Rev Fathers, Religius Brothers dan Sisters, Komuniti Betania, para Katekis, Ahli-ahli TPK, MPP/MPM, KWK, KBK, Komuniti, Komiti, Saudara dan Saudari dalam Kristus.
Selamat Paska! Kepercayaan dan kebangkitan Kristus adalah pusat iman Kristiani kita. Santo Paulus mengatakan bahawa “Jika Kristus tidak dibangkitkan dari kematian, maka berita yang kami khabarkan dan kepercayaan kamu kepada Kristus sia-sia belaka” (1Kor 15:14). Para Rasul Yesus Kristus, “memang benar Tuhan sudah bangkit”, (Luk 24:35).
Jika Yesus bangkit dari mati bererti Dia hidup dan sentiasa ada bersama kita (Mat 28:20). Kehadiran Yesus kepada kita diungkapkan-Nya melalui sesama manusia (Mat 25:40), dan juga melalui kita yang seiman kepada-Nya (Mat 18:20). Tanda-tanda kehadiran-Nya yang hidup dilanjutkan-Nya kepada kita melalui Sabda-Nya dan Sakramen-Sakramen dalam Gereja Katolik. Kita yakin bahawa semua yang dilakukan Yesus, kesengsaraan, kematian dan kebangkitan-Nya, serta tanda-tanda kehadiran-Nya dalam Gereja adalah ungkapan sifat belas kasihan-Nya. Yesus mahu supaya kita memiliki hidup sepenuhnya yang dikuasai olehsukacita-Nya dan akhirnya memiliki hidup kekal di rumah Bapa si syurga bersama-Nya (Yoh 3:16; 14:3).
Sekiranya kkita dapat menyedari dan menghayati apa yang telah dan sedang dilakukan Yesus untuk kita sudah tentu kita tidak akan mensia-siakan iman kita kepada-Nya. Oleh itu marilah kita ungkapkan iman kita kepada-Nya dengan tiap hari mahu mengutamakan kesatuan kita dengan-Nya melalui ketaatan kita mengambil masa “berdoa, menghayati Sabda Allah, merayakan Sakramen-Sakramen, hidup berkomuniti, serta memperjuangkan keamanan, keadilan dan cinta kasih, serta keharmonian alam ciptaan Tuhan” (Misi Umat Keuskupan Keningau). Dengan terjalinnya kesatuan yang akrab dengan Yesus maka iman kita akan sentiasa teguh kerana “berakar umbi pada Dia dan dibangun diatas Dia” (Kol 2:6-7).
Selaku Umat-Nya yang masih dalam perziarahan di dunia ini kita sudah tentu menyedari dan mengakui kerapuhan kita. Namun kita yakin kepada belas kasihan Tuhan yang sentiasa memberi kita harapan kerana Tuhan tidak pernah mengutuk atau menghukum (Yoh 6:37). Tuhan juga tidak pernah meletakkan syarat-syarat bagi sesiapa yang bertaubat dan ingin kembali kepada-Nya (Luk 15:11-32). Kita juga yakin bahawa jika kita taat hidup berpandu kepada doa yang didoakan Yesus bagi kita iaitu kesatuan, perlindungan dari si jahat dan hidup berpandu kepada firman-Nya (Yoh 17:9-26), iman kita kepada Yesus tidak akan sia-sia.
Dalam suasana kegembiraan Paska ini, kita dengan sukacitanya mengucapkan selamat bergabung dalam keluarga Kristus, Gereja, kepada saudara-saudari Baptisan baru melalui paroki masing-masing. Ingatlah bahawa melalu Pembaptisan “kamu telah menerima Kristus sebagai Tuhan. Oleh itu hendaklah kamu hidup bersatu dengan Dia” (Kol 2:6).
Marilah kita sentiasa mohon dikuasai oleh Roh Kudus agar kita didorong memihak kepada semangat kesatuan diantara kita, setia melakukan kehendak Tuhan dan sentiasa peka terhadap kehadiran Tuhan.
Bonda Maria, Bonda Belas Kasihan, doakanlah kami. Selamat Paska 2016!
+ Bishop Datuk Cornelius Piong
Hari Minggu Palma