Renungan Hari Minggu Paska Ke-2 (B)

Kis.4:32-35; 1Yoh.5:1-6; Yoh.20:19-31

 

Di zaman siber ini, teknologi canggih, kebangkitan ilmu pengetahuan dan kemahiran telah membuat manusia semakin mengetahui pelbagai misteri alam semula jadi hingga kewujudan Tuhan mulai dipertikaikan sebab segala sesuatu menurut ilmu pengetahuan, harus dibuktikan dulu kebenaranya. Sedangkan kewujudan Tuhan sampai ketika ini belum pernah dibuktikan melalui kepintaran manusia. Maka tidak hairanlah orang sering berkata, “Buktikan dulu baru saya percaya,” apabila mereka berhadapan dengan fakta-fakta atau fenomena yang meragukan.

thomasTomas, salah seorang rasul Yesus yang kita dengar dalam Injil tadi juga mempunyai sikap yang serupa. Ketika Yesus mengatakan bahawa Dia akan dihukum mati, Tomas dengan penuh emosi berkata pada teman-teman seperjuangannya, “Marilah kita pergi juga untuk mati bersama-sama dengan Dia” (Yoh 11:16). Pada masa yang sama, semuanya kelihatan serba baik, Tomas cukup bersedia untuk mati bersama Kristus. Tetapi dia bersama-sama dengan murid-murid yang lain lari menyelamatkan diri apabila percubaan yang mereka hadapi di bukit Zaitun. Apabila dia melihat askar-askar datang untuk menangkap Yesus, dia dengan senyap-senyap menyelinap lari di kegelapan malam.

Kita memang tidak jauh beza dengan Tomas. Kita suka menjadi pengikut Kristus apabila tidak ada gangguan yang menimpa kita. Apabila semua keadaan baik dan menyeronokkan. Tetapi apakah kita tetap bertahan apabila perjalanan iman kita mula menghadapi masalah dan apabila iman kita memerlukan pengorbanan dari kita?

Tomas cepat putus asa apabila melihat Yesus mati. Lalu dia pergi membawa diri dengan meninggalkan teman-teman seperjuangannya begitu sahaja. Dengan berbuat demikian, dia sebenarnya telah gagal mempertimbangkan betapa pentingnya hidup dalam komuniti terutama dalam masa-masa ketakutan, sakit dan tidak ada kepastian. Dia lebih suka mengamalkan pepatah, “Ringan sama dijinjing, berat masing-masing.”

Pada waktu misa kudus, paderi memecahkan roti, menandakan Yesus mengajarkan kita untuk saling berkongsi satu dengan yang lain segala kegembiraan juga segala penderitaan yang kita hadapi semasa berjalan bersama menempuhi perjalanan iman ini.

Persoalanya, apakah kita betul-betul gabungan komuniti-komuniti yang bergembira kerana beriman pada Kristus? Bukankah seringkali iman kita tidak diamalkan dalam keadaan yang sebenar? Lihatlah kejahatan-kejahatan sosial yang terjadi hampir setiap waktu. Perceraian secara terbuka dan yang senyap-senyap banyak terjadi di kalangan komuniti kristian. Ini semua belum termasuk perselisihan dan pergaduhan di antara sesama keluarga, jiran, komuniti dan masyarakat setempat secara terang-terangan tetapi lebih banyak yang secara senyap-senyap tapi ada bahaya untuk ‘meletup’.

Apabila iman kita diuji melalui kesengsaraan yang kita anggap tidak adil misalnya melalui kematian orang yang tersayang, maka terjadilah suatu perasaan yang tidak puas hati. Apakah dalam keadaan demikian kita masih tetap bertahan dalam iman? Apakah saya merasa sakit hati dan dendam pada Tuhan? Atau apakah saya berfikir bahawa segala kejadian yang tidak baik itu sebenarnya berpunca dari kelalaian saya sendiri?

Malah ramai orang mulai bertanya-tanya, apakah Tuhan itu wujud ataukah hanya khayalan belaka. Sedihnya orang-orang yang mulai mempersoal kewujudan Tuhan ini tidak kurang dari kalangan umat yang dulunya rajin dan aktif di gereja. Tetapi setelah mengalami musibah kehidupan, mereka lari dari Tuhan. Orang-orang seperti ini memang agak sukar untuk diinjili semula.

blaiseSeorang ahli falsafah dari Perancis, Blaise Pascal, pernah mencadangkan suatu argumentasi yang dinamakan ‘argumentasi wager’, pertujuan untuk menggalakkan orang percaya akan Tuhan: “Jika saya percaya Tuhan, dan ternyata Tuhan itu tidak wujud, saya tidak akan mengalami apa-apa kerugian. Tetapi jika saya tidak percaya Tuhan tetapi Tuhan itu ternayata wujud, maka saya akan rugi serugi-ruginya.” Demikian isi argumenasi wager tersebut.

Apapun yang dilakukan orang untuk mempengaruhi supaya orang percaya kewujudan Tuhan, namun seperkara yang perlu kita sedari bahawa iman kita tidak boleh dihitung atau dinilai dengan prinsip keberangkalian. Sebab argumen iman cara ini tidak akan dapat membawa seseorang itu dekat kepada Tuhan malah orang menjadi semakin bengung.

Oleh yang demikian, kita sangat memerlukan hidup berkomuniti. Kita perlukan sesama kita untuk membantu dan memberikan kita semangat untuk tetap percaya pada Tuhan walaupun mengalami pelbagai kesulitan dan ketakutan. Yesus pernah berkata, “Jangan takut, percayalah” (Mk 5:36). Maka marilah kita saling mendoakan agar iman kita semakin teguh setiap kali kita merayakan Ekaristi dan dapat merasakan kehadiran-Nya di dalam komuniti kristian setempat terutama di dalam keluarga kita sendiri.

Sesungguhnya, “Kerana engkau telah melihat Aku, maka engkau percaya. Berbahagialah mereka yang tidak melihat, namun percaya” (Yoh 20:29). Maka hendaknya jauh di dalam hati sanubari, kita mahu berdoa, “Tuhan, aku percaya. Bantulah aku agar lebih percaya kepada-Mu (Mk 9:24). Amin!” (JL)

Cadangan soalan refleksi peribadi dna perkongsian KKD:

1          Yesus bersabda, “Hai Tomas, kerana melihat Aku, engkau percaya. Berbahagialah yang tidak melihat namum percaya.” Apakah pesan atas hikmat Sabda Yesus ini bagi anda di masa kini?

2          Setujukah anda bahawa keluarga dan komuniti anda dapat mempertajam minda dan iman anda anda agar tetap percaya pada Tuhan walaupun tidak melihat? Mengapa?

 Cadangan aktiviti minggu ini:

Yesus yang sudah bangkit itu pernah berkata: “terimalah Roh Kudus” (Yoh.20:22), kepada para rasul-Nya. Berdoalah kepada Roh Kudus agar anda sentiasa percaya apada Yesus walau apa pun yang menggoda anda untuk merasa sengsi terhadap-Nya.

This will close in 20 seconds