KENINGAU – Bertempat di Dataran Keuskupan Keningau, Seramai 425 orang katekumen telah mengikuti rekoleksi dan raptai penerimaan calon baptis, antara yang turut mengikuti rekoleksi ini ialah, KSFX, Biah, Magatang, Toboh Laut, Liau dan juga naungan dari Bulu Silou (yang bernaung di bawah Paroki Katedral St Francis Xavier), Sabtu pagi, 4 Mac.
“Memikul salib dan mengikuti Yesus setiap hari dan juga sikap tidak mementingkan diri semua itu memerlukan pengorbanan yang besar untuk menjadi pengikut Yesus”, antara ucapan yang diberikan oleh Bapa Uskup Datuk Cornelius Piong semasa rekoleksi. Beliau juga menyeru kepada semua para Katekumen yang akan dilantik untuk menjadi calon baptis hendaklah sentiasa rajin membaca, mendengar dan menghayati firman Tuhan, melalui media juga seperti WhatApp kita boleh mendengar bacaan Injil dan renungan yang dikongsikan, seperti Fresh Juice ataupun Kopi Rohani agar lebih dapat mempersiapkan diri untuk dibaptis pada malam Paska nanti.
Didalam kesempatan ini Bapa Uskup juga ada berpesan kepada semua para Katekumen untuk tidak sekadar hanya hangat-hangat tahi ayam dalam mengikuti pembelajaran untuk mengenali Kristus. Persiapan dari segi kerohanian terutama semasa Prapaskah ini amat dititikberatkan agar mereka yang ingin dibaptis betul-betul sudah membuat keputusan dan bersedia untuk menjadi pengikut Yesus yang sejati – Feabiah Anak Sandar.