Keningau – Pada 10 Januari 2015 para pengajar Sekolah Minggu Paroki KSFX mengadakan rekoleksi bertajuk “Mengenali dan Mengasihi Ekaristi” bertempat di Dataran Keuskupan, Keningau. Rekoleksi ini merupakan bahagian program kerja yang telah direncanakan tahun 2015 dalam menyambut tema Keuskupan Keningau pada tahun ini dengan nara sumber Bapa Uskup Datuk Cornelius Piong dan Seminarian Wilfred.
Rekoleksi ini dihadiri oleh semua peserta katekumen yang bernaung di bawah Paroki KSFX yang berjumlah 333 orang. Pada intinya Bapa Uskup Datuk Cornelius Piong menyampaikan proses dan makna perayaan Ekaristi. Ekaristi adalah santapan rohani bagi umat Katolik. Yesus sungguh-sungguh hadir dan kehadiran umat bukanlah kerana hokum tetapi kerana kerinduan hati untuk bersatu dengan Yesus yang adalah Sumber dan Puncak. Beliau juga mengongsikan pengalaman beliau sebagai seorang paderi waktu itu. Walaupun sudah ditahbiskan sebagai paderi, beliau masih terus berusaha mencari tahu tentang kekayaan yang terkandung dalam Ekaristi. Dan ketika beliau sudah ditahbiskan menjadi Uskup, beliau merasa adanya tanggungjawab besar bagi beliau untuk mendidik dan mengajarkan kepada umat untuk semakin menghargai Ekaristi. Di akhir sesi, beliau sekali lagi mengingatkan bahawa kehadiran kita ke perayaan Ekaristi bukanlah atas kehendak kita, melainkan undangan Yesus sendiri: “Marilah kepada-Ku…” (bdk Mat 11:28).
Selanjutnya, Seminarian Wilfred membawa para peserta untuk mengenali Ekaristi dari sudut sejarah. Bagaimana Ekaristi boleh tertubuh, Simbol-simbol yang ada dalam Ekaristi dan mengapa Ekaristi adalah Sumber dan Puncak hidup seorang kristiani. Peserta yang hadir tidak hanya mendapat pengetahuan secara teori belaka tetapi juga pengalaman peribadi dari kedua penceramah yang sedikit sebanyak telah membuka mata dan hati para peserta untuk mengenal dan mengasihi Yesus yang hadir dalam sekeping hosti yang telah dikonsekrasi.
Semua info-info yang telah diterima tidak dibiarkan begitu sahaja. Para peserta akhirnya dibagi menjadi beberapa kelompok. Tujuannya adalah membiarkan para peserta mengongsikan apa yang telah mereka perolehi dari kedua ceramah berkenaan. Selanjutnya mereka diberi kesempatan untuk membentangkan hasil perkongsian kelompok. Walaupun baru bergelar sebagai katekumen, tetapi pengetahuan dan kesediaan mereka untuk menjadikan Yesus sebagai Juruselamat dan Penebus, begitu membanggakan. Semoga iman yang telah tumbuh semakin berkembang sesuai dengan perkembangan rohani peribadi masing-masing peserta.
Rekoleksi pada kali ini diakhiri dengan makan tengahari bersama. Ini adalah ungkapan terima kasih atas berkat yang telah Tuhan berikan di awal tahun yang baru ini. Semoga Ekaristi, Yesus yang sungguh hadir dalam sekeping hosti yang kecil, membuat para peserta semakin rindu untuk menyambutnya.



