SURAT PASTORAL

Rev. Fathers, para religius Brothers dan Sisters, Seminarian, Komuniti Betania, Pengerusidan Ahli-ahli TPK, MPP, MPM, KWK, KBK, KKD, Komiti, Komuniti dan Semua Umat.

Salam damai belas kasihan Tuhan.

Belum terlambat mengucapkan “selamat Tahun Baru 2016”. Semoga kita diterangi oleh Yesus Kristus, Terang dunia (Yoh 8:12) sepanjang tahun. Pada tahun 2016 ini kita Umat Allah Keuskupan Keningau akan memasuki usia 23 tahun. Sebagai persiapan kita menuju ke perayaan Ulang Tahun yang ke-25 pada tahun 2018, sepanjang tahun 2016 adalah didedikasikan kepada tema “Keluarga dan Belia”. Namun walaupun tahun 2016 didedikasikan kepada golongan belia kita sama-sama perlu mengambil inisiatif mengatur perjalanan iman dan hidup kita berlandaskan kepada tiga perkara:

a). Kita perlu mengambil masa membangun relasi yang akrab dengan peribadi Yesus. Hubungan kita dengan Tuhan melalui doa, sabda-Nya dan hidup berkomuniti perlu kita utamakan setiap hari. Sikap mahu datang kepada Tuhan, mendengar sabda-Nya dan melakukan kehendak-Nya akan melahirkan Iman yang kukuh pada seseorang (Luk 6:47-49). Sikap ini juga jika taat diamalkan akan mempertingkatkan lagi pengenalan dan keyakinan kita terhadap Yesus selaku Jalan, Kebenaran dan Kehidupan kita (Yoh 14:6). Kita akan hidup dalam sukacita kerana mengalami kehadiran-Nya (Mat 28:20).

b). Kita perlu menjalankan hidup kita setiap hari dengan mahu dikuasai oleh Roh Kudus agar “kuasa kasih dan kebolehan untuk mengawal diri sentiasa menguasai gaya hidup kita (2Tim 1:6-7). Cabaran-cabaran Iman masa kini memerlukan kebijaksanaan agar kita tidak terpedaya. Oleh itu kita perlu membangkitkan kuasa Roh Kudus yang ada pada kita. Ianya dapat menolong, mengajar dan mengingatkan kita akan ajaran-ajaran Yesus (Yoh 14:26). Strategi dan taktik yang digunakan oleh pihak-pihak yang berkepentingan boleh membawa kita tertipu dan termakan budi tanpa kita sedari dan akhirnya meninggalkan Yesus.

Kesimpulannya Roh Kudus yang dibenarkan menguasai diri kita akan mendorong kita hidup dalam semangat kesatuan, menerangkan akal budi dalam menghadapi cabaran-cabaran hidup dan iman serta membolehkan kita hidup sentiasa memihak dan setia kepada kehendak Tuhan.

c). Kita perlu bersaksi bagi Yesus melalui pemikiran, percakapan dan perbuatan kita. Selaku murid-murid Yesus yang sudah menerima Sakramen Pembaptisan, kita dituntut dan diutus menjadi “cahaya” dan “garam” kepada sekeliling kita (Mat 5:13-16). Dengan adanya sikap mahu bersaksi, Yesus akan dapat dikenali, didengar dan disentuh melalui diri kita oleh sekeliling kita. Sikap dan sifat bersaksi sekaligus akan meneguh dan memantapkan lagi iman kita kepada Yesus; kerana dalam apapun keadaan yang kita hadapi, Dia memberi jaminan, “Aku menyertai kamu sampai akhir zaman” (Mat 28:20).

Keadaan dunia masa kini memerlukan kita secara peribadi, dalam keluarga dan dalam komuniti memiliki strategi perjalanan iman yang boleh membantu kita beriman kepada Yesus yang bersifat sentiasa segar, bertumbuh, berbuah, bersaksi dan bertahan. Dengan bimbingan dan perlindungan Bonda Maria kita yakin kita akan sama-sama dapat dibentuk menjadi “Komuniti Umat Allah yang komited dan efektif melayani kerajaan-Nya”.


Berikut beberapa perkara dan informasi yang perlu kita ketahui bersama:

1. Tahun Jubli Berbelas Kasih (08 Disember 2015 – 20 Nov 2016), adalah tahun rahmat dimana kita sama-sama diberi peluang menyedari, mensyukuri dan mengalami belas kasihan Tuhan. Yakin dan mengenal belas kasihan Tuhan akan mendorong kita hidup bersatu dan setia hanya kepada Yesus walau apapun cabaran yang kita hadapi. Program-program pastoral ada dan akan disediakan untuk umat seperti katekesis, ziarah, seminar-seminar dan sebagainya. Ambillah masa menyertai aktiviti yang dianjurkan agar sifat belas kasihan Tuhan dapat meresap dan mengalir dalam kita.

a). Pintu-pintu Suci sempena Tahun Jubli Berbelas Kasih, ada disediakan untuk para peziarah. Satu di Gereja St. Patrick, Membakut dan satu lagi di Chapel Adorasi Sakramen Mahakudus, RRKK Tatal, Keningau.

b). Seminar Kerahiman Ilahi yang bertemakan: “Aku Yakin dan Mengenal kepada siapa aku percaya, Allah yang berbelas kasih“peringkat Keuskupan Keningau akan diadakan pada 27-28 Februari 2016, bertempat di Dewan Solidariti Dataran Keuskupan, Keningau. Para penceramah Seminar Kerahiman ini diundang khas dari Team Kerahiman Ilahi Keuskupan Agung Jakarta. Silalah ambil peluang untuk menyertainya. Seminar tersebut saya fikir sangat bermanfaat sempena Tahun Berbelas Kasih ini agar kita lebih mengenal Sumber Belas Kasihan itu sendiri.

2. Pemberkatan Pusat Ziarah Keluarga Kudus, Nulu Sosopon, dijangkan akan dijalankan pada 04 Jun 2016 dengan dihadiri oleh Wakil Sri Paus di Malaysia, Archbishop Joseph Marino. Pada masa ini bangunan Gereja dan dewan hampir siap. Jalan raya menuju ke PZKKNS diharap akan dapat dinaiktaraf sebelum masa tersebut. Kita bawa dalam doa agar semua yang dirancang berjalan dengan lancar dengan perlindungan Tuhan.

Seperti yang sudah saya jelaskan pada masa-masa yang lalu PZKKNS adalah ungkapan kesyukuran bersepadu kita Umat kepada Allah atas bimbingan dan perlindungan-Nya bagi kita yang akan merayakan Ulang Tahun ke-25 perjalanan kita bersama. Perayaan ini akan kita adakan pada Mei 2017 sehingga 2018. Saya yakin dengan sokongan padu umat kita akan dapat merealisasikan cita-cita kita ini.

Dengan terbangunnya PZKKNS kita akan mempunyai satu lagi tempat yang boleh kita gunakan untuk Devosi, pembentukan iman dan inspirasi.

Rombakan kecil Paderi KSFX, Keningau

1. Fr Charles Chiew: Syukur dan puji Tuhan, beliau sudah selesai mengikuti satu kursus penting mengenai keluarga kristian di Roma. Kini Fr Charles sudah kembali dan melayani bersama komuniti Paderi-paderi di KSFX Keningau.

2. Fr Bonaventure Unting: Syukur dan puji Tuhan, beliau juga sudah selesai mengikuti kursus-kursus Pastoral di EAPI, Filipina selama satu tahun. Kini Fr Bona melayani bersama komuniti Paderi-paderi di KSFX, Keningau.

3. Fr Ronnie Luni, sedang mengikuti kursus-kursus Pastoral di East Asian Pastoral Institute (EAPI), Filipina selama kira-kira satu tahun, sejak 03 Januari 2016. Selamat belajar Fr Ronnie.

4. Fr Claudius Andrew, beliau kini ditugaskan mengetuai pentadbiran Pastoral Paroki Roh Kudus, Sook bersama dengan Fr Hilanus Simon. Selamat melayani dengan gembira.

Kita doakan juga para paderi kita yang sedang belajar di luar negara. Mereka yang masih sedang belajar ialah:

Fr Clement Abel menuntut di Universiti Santo Tomas, Filipina. Fr Gilbert Lasius di Urbania University Romo, Italy dan Fr Francis Dakun juga sedang mengikuti kursus di Rome, Italy yang berkaitan dengan tugas pelayanannya di St Peter Seminary Kuching, sehingga bulan Mac ini. Kita doakan mereka moga tabah dan sentiasa dalam perlindungan Tuhan.

Keluarga berpusat kepada Kristus, berbudaya menyembah Tuhan, memantapkan Iman dan bertanggungjawab Sosial

Kebahagiaan Adalah Kekitaan

+ Bishop Datuk Cornelius Piong

Sharing is caring!