Keningau – Sempena Tahun Suci Berbelas Kasih yang dicanangkan oleh Sri Paus Fransiskus bermula dari 08 November 2015 – November tahun ini, team Kerasulan Kerahiman Ilahi Keuskupan Keningau (KKIKK) berkenan mengadakan seminar Kerahiman Ilahi buat umat yang ingin mengetahui dan mendalami pesan Tuhan Yesus yang disampaikan melalui St Faustina. Seminar pada kali ini diadakan di Dataran Terbuka Keuskupan Keningau dan berlangsung dari 27-28 Februari 2016.
Seramai 1008 peserta telah mendaftarkan diri mengikuti seminar tersebut. Bangku-bangku yang disediakan mulai dipenuhi dan menantikan program untuk segera dimulai. Acara pada pagi hari dimulai dengan perayaan Ekaristi yang dipimpin oleh Rev Fr Valentinus Saeng dari Kongregasi Misionaris Oblat Maria Imakulata (OMI). Para penceramah dalam seminar kali ini didatangkan khas dari negara Indonesia. Mereka-mereka ialah Rev Fr Valentinus Saeng OMI, dan dibantu pasangan suami isteri iaitu Bapak Haryanto dan Ibu Estherina.
Di dalam homilinya, Rev Fr Valentinus Saeng OMI bersyukur kepada Tuhan kerana banyak umat yang tergerak hati untuk mengenal dan mengalami lebih dalam Kerahiman Allah yang tiada taranya. Ini terjadi bukan atas kehendak para peserta melainkan undangan dari Allah Bapa sendiri agar umat-Nya semakin mengenal dan mendekatkan diri kepada Tuhan. Selain itu, beliau juga berharap bahawa setiap umat Katolik dimana pun mereka berada, hubungan atau relasi yang akrab dengan Tuhan harus selalu dipelihara. Tanpa relasi yang intim ini, tidak mudah untuk seseorang mengalami dan percaya akan Kerahiman Tuhan yang luarbiasa. Tidak mungkin orang mahu menginjakkan kakinya ke bilik pengakuan, sekiranya tidak percaya bahawa dosa-dosanya akan diampuni oleh Tuhan. Kedekatan dengan Tuhan adalah inti utama orang boleh mengalami secara peribadi pengampunan dan kerahiman Allah.
Setelah itu, Rev Fr Valentinus Saeng OMI, Bapak Haryanto dan Ibu Estherina membawa para peserta untuk mendalami siapakah Sr Faustina yang menerima penampakan dari Tuhan Yesus, bagaimana mendoakan doa koronka, dan dari para penceramah, peserta diajarkan bahawa devosi ini tidak memiliki erti apa-apa sekiranya devosi Kerahiman Ilahi tidak membawa seseorang kepada Ekaristi dan Sakramen-Sakramen yang ada di dalam Gereja. Kerana inilah juga yang ditekankan oleh St Faustina di dalam buku hariannya. Kehadiran dan kedekatan seseorang, dapat diketahui dengan kehadirannya di dalam perayaan Ekaristi dan penghayatannya di dalam menerima Sakramen-Sakramen terutama Sakramen Ekaristi dan Sakramen Rekonsiliasi.
Keesokan harinya, seminar Kerahiman Ilahi ini ditutup dengan perayaan Ekaristi yang dipimpin oleh Rev Fr Valentinus Saeng OMI. Sesudah komuni, para peserta diajak untuk melakukan penyembahan kepada Sakramen Mahakudus dan doa-doa penyembuhan dilantunkan kepada Tuhan Yesus agar kerahiman-Nya turun ke atas umat-Nya dan menyembuhkan sakit penyakit, terlebih mereka yang menderita sakit batin. Di akhir ucapan, beliau berpesan kepada semua umat yang hadir agar devosi Kerahiman Ilahi ini semakin berakar di dalam kehidupan mereka, terlebih membawa mereka semakin mencintai Gereja Katolik, semakin rindu mahu menerima Tubuh Yesus di dalam perayaan Ekaristi dan mengakukan dosa-dosa mereka di dalam Sakramen Rekonsiliasi.