SEMINAR PANGGILAN MENJADI PADERI KEUSKUPAN

Artikel oleh : Juanis bin Marcus

Bapa Uskup Cornelius Piong bergambar dengan para paderi, seminarian dan juga peserta seminar.

Keningau-Buat julung kalinya, tahun ini Keuskupan Keningau menjadi tuan rumah bagi Seminar Panggilan menjadi Paderi Keuskupaan. Seminar yang mengabungkan 3 keuskupan di Sabah, iaitu Keuskupan Agung Kota Kinabalu, Keuskupan Keningau, dan Keuskupan Sandakan ini diadakan di Pusat Ziarah Keluarga Kudus, Nulu Sosopon dan akan berlangsung selama 3 hari, dari  13 -15 Januari ini.

Seramai 85 peserta yang menyahut panggilan kali ini, iaitu 40 orang dari Keuskupan Agung Kota Kinabalu, 31 orang dari Keuskupan Keningau dan 14 orang pula  dari Keuskupan Sandakan. Seminar ini dikendalikan oleh para seminarian terdahulu dan diketuai oleh para paderi yang mengetuai Komisi Panggilan di keuskupan masing-masing iaitu, Fr.Roney Mailap, Fr.Isidore Gilbert, Fr.Christopher Ireneus dan Fr.Mattheus Agustine.

Semasa homili dalam Misa Pembukaan, Yang Mulia Bapa Uskup mengatakan bahawa kita tidak dapat datang kepada Tuhan dengan kekuatan sendiri, tetapi kerana Tuhanlah yang berkarya.

Menjelaskan hal ini, prelatus itu mengumpamakan pembacaan pada hari tersebut(Mrk 2:1-12), tentang seorang yang lumpuh terpaksa digotong oleh orang lain untuk datang kepada Yesus, seperti itu juga kita hanya dapat  datang kepada Tuhan kerana campurtangan-Nya.

“Sebelum kamu mengatakan YA untuk datang ke seminar ini, tentu ada orang lain yang berusaha untuk mempromosikan dan mengajak kamu untuk menyertainya. Itulah tanda bahawa Tuhan sedang bekerja untuk memanggil kamu,”terang prelatus itu kepada para peserta.

Bapa Uskup Cornelius juga mengatakan persoalan yang terpenting untuk para peserta adalah, “Apakah yang kamu mahu?”, dalam mengikuti Yesus. “Seperti murid Yohanes Pembaptis yang ingin mengikuti Yesus,  pertanyaan yang pertama Yesus  tanyakan kepada mereka adalah, apakah yang kamu mahu? Yesus tidak bertanya siapakah dirinya. Ini beerti, mengenal apakah yang kita inginkan dari Yesus adalah sangat penting untuk kita ketahui,”tegas prelatus itu.

“Semoga sepanjang 3 hari ini, semua peserta dapat mendengar, merenung dan mengimani Yesus sehingga kamu memperolehi jawapan apakah yang kamu inginkan daripadaNya,”tutup prelatus itu.

Kita doakan semoga ramai dikalangan peserta kali ini menyahut panggilan untuk menjadi sang penuai di ladang Tuhan yang  luas ini.

Sharing is caring!