyangkalan diri dan pengorbanan.   Yesus menyatakan dalam Injil hari ini bahawa kita mesti “membenci” keluarga kita dan juga diri kita sendiri untuk layak mengikuti-Nya dan seterusnya memikul salib setiap hari.  Yesus menggunakan bahasa yang keras  “harus membenci” untuk menjelaskan Allah adalah keutamaan dan nombor satu dalam kehidupan kita.  Sepertimana Yesus telah melaksanakan kehendak Bapa, justeru Dia menawarkan kepada kita harta yang tidak ternilai iaitu kebahagiaan, damai sejahtera dan sukacita sejati dan kekal bersama Allah Bapa di dalam Kerajaan Surga.

Harga atau kos yang telah dilunaskan oleh Yesus agar kita memperoleh kehidupan kekal adalah sungguh mahal, iaitu melalui jalan salib; kesengsaraan, kematian-Nya di kayu salib dengan darah-Nya yang tercurah kita memperoleh belas kasihan Allah.   Bagi mendapatkannya, kita perlu bersedia untuk memberikan hidup kita dan bersedia untuk mengikuti Yesus melalui jalan salib.  Jika kita ingin berkongsi dalam kemuliaan dan kemenangan-Nya kita perlu “mengira kos” sepertimana seseorang yang ingin membangun sebuah bangunan.

Kita selalu melihat bangunan yang terbengkalai, yang terbiar hanya separuh siap atau hanya rangkanya saja yang berdiri yang mulai ditumbuhi rumput-rumput menjalar dan lumut-lumut hijau mulai kelihatan. Projek pembangunan terhenti kerana “peruntukan sudah habis!”.  Tentunya projek yang tidak selesai menjadi bahan tertawaan.  Orang-orang yang melihat mula bertanya-tanya, “projek siapa ini?”.

Yesus mengingatkan kita melalui bacaan Injil hari ini untuk memiliki kebijaksanaan hidup.  Dalam hal mengikuti Yesus bukanlah berdasarkan perasaan semata-mata. Ada yang mengatakan, perasaan tidak boleh dipercayaai, kerana ia boleh berubah-ubah mengikuti keadaan. Bukan juga kerana mahu “ikut-ikutan” seperti orang yang berduyun-duyun mengikuti Yesus dalam perjalanan-Nya.  Seseorang itu harus sanggup, mantap dan setia dalam mengikuti Dia walau dalam apa keadaan sekalipun.

Salah satu kebijaksanaan hidup dalam mengikuti Yesus adalah dengan berani meninggalkan apa yang dipandang sebagai “milik peribadi”, iaitu perkara-perkara yang membuat diri kita terikat mahupun ketergantungan dan meletakkan Tuhan menjadi nombor dua.  Selalu berani menanggung risiko menderita dan berani memberi kepercayaan kepada Yesus sebagai satu-satunya jaminan dan pegangan hidup.  Sebagai manusia, kita tidak berdaya memikul salib setiap hari tetapi oleh kasih karunia Allah kita dapa melakukannya.

Kita diingatkan oleh penulis Kitab Kebijaksanaan bahawa Allah menganugerahkan kita kebijaksanaan dan Roh Kudus yang menuntun kita jalan kepada Allah.  Rahmat kasih Allah mendorong kita untuk memilih Dia menjadi NOMBOR SATU dalam kehidupan kita.

SOALAN RENUNGAN

  1. Apakah “salib” dalam hidup saya?
  2. Siapakah yang menjadi nombor satu dalam hidup anda?

Sharing is caring!