Rev. Fathers, Religius Brother dan Sister, Para Katekis, MPP/MPM, KWK, KBK, Komuniti, Saudara-saudari yang saya kasihi dalam Kristus.
Syukur dan puji Tuhan atas bimbingan dan perlindungan-Nya kita dapat Berjalan dalam Yesus Kristus sepanjang tahun 2015. Relasi yang kita bangun dengan peribadi Yesus sudah tentu mendorong kita menjalani hidup kita sehari-hari dengan sikap Yakin (Mat 28:20), Komited (Luk 9:23) dan Rendah Hati (Yoh 13:34-35).
Kini kita dengan Yakin mahu melangkah maju memasuki tahun 2016, ulangtahun ke-23 bagi kita Umat Allah Keuskupan Keningau. Tema Pastoral yang kita gunakan adalah berdasarkan Keluarga. Tahun 2015, “Keluarga dan Kanak-Kanak”. Tahun 2016, “Keluarga dan Belia”.
Semoga tema ini mendorong para belia kita untuk belajar mahu berpusat kepada hidup Kristus kerana Dialah Jalan, Kebenaran dan Hidup (Yoh 14:6). Kita bersyukur dan berbangga kerana Tahun Kanak-Kanak telah menyedarkan kita bagaimana responsif dan berpotensinya anak-anak kita jika mereka diberi kesempatan mengenal dan mengasihi Tuhan.
Sepanjang Tahun 2016 ini adalah Tahun Suci Belas Kasihan. Sama-samalah kita menyambut tahun Suci ini dengan penuh keyakinan bahawa Allah yang kita kenal dan alami adalah Allah yang sentiasa mahu berkomunikasi (Ibr 1:1-2), mahu Mengasihi dan Menyelamatkan kita dari perhambaan dosa (Yoh 3:16) dan mahu menyertai dan tinggal bersama kita (Mat 1:23; Yoh 1:14). Diharap agar Tahun Suci Berbelas Kasihan ini mendorong kita mahu hidup sentiasa berbelaskasihan seperti Bapa di syurga terhadap sesama manusia dan alam ciptaan Tuhan (Luk 6:36).
Tuhan Kristus yang kita rayakan pada Krismas ini menerangi perjalanan hidup dan iman kita sepanjang tahun 2016.
Selamat Hari Krismas dan Tahun Baru 2016.