ULANG TAHUN PZKKNS YANG KE-8

Artikel oleh : Juanis bin Marcus

Gimik Perasmian yang disempurnakan oleh YM Bapa Uskup Cornelius Piong
Salah satu “Baloi” yang dibina di kawasan yang digelar Perkampungan Nazareth

Nulu Sosopon, Keningau – Paroki Katedral St.Francis Xavier, Keningau meraikan Hari Raya Tubuh dan Darah Kristus, pada 2 Jun 2024 yang lalu dengan merayakan Ulang Tahun Pusat Ziarah Keluarga Kudus, Nulu Sosopon(PZKKNS)  kali yang ke-8.

Turut dirayakan bersama adalah Ulang Tahun Keuskupan Keningau yang ke-31 peringkat PZKKNS, Ulang Tahun Pentahbisan Uskup Cornelius Piong, dan Pesta Kaamatan.

Misa Kudus Perayaan diselebrankan oleh Bapa Uskup Cornelius Piong. Dalam homilinya, prelatus itu menyatakan rasa syukur kerana dapat menyambut ulang tahun pusat ziarah tersebut serentak dengan Hari Raya Tubuh dan Darah Kristus.

Prelatus itu menerangkan bahawa Hosti yang kita santap setiap minggu itu adalah benar-benar tubuh dan darah Kristus. “Semasa perjamuan terakhir Yesus menjelaskan bahawa roti dan anggur yang mereka(rasul) makan dan minum adalah tubuh dan darahNya, oleh itu apa yang kita lakukan setiap minggu bukanlah sekadar suatu lakonan tetapi melalui Hosti Kudus kita bersatu sungguh-sungguh dengan Yesus,”jelas prelatus itu.

Prelatus itu turut menambah, bagaimana untuk sentiasa dapat merasakan kehadiran Yesus dalam kehidupan kita adalah dengan mengamalkan gaya hidup yang sentiasa berdoa. “Di Keuskupan Keningau, kita ada banyak tempat untuk beribadah, salah satunya, kita mempunyai adorasi hampir 24 jam di Rumah Retret Keuskupan Keningau, Tatal, datanglah selalu ke sana untuk berdoa,” seru prelatus yang menyambut ulang tahun pentahbisannya yang ke 31.

Semasa sesi ucapan pula, pengerusi penganjur perayaan, Katekis Gilbert Timun mengucapakan terima kasih kepada Uskup Cornelius Piong dan kepada semua yang hadir untuk memeriahkan perayaan 4 dalam 1 tersebut. “Khusus kepada Tim Sukacita, kerana berhempas pulas menjayakan perayaan pada hari ini,” ujar beliau menutup ucapannya.

Selepas misa, Bapa Uskup Cornelius Piong bersama dengan para jemputan, dan ajk penganjur membuat lawatan ke “Baloi” (Pondok) Tradisi yang dibina disebuah kawasan dalam pusat ziarah tersebut. Istimewanya, kawasan tersebut diberi gelar Perkampungan Nazareth. Baloi-baloi tersebut dibina oleh Zon atau Kuk yang berdekatan dengan pusat ziarah. Turut diadakan persembahan-persembahan tradisi dan cabutan tiket bertuah.

Pusat Ziarah Keluarga Kudus, Nulu Sosopon adalah salah satu mercu kebanggaan bagi Keuskupan Keningau. Mula dibina pada tahun 2015, siap sepenuhnya pada tahun berikut, dan diberkati oleh Yang Mulia Bapa Uskup Cornelius Piong pada 4 Jun 2016. Pembinaannya juga pada ketika itu  dianggap sebagai sebuah hadiah bagi keuskupan yang bakal menyambut ulang tahun jubli perak yang ke-25 tahun.

Sharing is caring!