coatofarms_2
Rev. Fathers, Para Religius Brothers dan Sisters, Seminarians, Komuniti Betania, Pengerusi dan ahli-ahli MPP, MPM, KWK, KBK, KKD, Komiti Komuniti  dan semua Umat.

 

Bersatu kita menuju ke arah Perayaan Jubli Perak Keuskupan

Puji Tuhan dan syukur kita Umat Allah Keuskupan Keningau sedang menuju ke Perayaan Jubli Perak (UTK ke 25) yang akan kita rayakan kemuncaknya pada 5hb Mei 2018. Sejak perayaan UTK ke 24 bulan Mei yang lalu, saya percaya setiap Paroki sudah merancang dan sedang melaksanakan program-program pastoral kearah perayaan Jubli Perak ini. Perlu kita ingat bahawa tema perayaan Jubli Perak kita adalah, “Keluarga berpusat kepada Kristus berbudaya menyembah Tuhan, memantapkan Iman dan bertanggungjawab sosial”. Kita hanya ada lapan bulan sahaja lagi untuk persiapan menyambut Jubli Perak Keuskupan.

Perayaan Jubli Perak ini tentunya menjadi satu kebanggaan dan kesempatan mengungkapkan syukur kita kepada Tuhan yang sentiasa menyertai, membimbing dan melindungi kita dalam perjalanan kita bersama selaku Umat-Nya. Dalam suasana persiapan perayaan saya ingin mengajak saudara-saudari, khususnya para Paderi, Religius dan para pemimpin serta pelayan Umat agar sentiasa menjalankan kepimpinan, pelayanan dan tanggungjawab berlandaskan harapan dan doa Yesus sendiri. Untuk mencapai cita-cita tersebut dalam perayaan Jubli Perak ini, kita perlu sentiasa mengujudkan semangat kesatuan (Yoh. 17:11,12,23) dan semangat “sehati sefikiran” (Kis. 4: 32). Yesus sendiri menjemput kita untuk bersatu dengan Dia agar bersama kita dapat menghasilkan buah kerana tanpa kesatuan dengan Dia kita tidak dapat berbuat apa-apa sesuai dengan kehendak-Nya (Yoh. 15:4-5). Sentiasalah kita sama-sama berusaha agar semua aktiviti pastoral yang kita lakukan adalah untuk kemuliaan Tuhan dan pemantapan Iman kita, Umat-Nya.

Waspada dan Sedari Muslihat Si Jahat

Kita perlu sentiasa menyedari, peka dan waspada kerana semua yang baik – kesatuan dan semangat “sehati sefikiran” – dalam merealisasikan cita-cita murni kita, sentiasa dihalang oleh ‘si jahat’. Sebab itulah Yesus telah berdoa kepada Allah Bapa agar kita “dilindungi dari si jahat” (Yoh. 17:15). Oleh itu kita khususnya para Paderi, Religius dan pemimpin serta pelayan Umat perlu sentiasa waspada supaya kepimpinan dan pelayanan kita sentiasa diresapi dan dikuasai oleh semangat kerendahan hati, sama seperti yang ditunjukkan Yesus (Mk. 10:44-45). Pengaruh gaya hidup dan ukuran nilai masyarakat yang mengutamakan kejayaan, kecekapan, status dan kuasa boleh jadi digunakan oleh ‘si jahat’ untuk mempengaruhi gaya ‘kepimpinan’ dan ‘pelayanan’ kita tanpa kita sedari.

Hanya Kesatuan kita dengan Yesus Melahirkan Sukacita dan Komitmen dalam Pelayanan

Agar kepimpinan dan pelayanan kita sentiasa diresapi dan dikuasai oleh semangat kerendahan hati, perlulah kita konsisten dan taat mengambil masa untuk datang kepada Yesus yang hadir melalui Ekaristi, Adorasi dan Saat Teduh; mendengar dan merenung Firman-Nya serta peka terhadap kehadiran-Nya dalam kebajikan keluarga dan komuniti kita (Lk. 6:47-49; Mat. 25:40). Dengan mengamalkan gaya hidup rohani yang sentiasa memilih mahu menyatukan diri kita kepada Yesus dan mendengar Firman-Nya maka kita mampu hidup dalam “kekudusan” dan sentiasa memilih mahu  membawa pengaruh-pengaruh yang baik melalui kepimpinan dan pelayanan kita (Mat. 5:13-16). Oleh itu perlulah kita secara jujur bertanya kepada diri sendiri, apakah kita para Paderi, Religius, Katekis, para pemimpin dan pelayan Umat mengambil  serius kesatuan kita kepada Yesus setiap hari? Cuba kita bandingkan masa yang kita gunakan dalam petemuan kita dengan Yesus setiap hari dengan masa yang kita gunakan di hadapan alat media massa dan hobi-hobi kita?

Komitmen Kita Perlu Dibangun dan Berakar Pada Kristus

Saudara-saudari, kita Umat Allah perlu peka terhadap perkembangan-perkembangan semasa yang melibatkan keluarga, para Paderi, Katekis yang merisaukan. Apakah semuanya ini merupakan buah-buah dari pengaruh ‘si jahat’? Saya yakin bahawa Yesus sentiasa menyertai dan melindungi kita Umat-Nya. Roh Kudus-Nya sentiasa menolong, mengajar dan mengingatkan kita akan ajaran-Nya (Yoh.14:26).

Marilah kita bersama – Paderi, Religius, Awam – sentiasa mengingati nasihat Santo Paulus, “kamu telah menerima Kristus Yesus sebagai Tuhan, oleh itu tetaplah bersatu dengan Dia, berakar umbi pada Dia dan dibangun diatas Dia” (Kol. 2:6-7). Kita perlu sama-sama belajar dari pengalaman bahawa hanya dengan menerima Sakramen Pembaptisan, melafazkan janji kesetiaan dalam perkahwinan, melafazkan kaul dalam hidup religius, menerima pentahbisan dalam Sakramen Imamat, dipilih Umat menjadi pemimpin dan pelayan – jika kita tidak usahakan kesatuan dan kasih dengan Yesus, kepimpinan dan pelayanan kita akan dirasai membebankan dan tidak ada kebijaksanaan dan sukacita. Hanya kesatuan kita dengan Yesus akan  memampukan kita melaksanakan komitmen kita dengan sukacita (Yoh.15:11).

“Hari Penebusan” Kita Umat-Nya

Sudah menjadi budaya orang-orang kita bahawa apabila seseorang atau komuniti melakukan kesalahan yang menyakitkan atau merugikan sesamanya, maka kesalahan itu harus ditebus dalam bentuk sogit’ supaya hidup bersama akan kembali harmoni dan damai.

Selama lebih 24 tahun berjalan bersama selaku Umat Allah di Keuskupan Keningau, tentu kita menyedari dan mengaku bahawa kita secara peribadi  dan bersama sebagai satu komuniti banyak berbuat salah terhadap Tuhan dan sesama.  Kita pihak para Paderi, para Religius dan para suami-isteri tentu menyedari kesalahan kita terhadap Tuhan, yang kepada-Nya kita telah melafazkan janji-janji kesetiaan kita. Kesalahan yang kita lakukan tentunya juga membawa kesan-kesan sampingan yang tidak baik kepada komuniti kita.

Oleh itu, atas persetujuan para Paderi Keuskupan Keningau, saya ingin mengajak semua Umat di Paroki mahupun Mission, Zon, KUK, KKD, Komuniti seluruh Keuskupan agar kita mengadakan satu hari ‘Hari Penebusan’ atau sogit sebagai ungkapan perdamaian kita dengan Tuhan Yesus yang telah kita sakiti hati-Nya dan juga sesama umat seiman kita atas kesan-kesan sampingan yang negatif. Hari yang dipersetujui untuk itu ialah pada 15 September 2017 sempena peringatan Bonda Maria Berdukacita. “Hari Penebusan” ini kita jalankan serentak di seluruh Keuskupan pada jam 6 petang dan dapat kita isikan dengan berpuasa, berdoa Rosari, Misa Kudus dan Saat Teduh.

Dengan bantuan Bonda Maria kita jalankan menjalankan Hari Penebusan ini. Kita berharap agar relasi kita dengan Tuhan dan sesama akan terus dapat berjalan dalam keadaan harmoni dan sentiasa terfokus kepada kesatuan dan kesetiaan kepada Yesus dan kehendak-Nya.

Kebahagiaan Adalah Kekitaan

+Bishop Datuk Cornelius Piong

This will close in 20 seconds