MEMBAKUT : Â Sukan Solidariti Keuskupan Keningau telah berlangsung selama tiga hari bermula pada 31 Ogos 2017 dan berakhir pada 2 September 2017 yang lalu. Paroki St. Valentine Beaufort dan Paroki St.Patrick Membakut merupakan dua paroki yang telah bekerjasama menjadi tuan rumah bagi kejohanan ini yang diadakan setiap dua tahun sekali.
Kejohanan ini dianjurkan oleh Komisi Sukan Solidariti Keuskupan Keningau dan telah melibatkan seramai lebih kurang 500 orang atlet dari sepuluh paroki dan mission yang terdapat di Keuskupan Keningau dan merupakan program utama Komisi sukan Solidariti Keuskupan Keningau.
Kejohanan ini dimulakan dengan misa pembukaan yang telah diadakan di gereja St.Valentine Beaufort. Misa disempurnakan oleh Rev.Fr.Paul Mikin dan kemudiannya diikuti dengan fellowship pembukaan kepada semua atlit dan umat yang hadir pada malam tersebut. Fellowship tersebut telah diadakan di dewan gereja St. Valentine Beaufort.
Kejohanan selama tiga hari tersebut diisi dengan perlawanan bola sepak yang telah diadakan di padang stadium Beaufort, futsal yang telah diadakan di gelanggang futsal Membakut, bola tampar yang diadakan di gelanggang bola tampar terbuka padang Pekan Beaufort, badminton yang diadakan di Dewan Baru Beaufort  dan pingpong yang diadakan di dewan gereja St. Valentine Beaufort.
Pada majlis penutupan yang diangsungkan di Dewan Gereja St.Patrick Membakut, saudara Fredolin Umis selaku pengerusi Komisi Sukan Solidariti Keuskupan mengucapkan tahniah dan syabas kepada semua pasukan yang telah bertanding secara adil dan penuh dengan semangat solidariti. Beliau menganggap penganjuran sukan selama tiga hari tersebut telah berjalan dengan lancar dan menepati objektif sukan solidariti yang ingin dicapai. Beliau juga mengucapkan terima kasih dan tahniah kepada paroki St. Valentine Beaufort dan paroki St.Patrick Membakut kerana telah banyak berusaha menjayakan sukan tersebut terutama sekali didalam menyediakan tempat-tempat pertandingan. Beliau berharap agar kerjasama seperti ini akan mengeratkan lagi hubungan diantara semua paroki-paroki dan mission didalam keuskupan Keningau dalam mengalakkan solidariti dikalangan umatnya.
Rev.Fr. Ronnie Alfred Luni, Paderi Paroki pula berkata, memang baik sekali sukan solidariti keuskupan telah dapat dianjurkan dengan lancar. Namun begitu, beliau masih mengharapkan sokongan daripada umat untuk menyokong penganjuran keuskupan seperti sukan solidariti. Menurutnya lagi, beliau tidak dapat lari daripada rasa kecewa kerana bilangan umat yang datang menonton setiap perlawanan mahupun pada majlis pembukaan dan majlis penutupan, adalah terlalu sedikit. Beliau berharap setiap atlet yang menyertai kejohanan ini akan pulang dengan membawa semangat solidariti, semangat kesatuan dan mengongsikan kepada umat diparoki masing-masing tentang cinta kasih Tuhan serta keindahan solidarity dan bukan hanya tentang kemenangan pingat semata-mata.
Program sukan ini yang telah berlangsung selama tiga hari menyaksikan pasukan dari paroki St.Francis Xavier Keningau muncul sebagai juara keseluruhan manakala paroki  St. Anthony Tenom telah dipilih sebagai tuan rumah bagi Sukan Solidariti Keuskupan pada tahun 2019. – KOMSOS St.Patrick Membakut