Renungan Hari Minggu Biasa Ke 22 ( C )
Sir. 3:19-21,30-31 Ibr. 12:18-19.22-24a Luk.14:1.7-14
Orang-orang Farisi suka mendapat penghormatan dan mencari tempat duduk terhormat di rumah ibadat dan perayaan-perayaan. Kerana itu Yesus menasihati: “Apabila engkau diundang, pergilah duduk di tempat yang paling rendah. Mungkin tuan rumah kan datang dan berkata kepadamu: Sahabat, silakan duduk di depan. Dengan demikian engkau akan menerima hormat di depan mata semua tamu yang lain.”
Yesus juga menasihati dalam hal mengadakan pesta jangan hanya menjemput mereka yang mempunyai kepentingan seperti mereka yang hanya di kalangan kenalan rapat atau mereka yang mempunyai taraf yang sama. Maka Yesus berkata, “Apabila engkau mengadakan perjamuan, undanglah orang-orang miskin, orang-orang cacat, orang-orang lumpuh, dan orang-orang buta. Engkau akan berbahagia kerana mereka tidak mempunyai apa-apa untuk membalasnya kepadamu. Sebab engkau akan mendapat balasnya pada hari kebangkitan orang-orang benar.”
Adalah menjadi kebiasaan dimana orang terhormat atau jemputan khas datang kemudian selepas jemputan-jemputan yang lain sudah menunggu beberapa ketika. Maka adalah tugas tuan rumah untuk memastikan tempat duduk khas itu tidak diambil oleh orang lain. Kadangkala ada yang suka menonjolkan diri dan mahu diberi perhatian. Mahu duduk bersama-sama di kalangan ‘vip’ di meja jamuan. Adalah amat tidak menyenangkan bagi seseorang yang mengambil tempat duduk khas tersebut dan apabila jemputan khas datang maka terpaksa mencari tempat lain. Untunglah jika masih ada tempat duduk, jika tidak maka terpaksalah berdiri di tepi-tepi. Apakah itu menyenangkan?
Sikap rendah hati, menghargai setiap orang bahkan menganggap orang lain lebih penting daripada kita sendiri adalah suatu kebijaksanaan. Ramai yang bersetuju dengan pernyataan ini dimana apabila kita menghormati orang lain, maka orang lain pun akan bersikap yang sama terhadap kita.
Marilah menghargai orang lain tanpa memandang status, kedudukan dan darjat. Setiap manusia harus dihargai kerana semuanya sama-sama ciptaan Tuhan. Memberi tanpa mengharapkan balasan, ganjaran dan sanjungan semata-mata. Pemberian dengan keikhlasan adalah yang berkenan kepada Allah.
SOALAN RENUNGAN
- Ceritakan pengalaman anda mengenai sikap rendah hati?
- Bagi anda, bagaimanakah cara membantu orang lain tanpa mengharapkan balasan atau sanjungan?