KENINGAU: Seminar Informasi Panggilan peringkat Keuskupan Keningau anjuran Tim Komisi Panggilan Keuskupan Keningau (TKPK) telah diadakan pada 21hb-23hb April 2017 bertempat di Gereja St. Anthony Abbot, Apin-Apin, Keningau.
Bersama dalam seminar tersebut, hadir bersama Tim dari Paderi Keuskupan, Kongregasi Sister Puteri Karmel, Franciscan Sister of the Immaculate Conception (FSIC), Brother Carmelite Sancti Eliae (Brother CSE), La Salle Brother (FSC), dan Institusi Sekular Komuniti Betania (ISKB).
Turut bersama dalam merayakan Misa pembukaan, harian dan penutupan seminar tersebut ialah Rev. Fr. Hilanus Simon dan Rev. Fr. Bonaventure Unting selaku Pengerusi Tim TKPK masing-masing menekankan akan pentingnya mempertimbangkan hidup Kepaderian atau Religius dikalangan anak muda selaras dengan keperluan umat setempat pada masa kini. Selain itu juga, renungan yang disampaikan oleh seminarian David Gasikol semasa Adorasi juga menekankan akan “panggilan kepada kehidupan” adalah asas dan kata kunci untuk memperdalamkan apa sebenarnya panggilan seseorang itu. Dalam renungannya, Seminarian David mengambil analogi “Taj Mahal Shah Jehan” untuk memahami “kayu salib” sebagai makna Cintakasih Allah kepada umat manusia. Beliau merumuskan di akhir renungan dengan meninggalkan refleksi “apakah Taj Mahal daripada kita sebagai balasan kepada Taj Mahal Salib Kristus itu”.
Seminar Informasi Panggilan ini telah dihadiri seramai 40 orang belia dan beliawanis daripada seluruh Keuskupan.