81 PESERTA BERJAYA MENAMATKAN KURSUS KATEKIS TAHAP 1

Artikel oleh : Juanis

Peserta Kursus bersama tenaga pengajar bergambar bersama Yang Mulia Bapa Uskup Cornelius Piong

SOOK-81 dari 88 orang peserta yang mengikuti Kursus Katekis Tahap 1 bagi Paroki Sook berjaya menyempurnakan pembelajaran mereka.Oleh itu satu Misa Kudus yang diselebrankan oleh Yang Mulia Bapa Uskup Cornelius Piong dan Satu Majlis Konvokesyen Penyerahan Sijil Tamat bekursus telah diadakan bagi merayakan mereka ini.

Selain Bapa Uskup Cornelius Piong, turut hadir dalam Misa dan Konvokesyen ini adalah para paderi dari Paroki Sook iaitu, Fr.Boniface Kimsin, Fr.Roney Mailap dan Fr. Paul Mikin. Tenaga pengajar dari PPK juga turut hadir iaitu, En.Patrick Marius, En.John Lainsin dan En.Fredoline Umis dan juga Staff PPK.
Semasa sesi ucapan, Ketua Keuskupan Keningau, Bapa Uskup Cornelius mengingatkan kepada semua peserta agar tidak berhenti untuk terus belajar dan tidak berhenti di kursus ini sahaja. “Belajar mengenai iman kita adalah tanggungjawab kita terus menerus. Sekiranya umat di keuskupan ini berusaha untuk belajar mereka mampu untuk sefikiran dengan Kristus dan gereja. Ini memudahkan visi dan misi keuskupan iaitu berjalan bersama di dalam kesatuan, kesetiaan dan kekudusan Yesus Kristus dilaksanakan,”tegas prelatus itu.

Antara peserta Kursus yang berjaya bergambar bersama dengan ahli keluarga


Wakil paderi Paroki Sook pula, Fr.Roney Mailap pula mengatakan betapa pentingnya untuk umat terlibat dengan kursus sebegini agar mereka dapat lebih mengenali tentang Kristus dan gereja. “Iman kita bukanlah statik tetapi dinamik, ia boleh berkembang. Oleh itu dengan pengetahuan yang kita ada dalam kursus ini boleh membantu kepercayaan kita menjadi lebih teguh, sehingga kita mempunyai relasi dengan Yesus yang mendalam,”jelas krelus itu. Fr.Rudolf Joanes, Pengarah PPK pula, mengucapkan terima kasih kepada bapa
uskup kerana mengambil kesempatan untuk merayakan Misa Kudus dan bersama dalam Majlis Konvokesyen tersebut.


Sdra.Patrick Marius , salah seorang tenaga pengajar bagi kursus ini pula menjelaskan bahawa peserta telah mempelajari 10 subjek seperti, ilmu Katekatik, Katekis dan Pelayanan Katekis, Pengenalan Liturgi, Liturgi Ibadat Sabda, Dei Verbum(DV), Sejarah Penyelamatan, Katekismus Gereja Katolik(KGK), Kemahiran Memimpin Pelbagai Upacara Doa, Pengetahuan Undang-Undang Gereja dan Sejarah Gereja dan Kristologi. Kursus dijalankan selama 4 bulan, dengan 3 kali kelas dalam seminggu.
Difahamkan tenaga pengajar PPK akan turun padang ke Paroki Tenom pula untuk menjalankan kursus yang sama.