Keningau: Pada 29hb – 31hb Januari 2015, Katekis Ibadat Sabda bagi Keuskupan Keningau dan Keuskupan Agung Kota Kinabalu telah menganjurkan retret untuk para katekis. Retret pertama di tahun baru ini bertempat di Rumah Retret Keuskupan Keningau Tatal (RRKKT). Seramai 300 wakil hadir iaitu 200 peserta berasal dari Keuskupan Keningau dan 100 peserta datang dari Keuskupan Agung Kota Kinabalu. Untuk retret kali ini, Komiti Utama penganjur diserahkan kepada Keuskupan Keningau.
Misa Kudus pembukaan telah disempurnakan oleh Fr. Francis Dakun. Dalam homilinya, Fr Francis sekali lagi mengangkat peranan yang dimainkan oleh para katekis. Beliau menambah bahawa dewasa ini para katekis memainkan peranan yang sangat penting dalam hal evangelisasi. Mengutip ajaran Paus Yohanes Paulus II dalam surat ensikliknya Redemptoris Missio, mengatakan bahawa dalam daerah-daerah misi, peranan katekis merupakan sesuatu sumbangan yang mutlak dan penting untuk penyebaran iman dan Gereja.
Beliau menekankan bahawa “para katekis adalah “para pekerja yang khusus, para saksi iman yang langsung, para evangelis yang tak tergantikan, yang mewakili kekuatan dasar komuniti Kristiani…” Kitab Hukum Kanonik menyebutkan bahawa para katekis adalah “anggota umat beriman yang telah menerima formasi yang layak, dan teladan dalam hal menghidupi kehidupan Kristiani. Di bawah arahan para misionaris, mereka menghadirkan Injil dan terlibat dalam penyembahan liturgi dan karya belas kasih.”
Di akhir homili, beliau memberi sedikit petua apa yang harus dimiliki oleh para katekis. Para katekis haruslah memiliki SABIT. Ketika ditanya apakah erti dari SABIT itu, Fr Francis menjelaskan bahawa sukacita, bijaksana, keintiman/kedekatan dengan Tuhan, ketabahan dan ketaatan harus selalu menjadi dasar bagi karya pelayanan mereka. Tanpa relasi yang dekat dengan Tuhan, semua pekerjaan nampaknya membebankan dan tidak menghasilkan buah berlimpah.
Hari kedua retret, para katekis di bawa oleh Fr Rudolf Joannes untuk melihat peran para katekis dari sudut ensilklik Evangeli Gaudium. Beliau mengatakan bahawa “ para katekis mempunyai peranan penting dalam perkembangan manusia dan penegakan keadilan. Oleh kerana mereka hidup sebagai orang awam dalam masyarakat, mereka boleh memahami dengan baik, menafsirkan dan berusaha menemukan jalan keluar bagi masalah-masalah peribadi dan sosial dalam terang Injil. Oleh kerana itu, mereka harus benar-benar dekat dengan umat, membantu mereka untuk memahami kenyataan kehidupan sosial sehingga mereka dapat berusaha memperbaikinya, dan kalau perlu, mereka harus berani bercakap atas nama kaum lemah dan membela hak-hak mereka.
Para katekis bertuah kerana misa di akhir retret pada kali ini dipersembahkan oleh Yang Mulia Bapa Uskup Datuk Cornelius Piong. Di dalam khotbahnya, beliau menekankan semangat yang harus dimiliki oleh para katekis. Yesus menggambarkan diri-Nya sebagai gembala yang baik dan semangat inilah yang harus dimiliki iaiti semangat gembala yang baik. Memiliki kerendahan hati dan dikuasai oleh kasih membuat umat semakin mengenal dan mengalami kehadiran Tuhan. Akhirnya para katekis harus dikuasai oleh Roh Kudus. Roh Kudus mengubah manusia lama yang dikuasai dosa menjadi manusia baru “Roh Kudus dapat dikatakan memiliki kreativitas tak terbatas, tepat untuk pikiran ilahi, yang tahu bagaimana melonggarkan simpul-simpul permasalahan manusia, bahkan yang paling rumit dan sukar difahami” (EG. 178).