PRA-PUKAT KE-11 PENDALAMAN BAWAH KEUSKUPAN KENINGAU

KUALA PENYU : Berlandaskan misi Keuskupan Keningau “Umat Allah Berjalan Bersama dalam Kesatuan, Kesetiaan dan Kekudusan Yesus Kristus,” Rumah Retret St. Theresia Kanak-kanak Yesus, Purun, Kuala Penyu menyaksikan Pra-Perhimpunan Awal Umat Katolik (Pra -PUKAT) Gabungan 4 Paroki Pendalaman bawah Keuskupan Keningau pada 08 September 2018.

Perhimpunan wakil umat dari Paroki St. Peter Bundu, Kuala Penyu, Paroki St. Valentine, Beaufort, Paroki St. Patrick, Membakut dan Paroki St. Yohanes, Sipitang  dimulakan dengan doa pembukaan dan bacaan Injil untuk pemberkatan dan peringatan yang kita memerlukan Yesus sebagai panduan dan pembimbing dalam setiap pekerjaan yang akan kita lakukan.

Surat ucapan alu-aluan Pra-PUKAT oleh Bapa Uskup Cornelius Piong dibacakan oleh Msgr. Gilbertus J. Engan menyatakan sokongan beliau dalam usaha memantapkan iman umat Katolik.  Seterusnya adalah sesi Orientasi Umum iaitu Pengenalan kepada Pra-Pukat telah disampaikan oleh Sdra Fredolin Umis dari Tim ADHOC Pra-Pukat. 

Bengkel kumpulan berpandukan dua soalan Pra-Pukat iaitu Apakah sumbangan yang telah direalisasikan sejak PUKAT-1 dalam membentuk umat Allah yang komited dan melayani kerajaanNya? Apakah langkah-langkah rohani yang patut diambil supaya kita mampu hidup bersama dalam kesatuan, kesetiaan dan kekudusan Yesus Kristus? membolehkan kita melihat dan menilai perkembangan iman umat dan seterusnya mengambil tindakan yang sesuai dalam pemantapan iman dalam zaman teknologi yang mencabar ini.

Dalam sesi pembentangan hasil bengkel terdapat banyak isu-isu, cabaran dan langkah-langkah yang telah diketengahkan oleh perwakilan setiap Paroki.  Antara beberapa isu dan permintaan yang menarik perhatian adalah penyertaan umat dalam aktiviti gereja khasnya sesi Saat Teduh adalah sangat kurang, isu alam sekitar yang tidak diberi perhatian, mantapkan aktiviti belia dan kanak-kanak serta minimumkan minuman tradisional atau beralkohol dalam setiap perayaan atau acara yang dianjurkan atas nama Gereja bagi menjaga imej Katolik.

Msgr Gilbertus dalam kesimpulalnnya menyatakan penghargaannya kepada semua kerana dalam perhimpunan ini memperlihatkan bahawa umat sangat mengambil peduli tentang keuskupan. Ini dapat dilihat dalam pelayanan yang kini berbeza, adanya kejayaan dalam KKD, umat dan belia ada kemajuan dan pengurusan kewangan serta harta gereja yang lebih baik.  Beliau juga  menyimpulkan terdapat 14 isu yang harus diambil perhatian dan tindakan iaitu Rekoleksi iman, pelayanan, keluarga, belia, kanak-kanak, Saat teduh, Guru Katolik, alam sekitar, 3 OM (dalam buku Pastoral Keuskupan keningau), Paderi dan Religius, Umat – sekularasi dan isu pengislaman.

Dalam Misa Penutupan, Rev. Fr. Boniface Kimsin meminta umat untuk menyerahkan dan memohon bantuan doa dalam menjayakan PUKAT ke-11 nanti.  Pra-Pukat ke-11 diakhiri dengan sesi pemotongan kek sempena Pesta Kelahiran Bonda Maria, sesi bergambar dan makan tengah hari bersama. KOMSOS Kuala Penyu

Sharing is caring!