ULANG TAHUN KOMITI MIGRAN PAROKI TENOM

“KITA SEMUA ADALAH MIGRAN PADA MULANYA, KERANA ITU KITA JUGA BERZIARAH DI DUNIA INI

Tenom:- Buat julung kalinya, komiti migran di Paroki St. Anthony Tenom mengadakan Ulang Tahun penubuhannya yang ke-16 sekaligus menyambut hari kemerdekaan Republik Indonesia yang ke-77. Pelbagai aktiviti yang dijalankan sepanjang hari tersebut dan ditutup dengan Misa Kudus pada sebelah petangnya. Misa kudus diselebrankan oleh Pembimbing Rohani komiti tersebut iaitu Rev Fr. Anthony Mikat. Kelihatan juga Rev Fr Ronnie Alfred Luni juga turut serta pada misa petang itu.

Selesai misa, perayaan diteruskan dengan sesi ucapan dan didahului oleh ucapan daripada Ibu Veronica selaku Pengerusi Komiti Migran SAT. Dalam ucapannya, ibu Veronica menjelaskan bahawa komiti Migran ditubuhkan secara sah di paroki St. Anthony Tenom pada 16 tahun yang lalu dibawah kepimpinan En Jimmy Jawatah mantan pengerusi MPP ketika itu bersama dengan mendiang Bapa Antonius Ara selaku pengerusi komiti. Ibu juga memperkenalkan Fr. Anthony Mikat sebagai Pembimbing Rohani mereka di peringkat paroki. Menurutnya setelah melalui pelbagai cabaran semasa endemik ini, ibu berusaha untuk bertemu dengan SD komiti agar hari ulang tahun komiti ini dapat dilaksanakan diperingkat paroki. Usahanya akhirnya berbuah apabila mendapat sokongan daripada SD dan Paderi Paroki, Rev. Fr Ronnie Luni.

Mewakili komiti, Ibu Veronica turut mengucapkan terima kasih mereka kepada para penyumbang dan juga umat umat di seluruh Paroki SAT dan juga Mission kerana turut menjayakan perayaan mereka itu. Katanya lagi, apapun perbezaan kita, kita tetap satu sebagai pengikut Kristus yang melayani dan membantu satu sama lain. Sungguh pun mengalami pelbagai cabaran beliau berharap agar seluruh ahli komiti migran melibatkan diri didalam pelayanan dengan berbagi talenta yang diberikan kepada setiap umat migran. Katanya; pelayanan tidak meminta orang yang pintar, pelayanan tidak meminta orang orang kaya, pelayanan tidak meminta orang orang yang berpangkat. Pelayanan adalah kesanggupan kita untuk melibatkan diri dari hal hal yang kecil untuk kemuliaan Tuhan. Beliau menutup ucapannya dengan sebuah harapan agar komiti migran mendapat sokongan dari semua komiti di SAT dan turut berharap agar komiti mereka berjalan bersama di dalam satu komuniti.

Sesi ucapan diteruskan oleh Fr Anthony Mikat selaku SD komiti tersebut. Katanya komiti migran adalah sebuah komiti yang sangat sangat kuat. Mereka datang mencari nafkah namun tetap mempertahankan iman mereka dimana mereka berpijak. Tetapi jika kita lihat hari ini terlalu banyak karenah birokrasi yang berlaku terhadap mereka. Kita dapat lihat birokrasi terhadap mereka berlaku saat Kelahiran, kematian, perkahwinan dan sebagainya. Namun semua ini tidak melemahkan iman mereka malah mereka semakin kuat untuk berjuang denan bersandarkan iman kepercayaan mereka terhadap penyertaan Kristus, tambahnya. Mereka sebenarnya datang ke sini untuk mencari nafkah, menghidupi keluarga mereka di seberang mahupun yang ada disini tetapi seringkali mereka alami birokrasi. Banyak hal yang dipandang remeh oleh pihak tertentu terutama hak hak mereka. Jurang birokrasi itu sangat ketara berlaku. Klerus itu berharap di dalam hal keagamaan dan kerohanian mereka tidak dipinggirkan. Dalam usaha menyahut cabaran pastoral katanya, pelbagai cara telah dilakukan untuk membantu dan memudahkan golongan migran ini contohnya soal perkahwinan gereja yang seharusnya diperboleh dilakukan disini. Tambahnya lagi, melihat kegigihan mereka untuk mempertahankan iman mereka, gereja sepatutnya memandang semua itu kerana dimana pun mereka berada mereka tidak pernah meninggalkan Kristus. Mereka berusaha agar hak hak mereka dapat dijalankan disini mengikut hukum hukum agama. SD komiti ini juga menggalakan agar umat setempat sama sama prihatin tentang kebajikan mereka. Membantu apa yang perlu dibantu dan semampu yang boleh dibantu.  Paderi itu berharap sekecil apapun bantuan yang disalurkan kepada komiti ini akan membawa makna dan dapat memperindah kehidupan mereka.

Setelah itu, Rektor Paroki, Fr.Ronnie Luni juga diberi kesempatan untuk memberikan ucapannya. Klerus itu mengucapkan rasa syukur atas kesatuan setiap komiti di peringkat paroki mahupun Mission. Apapun perancangan tidak akan berjaya dilaksanakan tanpa penglibatan kesatuan semua ahli. Menurutnya lagi, semua kita adalah PEMIMPIN. Kita miliki cara yang tersendiri dengan talenta kepimpinan yang dianugerahkan kepada kita. Ditambah dengan kebijaksanaan dan dorongan oleh Roh Kudus kita pasti mampu berjalan bersama. Klerus itu juga mengingatkan agar kita menghayati misi keuskupan untuk “berjalan bersama dalam Kesatuan, Kesetiaan, dan Kekudusan Yesus Kristus. Tambahnya, siapapun kita di dunia ini kita juga terdiri daripada migran kerana kita juga BERHIJRAH didunia ini. Tidak salah mempunyai komiti masing masing namun untuk mencapai wawasan keuskupan kita harus berganding bahu, berpegangan tangan dan berjalan bersama. Duduk sama rata, berdiri sama tinggi kerana kita berada di RUMAH yang sama. Sebelum menutup ucapannya, klerus itu sekali lagi berharap kebersamaan hari ini akan membuka pintu yang lebih besar di dalam pelayanan kepada sesiapa sahaja yang mahu melayani. “Datanglah untuk melayani dan bukannya untuk dilayani”

Setelah itu, perayaan dilanjutkan dengan makan bersama, penyampaian hadiah, cabutan tiket bertuah dan insan disamping aktivti suka-suka _June

Penganjur dan Petugas Liturgi bagi Ulang Tahun Komiti Migran
Persembahan dari Komiti Migran Paroki Tenom

Sharing is caring!