TUHAN ADA DI ANTARA KITA

Renungan Hari Minggu Adven Ke-3 (B)

Yes 61:1-2a.10-11; 1Tes 5:16-24; Yoh 1:6-8.19-28

Setiap kali ada pemilihan umum untuk mencari ketua sesebuah parti politik, pertubuhan-pertubuhan kerajaan, syarikat atau apa sahaja yang menjanjikan kuasa kepada yang menang pasti banyak mencetusnya pertengkaran kerana saling bercakaran untuk meraih undi yang banyak. Buktinya, kita boleh membaca melalui media cetak, mendengar berita ditelevesyen, radio juga melalui media social akhir-akhir ini semakin sukar untuk ditapis. Tetapi hairan, jika tiba masa pemilihan untuk menerajui pertubuhan yang bukan kerajaan misalnya menjadi pengerusi sesuatu badan Gereja, hampir semua menolak atau menarik diri jika terpilih. Mengapa? Sebab dirasakan kurang berbaloi dan tidak menguntungkan malah dianggap membuang masa, tenaga dan kewangan.

Memang sejak dahulu hingga sekarang godaan untuk berkuasa sering berlaku. Kita boleh menyaksikannya sendiri ketika ini di mana kuasa-kuasa besar sering menindas negara-negara kecil sama ada cara kasar melalui peperangan dan keganasan atau dengan cara halus melalui penindasan ekonomi, sosial dan politik.

godaanGodaan untuk berkuasa itu sebenarnya tidak hanya bagi mereka yang berkuasa besar. Setiap kita juga mempunyai kuasa dan setiap kita adalah di bawah kuasa orang lain pula. Kuasa boleh merubah sikap seseorang. Perkara ini boleh kita rasakan apabila seseorang itu atau kita sendiri diberi kuasa terhadap sesuatu. Pasti ada sesuatu perubahan yang terjadi pada diri kita. Memang tidak dapat dinafikan ada orang yang hidup dalam keadaan berkuasa. Mereka ini merasa perlu membantu sesama yang dipertanggungjawabkan kepada mereka. Namun sayangnya ada juga orang yang berkuasa ini menyalahgunakan kuasa yang ada pada mereka. Mereka digoda untuk memperalatkan sesamanya demi kepentingan diri mereka. Dengan demikian, kuasa menjadi batu loncatan bagi mereka untuk mengembangkan lagi kepentingan mereka. Bagi mereka, selagi berkuasa, ambillah kesempatan untuk mengaut seberapa banyak keuntungan.

Merenungi perkara berkuasa ini, kita tidak lepas dengan watak Yohanes Pembaptis dalam Injil tadi. Jelas sekali bahawa Yohanes tidak pernah membenarkan kuasa dan peranannya di dalam Sejarah Penyelamatan menggodanya untuk kepentingan dirinya sendiri. Di dalam Injil tadi Yohanes ditanya dengan satu pertanyaan yang sungguh menentukan kedudukannya di mata umum: “Siapakah engkau?” Sebenarnya Yohanes bukanlah semberangan orang. Dia tidak sama dengan para pengkhotbah yang sedia ada pada waktu itu. Dia sebenarnya adalah seorang individu yang lain dari yang lain. Namun orang-orang pada waktu itu tidak dapat memastikan sama ada dia itu Mesias yang dinanti-nantikan atau sebaliknya.

Mungkin mudah bagi kita untuk berspekulasi jawapan Yohanes seperti ini: “Walaupun saya bukan Mesias, namun saya mempunyai peranan yang besar. Sebab saya adalah pilihan Allah untuk mempersiapkan kedatangan Tuhan. Allah memilih saya sebelum saya berada di dalam rahim ibu saya. Jelaslah saya memang berkelayakan. Maka janganlah kamu menganggap remeh terhadap ajaran dan kepimpinan saya, sebab saya berkuasa atas kamu!”

Tetapi Yohanes tidak pernah berkata dan berfikiran sedemikian. Dia memang bukan Sang Mesias, bukan Elijah dan bukan pula nabi yang hidup kembali dari alam kematian. Yohanes tidak pernah berangan-angan untuk hidup glamor apalagi menguasai sesamanya. Dia merasa tidak perlu mewar-warkan segala kelayakannya. Pendik kata, Yohanes tidak mahu menarik perhatian orang untuk mengagung-agungkannya. Dia hanya mengakui sebagai, “…orang yang berseru-seru di padang gurun: lapangkanlah jalan Tuhan!”

Semoga kesaksian Yohanes ini terjadi juga di dalam diri kita masing-masing. Sebab kita sebagai pengikut-pengikut Kristus adalah juga merupakan suara-suara yang berseru-seru di dunia persekitaran kita untuk, “meluruskan jalan Tuhan.” Walaupun tidak setanding dengan Yohanes namun kitapun sekurang-kurangnya berani menolak perasaan untuk berkuasa demi kepentingan diri sendiri apa lagi mengambil kesempatan atas kelemahan orang lain.

Tetapi kita adalah manusia yang mudah lupa. Malah sering kali kita masih tidak mengenali dan menerima Kristus. Maka keluhan Yohanes yang berasa sedih pada hari ini perlu kita renungi sedalam-dalamnya: “Di tengah-tengah kamu berdiri Dia yang tidak kamu kenal, iaitu Dia…,”yang dimaksudkannya adalah Yesus Kristus.

sesama

Sebagai umat kristian kita mudah mengenali Kristus di dalam Sakramen Maha Kudus. Tetapi kita kenalkah Dia melalui sesama kita yang tidak kita suka, orang miskin, yang tidak ada suara di dalam masyarakat malah orang-orang yang dekat dengan kita, suami, isteri, anak-anak dan mereka yang tinggal sebumbung dan sekomuniti dengan kita? Bukankah Yesus pernah berkata, “Sesungguhnya segala sesuatu yang kamu lakukan untuk salah seorang dari saudara-Ku yang paling hina ini, kamu telah melakukannya untuk Aku” (Mt 25:40)?

Seandainya kita sentiasa sedar bahawa Allah hadir di antara sesama kita, apakah kita masih berani menyalahgunakan kuasa kita terhadap mereka demi kepentingan diri kita sendiri? Nampaknya pesan Yohanes agar kita sentiasa memperlakukan yang terbaik terhadap sesama kita memandangkan “Dia” ada di antara kita ini sangat penting kita renungkan dan amalkan pada ketika ini di tengah-tengah pergolakan hidup yang banyak dipengeruhi oleh budaya-budaya bunuh dan hodenisme (mementingkan keseronokan hidup) belaka yang terjadi di sekitar kita.

Krismas merupakan kesempatan untuk membaharui iman kita. Di dalam Yesus kita mengungkapkan kepercayaan kita bahawa kanak-kanak Yesus yang dilahirkan oleh Maria di Betlehem itu adalah Mesias, anak Allah. Kita memerlukan iman yang teguh untuk melihat kesederhanaan-Nya sebagai seorang manusia, maka kita pun perlu iman untuk melihat-Nya yang terselindung di sebalik kelemahan kemanusiaan sesama kita yang hidup sebumbung, seperjuangan dalam apa juga kegiatan dan sesama yang kita temui di sepanjang kehidupan kita. Ingatlah, “Di tengah-tengah kamu, berdiri Dia yang tidak kamu kenal! (Yoh 1:26). Maka jika kita menjadi pemimpin hendaknya kita menauladai sikap Yohanes yang pernah berkata, “Ia harus semakin besar, tetapi aku harus semakin kecil” (Yoh 3:30). (JL)

Cadangan soalan refleksi dan perkongsian KKD.

1. Yesus pernah berkata, “Di tengah-tengah kamu berdiri Dia yang tidak kamu kenal” (Yoh 1:26). Bagaimanakah cara anda untuk sentiasa berjaga-jaga agar mengenali Tuhan di dalam kehidupan harian kita?

2. Bagaimanakah sikap seharusnya kita amalkan di dalam perhubungan sesama kita yang tidak sehaluan dengan pandangan dan keinginan kita? Mengapa?

Cadangan aktiviti minggu ini.

Tuhan ada di tengah-tengah kita, oleh itu mulai minggu ini cubalah membiasakan diri untuk mengasihi sesama tanpa memilih orang dengan cara menerima sesama apa adanya. Menerima mereka dengan cinta kasih Yesus dan menganggap mereka yang tidak sehaluan dan tidak mahu bersahabat sebagai sesama yang, “tidak tahu apa yang sedang mereka perbuat” (lih Luk 23:34).

Sharing is caring!