Kuala Penyu – Tema Keuskupan Keningau “Keluarga berpusatkan kepada Kristus, berbudaya menyembah Tuhan, memantapkan iman dan bertanggungjawab sosial”, menjadi tema pada seminar kali ini. Paroki St. Peter Bundu menjadi tuan rumah kepada lebih kurang 1200 peserta yang datang dari Keuskupan Keningau, Keuskupan Agung Kota Kinabalu dan Keuskupan Sandakan.
Seminar Kerahiman Ilahi pada kali ke-3, diawali dengan perayaan Ekaristi yang dipimpin sendiri oleh Yang Mulia Bapa Uskup Datuk Cornelius Piong. Dalam homilinya, beliau mengingatkan bahawa kita adalah alat saluran belaskasihan/kerahiman Tuhan kepada sesama. Melalui seminar ini, kita (peserta) harus menjadikannya titik mula untuk mengasihi Allah, mengenal sifat-sifat Allah yang penuh belaskasihan dan menyebarkan Kerahiman Tuhan melalui Devosi Kerahiman Ilahi.
Seminar yang bermula pada 17 Mac dan berakhir pada 19 Mac, banyak memberi input penting tentang Kerahiman Ilahi kepada umat yang masih mencari maksud dan pengetahuan tentang devosi ini. Kehadiran beberapa penceramah dan pembantu dari Indonesia seperti Fr Valentinus Saheng (Keuskupan Malang), Ir. Henricus Haryanto Tjenderasa dan Dra. Pratricia Estherina A.D (Keuskupan Agung Jakarta) menjadikan seminar ini joyful dan meaningful walaupun terdapat sedikit masalah bahasa (Bahasa Indonesia) yang tidak difahami oleh peserta tapi tidak menjejaskan perjalanan ceramah tersebut.
Dalam seminar ini, para peserta didedahkan dengan sejarah Kerahiman Ilahi dengan memperkenalkan Santa Sr. Maria Faustina Kowalska. Riwayat hidup dan misi Sr. Faustina diceritakan sebagai dasar untuk membentuk peribadi umat yang kuat dan bertahan serta bersabar dalam menghadapi rintangan hidup. Sentiasalah ‘mengandalkan’ Tuhan.
Seterusnya, adalah tanggungjawab Keluarga. Setiap anggota keluarga perlulah menjalankan peranan masing-masing bagi menghidupi dan bersama mengalami spiritual Kerahiman Ilahi. Dalam topik keluarga ini juga diselitkan juga kesaksian oleh bapak Charles (bapa kepada Dra. Pratricia Estherina A.D) yang bagaimana hidupnya berubah dan diselamatkan oleh devosinya kepada Kerahiman Ilahi.
Selain itu, Pesta Kerahiman Ilahi, cara menjalankan chaplet Kerahiman Ilahi, Novena Kerahiman Ilahi, Kerahiman jam 3 dan Indulgensi Penuh Kerahiman Ilahi diterangkan supaya para peserta yang baru mengenal Kerahiman Ilahi boleh melakukan sebaiknya sesuai dengan kehendak Tuhan.
Misa Kudus dengan doa-doa penyembuhan pada 19hb menjadi penutup kepada seminar ini merupakan kemuncak utama menjadikan suasana petang itu menjadi lebih emosinal dengan penyerahan diri sepenuhnya kepada Belas Kasihan Allah. Aktiviti terakhir dalam seminar ini adalah membakar kertas-kertas doa permohonan sebagai simbolik kepada penghantaran doa kepada Allah yang sentiasa berbelas kasih terhadap keluhan umat-Nya.
Sokongan dari Bapa Uskup, Paderi Paroki dan Pembantu, dan kerjasama tim pelaksana termasuk kerjasama dari Kerasulan Kerahiman Ilahi Keuskupan Keningau (KKIKK) yang diketuai oleh Mary Intang serta doa umat merupakan tulang belakang kepada kelancaran seminar ini yang berakhir tepat pada jam 4.00pm. – Stella Eming Dydimus.