Keningau – Pesta Yesus menampakkan kemuliaan-Nya atau lebih dikenali dengan Transfigurasi dirayakan oleh Bapa Uskup Datuk Cornelius Piong dan dibantu oleh Rev Charles Chiew pada misa senja yang lalu (5/8). Seramai lebih dari 300 umat turut serta dalam perayaan Ekaristi tersebut. Dan di dalam pembukaan, Bapa Uskup mengingatkan umat bahawa perubahan akan terjadi jika kita dekat dengan Dia dan tinggal di dalam Dia.
Di dalam kotbahnya, beliau menjelaskan bahawa di dalam Injil Sinoptik terdapat dua versi iaitu menurut Injil Matius dan Markus, Yesus menampakkan kemuliaan-Nya di tempat yang tinggi sedangkan menurut Injil Lukas, Yesus naik ke tempat yang tinggi untuk berdoa dan ketika itulah wajah Yesus berubah dan jubah-Nya menjadi putih berkilau-kilauan. Lanjutnya, beliau menekankan apa yang menjadi perhatian ialah perubahan yang terjadi pada wajah Yesus. Perubahan ini terjadi disebabkan hubungan Anak dengan Bapa di syurga. Kedatangan-Nya bersama ketiga Rasul adalah untuk berdoa dan buah dari doa atau relasi yang akrab dengan Bapa, maka terjadilah perubahan keatas wajah Yesus. Dan dari perubahan yang disaksikan oleh ketiga Rasul itu, di kemudian hari mereka teringat kembali bahawa Yesus sungguh-sungguh Putera Allah. Dan pada masa yang sama, Bapa memperdengarkan suara dan meneguhkan siapakah Yesus dengan mengatakan “Inilah Anak yang Ku-kasihi, dengarkanlah Dia”. Pernyataan ini sebagai bukti bahawa Yesus sungguh-sungguh Putera Allah.
Bapa Uskup menceritakan apa yang sedang berjalan di Rumah Retret di Pace Bene, Purak Papar. Dikatakan bahawa di tempat itu sedang berlangsung pertemuan wakil-wakil belia dari seluruh Asia yang ke-3. BILA atau nama panjangnya iaitu “Bishop’s Institute of Lay Apostolate of Youth’s” dihadiri oleh para belia dari seluruh Asia dan juga beberapa Uskup dan Paderi. Dalam pertemuan ini, beliau tertarik dengan satu tema yang ada kaitannya dengan pesta yang dirayakan pada petang hari ini dan esok hari. Tema yang mereka gunakan adalah “Transform by Christ and His Church, Transforming Asia” dan jika diterjemahkan ke dalam Bahasa iaitu “Diubah oleh Kristus dan Gereja-Nya untuk mengubah Asia”.
Tema ini bercakap tentang perubahan dan perubahan itu amat penting untuk membawa suatu perubahan disekeliling kita. Tegasnya, pertama-tama kita secara peribadi perlu diubah menjadi seorang insan yang baik dan yang mengubah kita itu bukanlah semata-mata dari kemampuan kita sendiri tetapi perubahan itu terjadi kerana relasi kita dengan Tuhan. Relasi kita dengan Yesus dan juga relasi kita dengan-Nya dan oleh Dia. Seperti yang terjadi kepada Yesus, perubahan itu terjadi kerana relasi peribadi-Nya dengan Bapa yang mengutus-Nya dan itulah sumber kekuatan dan semangat bagi Yesus untuk mengubah orang-orang yang ditemui-Nya atau orang-orang yang belum percaya kepada-Nya. Demikian juga dengan kita, memang tema atau matlamat Umat Keuskupan Keningau ini adalah “Menjadi Komuniti Umat Allah yang komited dan efektif melayani Kerajaan-Nya”. Diharapkan melalui diri kita masing-masing, kita dapat membawa perubahan kepada sekeliling kita tetapi perubahan itu tidak akan berlaku, jika di dalam diri kita atau kita tidak dapat membawa perubahan disekeliling kita jika relasi kita dengan Tuhan belum ada, hubungan masih ditahap apa yang boleh dan apa yang tidak boleh dan yang terlalu mementingkan luaran sahaja. Kita perlu meningkatkan dan mengubah relasi kita dengan Tuhan yang sungguh-sungguh menyentuh peribadi Yesus bahawa Dia itu sungguh-sungguh nyata dan sumber, alasan dan tujuan hidup kita. Hanya dengan inilah saudara-saudari, kita dapat membawa perubahan dengan penuh komitmen dan usaha kita itu berkesan.