oleh: Caroline Liew
MEMBAKUT – Seramai lebih kurang 300 belia Katolik dari 9 Paroki dan 1 Mission yang ada di Keuskupan Keningau membanjiri gereja Paroki St.Patrick Membakut bagi menjayakan Pesta Koir Belia Peringkat Keuskupan Keningau tahun 2022 yang telah berlangsung pada 03 September 2022, jam 7 Petang.
“Syukur kepada Tuhan kerana setelah menanti selama 5 tahun, maka pada tahun ini kita sekali lagi dapat menganjurkan Pesta Koir Belia yang mana kali terakhir diadakan pada tahun 2017 di Paroki St.Peter Bundu Kuala Penyu.” Koordinator Pesta Koir Belia 2022 Saudara Roney Alfred Eming menyatakan rasa syukurnya dalam ucapan alu-aluan, beliau berkata selain bertujuan untuk memperbanyakkan lagu-lagu untuk liturgi dalam gereja, Pesta Koir Belia juga merupakan kesempatan para belia untuk bertemu dan mengeratkan persaudaraan. Pada kali ini, tim penganjur telah menetapkan 2 tema dalam persembahan lagu-lagu ciptaan iaitu Tema Keharmonian Alam Ciptaan Tuhan (KACT) dan Tema Perkhawinan.
Daripada 10 kontinjen yang menyertai Pesta Koir Belia Peringkat Keuskupan 2022 ini, dengan membawakan 2 buah lagu mengikut tema yang bertajuk ‘Untuk Keadilan Cinta dan Kedamaian serta Perkhawinan Panggilan Mulia’ Paroki St.Theresa Tambunan sekali lagi dinobatkan sebagai juara sekaligus mempertahankan kejuaraan buat kali ke 5 dalam Pesta Koir Belia Keuskupan Keningau. Naib Johan disandang oleh kontinjen Katedral St.Francis Xavier Keningau dan Tempat Ketiga dimenangi oleh kontinjen Paroki Roh Kudus Sook. Anugerah lirik terbaik lagu untuk Tema KACT diangkat oleh Katedral St.Francis Xavier hasil ciptaan Harry Adea bertajuk ‘Laudato si’ Allah Pencipta’ dan anugerah lirik terbaik lagu untuk Tema Perkhawinan diangkat oleh Paroki Holy Cross Toboh hasil tulisan Esther J Dominic yang bertajuk ‘Dua jadi satu dalam Tuhan’. Terdapat juga beberapa anugerah khas yang diberikan iaitu Konduktor Terbaik (Holy Cross Toboh Tambunan), Penampilan Terbaik (St.Yohanes Pembaptis Sipitang) dan Etika Terbaik (St.Patrick Membakut).
“Tuhan telah menganugerahkan kita bakat bukan saja dalam hal mencipta lagu rohani, tetapi talenta-talenta yang Tuhan berikan kepada kita memampukan kita untuk melakukan pelayanan yang lebih luar biasa lagi. Hargailah segala anugerah yang Tuhan telah berikan dan gunakanlah talenta itu untuk kemuliaan Tuhan.” Dalam ucapan perasmiannya, Rev.Fr Ronnie Alfred Luni mengajak para belia untuk menggunakan talenta demi kemuliaan Tuhan dan sebagai peneguhan iman dan harapan didalam melayani bukan sahaja di gereja tetapi dimana saja dihantar untuk melaksanakan misi Kristus.
Turut hadir menyokong dan memeriahkan Pesta Koir Belia 2022 di Dewan St.Patrick Membakut ialah Rev.Fr Ronnie Alfred Luni (Pembimbing Rohani Komisi Kerasulan Belia Katolik Keukupan Keningau), Rev.Fr Benedict Daulis (Paderi Paroki St.Patrick Membakut), Rev.Fr Wilfred James, Pengerusi-Pengerusi MPP(Membakut, Sipitang, Beaufort) dan Saudari Lissa Johanes (Pengerusi KACT Keuskupan Keningau).
Untuk semua kelancaran perlaksanaan Pesta Koir Belia 2022, Saudara Roney Alfred menyampaikan ucapan terima kasih kepada semua yang terlibat terutama tuan rumah Paroki St.Patrick membakut kerana telah mempersiapakan tempat dan keperluan Pesta Koir Belia 2022 bersama dengan tim penganjur serta semua yang telah memberi sumbangan material, wang ringgit, tenaga serta doa dan sokongan. Pada akhir Pesta koir Belia 2022, Paroki St.Anthony Tenom diumumkan sebagai Tuan Rumah Pesta Koir Peringkat Keuskupan Keningau yang akan datang.