Membakut – Upacara Pemberkatan Pintu Kudus Tahun Belas Kasihan dan Misa Kudus Pelancaran Pusat Ziarah Jubli Tahun Belas Kasihan di Paroki Membakut telah diadakan pada 22 Januari 2016 yang baru lalu tepat pada jam 6.oo petang. Upacara pemberkatan dan pelancaran ini telah dimulakan dengan doa rosari seterusnya diikuti dengan penyampaian katekesis, akhir sekali upacara pemberkatan Pintu Kudus dan misa kudus pelancaran yang disempurnakan oleh Yang Mulia Bapa Uskup Datuk Cornelius Piong bersama 17 orang paderi dari Keuskupan Keningau dan Keuskupan Kota Kinabalu serta dihadiri 1000 orang umat yang datang dari kedua-dua keuskupan. Pelancaran ini menandakan bahawa Paroki St. Patrick Membakut dengan rasminya akan menjadi pusat ziarah bagi Keuskupan Keningau sepanjang Tahun Belas Kasihan dirayakan.
Sebagai persediaan bagi upacara pemberkatan dan pelancaran ini, umat katolik Paroki St.Patrick Membakut telah dipersiapkan dengan katekesis pertama yang telah disampaikan oleh Rev. Fr. Dr. Charles Chiew pada 17 Januari 2016 dan katekesis kedua pada 22 Januari 2016, sejurus sebelum upacara pemberkatan dan misa pelancaran dijalankan. Katekesis ini memberi pengertian tentang makna Pintu Kudus, serta simbolik kewujudan Pintu Kudus melalui sejarah-sejarah yang tercatat didalam alkitab dan juga bagaimana sikap berbelas kasihan menjadi pintu utama seorang Katolik untuk mendekati Kristus.
Didalam homilinya pula, Bapa Uskup Datuk Cornelius Piong mengatakan bahawa, Pintu Kudus adalah simbolik kepada relasi antara manusia dan Tuhan, dimana setiap kali kita melalui Pintu Kudus dengan sikap yang rendah diri dan keterbukaan, kita akan dapat melihat orang lain dengan penuh belas kasih, serta berupaya untuk memperbaiki hubungan dengan Kristus melalui sikap belas kasihan terhadap orang lain yang memerlukan. Bapa Uskup juga mengingatkan setiap umat bahawa, perjalanan iman seseorang itu bukan setakat sehingga menerima sakramen pembaptisan sahaja. Dengan sikap demikian, ianya tidak membantu peribadi seseorang umat dalam membangun relasi atau kesatuan dengan Tuhan dan seterusnya tidak dapat merasai kehadiran Tuhan didalam hidupnya.
Didalam misa kudus ini juga, Majlis Pastoral Paroki (MPP) St. Patrick Membakut melalui Pengerusinya, saudara Osmund Osmin Benati meyampaikan ucapan terima kasih dan penghargaan yang tidak terhingga kepada Yang Mulia Bapa Uskup Cornelius Piong kerana telah memilih Paroki St. Patrick Membakut sebagai pusat ziarah iman bagi Jubli Tahun Belas Kasihan dan berharap melalui peristiwa ini, umat Katolik di paroki ini dapat sama-sama membangun iman Katolik dan semakin berbelas kasihan diantara sesama. Beliau juga menyampaikan cenderahati kenangan kepada semua Ahli Jawatankuasa MPP dari paroki-paroki di seluruh Keuskupan Keningau.
Selepas upacara Pemberkatan Pintu Kudus Belas Kasihan dan Misa Pelancaran Pusat Ziarah Jubli Tahun Belas Kasihan, semua umat telah dijemput bersama untuk acara makan malam dan fellowship bersama Bapa Uskup, para paderi, religius dan Ahli Jawatankuasa MPP dari paroki lain yang hadir sambil menyaksikan persembahan-persembahan yang disediakan oleh Komiti Kerasulan Belia Katolik (KBK) dengan kerjasama Komiti Liturgi Sabda Kanak-kanak, serta Komiti Pelayan Altari dan Komiti Umat Katolik (KUK) dari stesen luar Paroki St. Patrick Membakut.
-KOMSOS Paroki St. Patrick Membakut.-
LAPORAN / GAMBAR:
Patricia Bai / George Pansiol