PELAFAZAN KOMITMEN ANGGOTA ISKB

KENINGAU : Dengan penyertaan kuasa Tuhan, Institusi Sekular Komuniti Betania (ISKB) telah meraikan seorang lagi anggota yang melafazkan Komitmen Pertama iaitu Saudara Marcel Lasius. Pada masa yang sama, tiga orang anggota ISKB juga memperbaharui Komitmen Sementara iaitu Saudari Janet Leong, Saudari Liza Matthew dan Saudari Mariana William.

1) Pelafazan Komitmen Pertama(Tengah): Sdra. Marcel Lasius. 2)Pembaharuan Komitmen Sementara(Dari Kiri): Sdri.Liza Matthew, Sdri.Mariana William(berlutut) dan Sdri.Janet Leong

ISKB telah dibentuk dan disahkan secara rasmi pada 27 Julai 1997 di Katedral St. Francis Xavier Keningau yang disempurnakan oleh Bapa Uskup Datuk Cornelius Piong selaku Pengasas ISKB. Komuniti ini adalah kelompok anggota Gereja sama ada wanita dan lelaki yang memilih hidup tunggal untuk Tuhan. Komuniti ini adalah satu alternatif bagi Gereja menjawab panggilan Tuhan untuk melayani di ladang-Nya yang luas, sekiranya hidup berkahwin, membiara atau Imamat tidak menjadi pilihan. Pelayanan yang dilakukan oleh anggota ISKB adalah menurut karisma masing-masing tetapi berlandaskan kepada wawasan Keuskupan tempat di mana anggota ISKB melayani.

Setakat ini, anggota ISKB mempunyai 23 orang anggota yang melayani di Keuskupan Agung Kota Kinabalu dan juga di Keuskupan Keningau. Anggota ISKB hidup dan memilih pekerjaan sendiri sesuai dengan bakat, kemampuan dan kesempatan yang ada dengan menghayati komitmen yang diikrarkan melalui penglibatan secara sukarela dan aktif dalam pelbagai kegiatan di dalam Gereja, Jabatan Kerajaan dan masyarakat dan pekerjaan sederhana.

Saudara Marcel Lasius merupakan anak kelahiran Kampung Sunsuron, Tambunan dan merupakan anak ketiga daripada tujuh orang adik beradik. Beliau kini bekerja sebagai Penolong Pegawai Perubatan (M.A.) di Hospital Tambunan. Bermula sebagai peninjau ISKB pada tahun 2017 sehingga 2021 dan setelah mengikuti pembentukan selama 4 tahun, beliau mengorak langkah mengambil Komitmen Pertama selaku anggota ISKB. Dalam sesi ucapannya, Saudara Marcel menyatakan bahawa secara peribadi, menemukan panggilan hidup adalah suatu perjalanan yang panjang, suatu renungan bertahun-tahun lamanya untuk memahami apa yang Tuhan inginkan. Setelah menggali dan berfikir sedalam-dalamnya, akhirnya beliau berserah kepada kehendak Tuhan dan menyatakan ‘YA’ kepada-Nya dan mengambil keputusan bergabung dalam ISKB sebagai anggota berkaul dalam kemurniaan, kesederhanaan dan ketaatan.

Upacara Pelafazan Komitmen Pertama Sdra.Marcel Lasius yang disempurnakan oleh Yang Mulia Bapa Uskup Cornelius Piong

Bapa Uskup dalam homilinya, menyatakan kesyukuran kepada Tuhan atas kesempatan merayakan hidup tunggal untuk Kristus sebagai ungkapan mahu melayani Dia dan umatNya. Prelatus itu menyeru agar semua anggota ISKB sentiasa mengingati kesatuan dengan Yesus Kristus  dengan ketaatan berdoa setiap hari, membaca dan merenung sabda Tuhan setiap hari dan turut serta dalam Perayaan Ekaristi. Harapannya adalah agar semua anggota ISKB dapat berjalan bersama dalam kesatuan, kesetiaan dan kekudusan Yesus Kristus dan menjadikannya sebagai pedoman dan landasan perjalanan hidup dalam komuniti.

(dari kiri) Turut memberi sokongan Rev.Fr. Charles Chiew, Moderator ISKB, Mary Tunsin dan Rev.Fr. Bonaventure Unting

Selepas Misa Kudus, jamuan kesyukuran diadakan di Dewan St. John Mary Vianney, RRKKT- Janet Leong