SENTIASA SIAP SEDIA

Renungan Hari Minggu Biasa Ke 19 ( C )

Keb.18:6-9      Ibr.11:1-2,8-19      Luk.12:32-48

 

Seorang atlet atau ahli sukan dalam satu-satu pertandingan hanya mengambil masa beberapa minit bertanding tetapi persiapan itu mengambil masa berbulan-bulan bahkan bertahun.  Seperti dalam acara lomba lari, seseorang itu akan membuat segala persiapan yang perlu dengan tujuan agar dia boleh memberi prestasi yang baik dan kalau boleh memecahkan rekod yang ada.  Persiapan atau sikap siap-sedia adalah mutlak.  Seperti seorang atlet, kita juga dipanggil untuk mempersiapkan hidup kita untuk suatu kehidupan yang lebih bermakna.

Injil hari ini banyak memperkatakan tentang sikap selalu waspada, berjaga-jaga atau siap-sedia.  Yesus memberikan kita beberapa perumpamaan yang mudah bagi kita untuk memahami pesan-Nya. Pertama sifat berjaga-jaga digambarkan oleh orang-orang yang menantikan tuannya yang pulang dari pesta perkahwinan.  Ada kemungkinan mereka terlelap kerana tidak mengetahui bila tuan tersebut pulang.  Yesus berkata: “Berbahagialah hamba yang didapati tuannya sedang berjaga ketika ia datang.” 

Gambaran yang kedua adalah peranan tuan rumah supaya rumahnya sentiasa dijaga agar pencuri tidak memasukinya.  Gambaran yang ketiga pula adalah keperluan untuk sentiasa bersiap sedia menyambut kedatangan Yesus sebab:  “Anak Manusia datang pada saat yang tidak kamu sangkakan.”

Terdapat berbagai bentuk kesiapsiagaan di mana kita sentiasa menjaga kehidupan kita.  Apa yang ada dalam kesiapsiagaan itu ialah kesetiaan dan komitmen.  Menjadi pengikut Kristus adalah untuk menjadi pengikut yang setia dan sekaligus bijaksana. Namun dalam dunia kita masa kini, setia dan komited adalah sungguh sukar sekali.  Masyarakat moden lebih menyanjung sikap “lepas-bebas, segera, di sini dan sekarang” dan tidak mahu terikat dengan sesuatu masa depan yang tidak diketahui.  Apatah lagi terdapat banyak sekali tawaran-tawaran di dunia yang mengasyikkan dan melalaikan sehingga kita lupa hidup kita ini adalah sementara. Bila-bila masa kita dipanggil Tuhan.

Marilah kita setia kepada panggilan hidup kita masing-masing dimanapun dan pada bila masapun.  Setia kepada janji yang kita lapazkan seperti janji baptis, janji perkahwinan, janji dalam tugas-tugas pekerjaan dan sebagainya.  “Berbahagialah hamba-hamba yang didapati tuannya berjaga-jaga ketika ia datang.”

SOALAN RENUNGAN

  1. Apakah yang dimaksudkan Yesus apabila Dia berkata, “Berbahagialah hamba-hamba yang didapati tuannya berjaga-jaga ketika ia datang?”
  2. Bagaimanakah sikap kita yang terbaik agar sentiasa bersiap sedia menantikan kedatangan Tuhan?

Sharing is caring!