TENOM : Bermula pada 30 Mei hingga 13 Jun 2019, Komiti Ziarah Paroki St. Anthony telah mengadakan ziarah Statue Santo Antonius sebagai salah satu aktiviti persediaan menuju Ulang Tahun Keuskupan Keningau yang ke 26 peringkat paroki.
Statue ini telah dibawa berziarah ke beberapa KUK yang mewakili setiap zon iaitu, Gereja Kristus Bangkit, Tipoh (Zon 1), Gereja St. Maria, Melalap (Zon 2), Gereja Tritunggal Mahakudus, Paguokon (Zon 3), Gereja St. Joseph, Batu-Batu (Zon 4) dan Gereja St. Anthony (Zon Pusat).
“Melalui perjalanan ziarah ini, pasti akan membuatkan kita menemukan semula apa yang hilang di dalam pelayanan kita iaitu kesatuan,” jelas Rev. Fr. Ronnie Alfred Luni semasa Misa Pelancaran ziarah ini.
Katekesis Sejarah Keuskupan Keningau, kesaksian dari umat dan Doa Syafat di depan Statue Santo Antonius antara pengisian program yang dijalankan semasa Statue St. Antonius berada di setiap Zon.
Ada ketika, walaupun hujan lebat, umat tetap meneruskan perjalanan untuk mengusung Statue St. Antonius untuk tiba di destinasi sepatutnya. Ini menjadi gambaran jelas bahawa Ziarah ini telah membangkitkan lagi semangat pelayanan, kesatuan dan kesanggupan dikalangan umat, khususnya di Paroki St. Anthony, Tenom. KOMSOS SAT, KUNANG2