Keningau – Rumah Retret Keuskupan Keningau, Tatal (RRKKT) telah menjadi tempat dimana seramai 182 peserta yang mewakili masing-masing paroki dan mission telah mengikuti program Pewarisan Iman dalam Keluarga yang dianjurkan oleh Komisi Katekatikal, Keuskupan Keningau. Dalam program kali ini, Sr Maria Chan FMM dan Dr Bernadette berkenan menjadi fasilitator yang membawa para peserta untuk mengenal dan mengali kembali bagaimana iman diwariskan kepada para peserta dan seterusnya kepada anak-anak dewasa ini.
Program sehari ini bertujuan untuk membawa para peserta untuk mengenali lebih dalam berkaitan dengan tema yang dipilih pada tahun ini iaitu “Keluarga dan Anak-anak”. Ini adalah persiapan untuk menyambut Jubli Perak Keuskupan Keningau ke-25 yang akan disambut pada tahun 2017-2018 mendatang. Fasilitator kali ini didatangkan khas untuk membantu dalam menjayakan program Pewarisan Iman dalam Keluarga. Sr Maria Chan FMM seorang biarawati dari Kongregasi Franciscan Missionaries of Mary dan beliau adalah anggota Komisi Katekatikal Malaysia sedangkan Dr Bernadette pula seorang doktor yang pernah bertugas di Keningau dan beliau ahli dalam meditasi.
Sr Maria Chan FMM memulai ceramah beliau dengan menceritakan bahawa dia lahir bukan di dalam keluarga Katolik. Di dalam pencariannya, beliau akhirnya menemukan bahawa di dalam Gereja Katoliklah ada kebenaran dan keselamatan. Beliau semasa mudanya adalah seorang guru dan di dalam kesehariannya, beliau selalu bersama dengan guru-guru dari agama lain. Dan di dalam diskusi-diskusi berkaitan dengan iman, beliau sempat goyah tetapi syukurlah bahawa pengalaman pertamanya mengenal Tuhan telah menguatkan beliau kembali dan berpegang teguh dengan iman kristianinya. Dan program kali ini berbeza dengan biasanya dimana beliau akan menerangkan sedikit kaitannya dengan topik dan setelah itu para peserta diminta untuk mensharingkan pengalamannya di dalam kelompok yang telah disediakan. Antara pertanyaan-pertanyaan yang dilemparkan kepada peserta adalah seperti berikut:
- Siapakah dalam keluargaku yang mewariskan iman kepada aku dan bagaimana caranya?
- Siapakah yang memperkenalkan Yesus Kristus kepada aku dan bagaimana caranya?
- Mewariskan iman kepada generasi muda dalam keluarga pada zaman sekarang
- Perkongsian cadangan-cadangan pelbagai cara dan tindakan demi mewariskan iman kepada generasi muda dalam keluarga
Di dalam program kali ini, umat atau peserta mengambil bahagian di dalam mengongsikan pengalaman bagaimana iman diwariskan kepada mereka dan apakah cabaran-cabaran yang dilalui dan bagaimanakah caranya untuk mengatasinya.
Tepat jam 4 petang, program sehari ini sampai pada akhirnya dan peserta mempersiapkan diri untuk mengikuti perayaan Ekaristi dalam merayakan Santa Perawan Maria diangkat ke syurga.
Di dalam kotbahnya, Bapa Uskup memulai kotbahnya dengan menceritakan kisah “Kita bukan Penyu”. Ketika penyu betina sudah saatnya untuk bertelur, penyu akan pergi ke pantai, menggali pasir untuk menyimpan telurnya dan penyu betina akan kembali ke laut dan tidak akan kembali lagi untuk melihat kesudahannya. Telur-telur itu dierami tanpa induknya dan setelah menetas pun, anak-anak penyu perlu berjuang untuk menuju ke air laut. Dari ratusan biji telur, hanya belasan saja yang berhasil menuju laut. Sampai beranjak dewasa pun, anak penyu tidak akan tahu siapa induknya. Bahkan ketika berjumpa dengan penyu-penyu lain pun, besar kemungkinan penyu itu tidak akan tahu itu induknya atau bukan.
Bersyukurlah kita bukan penyu yang senang membuat keturunan tetapi tidak mahu bertanggungjawab. Sejahat-jahatnya kita sebagai manusia, kita tetap mahu membesarkan anak-anak kita, menyediakan makanan, pakaian, pendidikan, mewariskan iman dan sebagainya bagi anak-anak. Sepanjang hari ini kita telah membincangkan tentang mewariskan iman dan perkara ini sangat penting tetapi memerlukan komitmen yang tinggi dan untuk itu kita perlu kembali ke visi dan misi Keuskupan kita iaitu supaya dapat membangun komuniti Umat Allah yang komited dan efektik melayani kerajaan-Nya, termasuklah mewariskan iman memerlukan komitmen supaya kita lebih efektif dalam mewariskan iman kita.
Melalui seminar-seminar, devosi-devosi telah kita lakukan tetapi kenapa tidak tumbuh iman yang sejati? Syukur kerana esok kita akan dibawa untuk mengenal satu lagi cara bagaimana kita dapat memantapkan iman kita melalui hening atau meditasi. Hanya apabila sudah terjalin hubungan yang akrab dengan Yesus maka iman kita akan menjadi lebih mantap. Jika kita tidak memiliki relasi dengan Yesus maka kita tidak akan mempunyai asas atau fondasi sehingga godaan atau cubaan yang datang menjadikan kita mudah untuk tunduk dan terjerumus di dalamnya.
Di dalam kita mewariskan iman, pertama-tama kita perlu memiliki dan perlu beriman. Ada tiga perkara yang perlu kita jadikan budaya dalam hidup sehari-hari iaitu:
- Perlu utamakan usaha mengenal Yesus tiap-tiap hari.
- Sikap terlibat perlu ada.
- Fokus kepada peribadi Yesus di dalam semua bidang pelayanan dan bukannya “Aku”.

Banyak cara untuk mewariskan iman tetapi Bapa Uskup percaya jika iman yang kita miliki itu sungguh-sungguh sudah meresap dan berakar di dalam hidup kita, maka evangelisasi baru mengatakan “Orang akan mengenal Yesus, mendengar Yesus, menyentuh Yesus melalui diri kita”. Itulah cara kita diam-diam mewariskan iman. Kita bersyukur kerana pada hari ini kita merayakan pengangkatan Bonda Maria sebagai model iman kita.
Keesokan harinya Sr Maria Chan FMM dan Dr Bernadette mengunjungi anak-anak yang telah berkumpul di Dataran Keuskupan Keningau. Di sana Sr Maria Chan FMM mengajarkan kepada anak-anak bagaimana caranya untuk bermeditasi.