PESAN KHAS BERKENAAN GEMPA BUMI

PESAN KHAS BERKENAAN GEMPA BUMI

Saudara-saudari yang seiman dalam Kristus, gempa bumi yang berpusat di Daerah Ranau yang turut juga melanda hamper seluruh Negeri Sabahpada 5 Jun yang lalu adalah satu peristiwa yang menakutkan dan menyedihkan. Fenomena alam yang kita tidak sangka akan terjadi di tempat kita sendiri.

Namun selaku Umat yang beriman kepada Kristus yang memberi jaminan bahawa Dia menyertai kita sampai akhir zaman (Mat 28:20), kita yakin bahawa Dia hadir bersama kita semasa peristiwa yang berlaku itu. Memang banyak pertanyaan timbul dalam pemikiran kita. Kita tidak memahami dengan fikiran manusiawi kita tetapi dengan keyakinan kepada Kristus yang hidup – sumber, alasan dan tujuan hidup kita – bahawa apa yang kita alami tidak akan sia-sia. Kejadian gempa ini menyedarkan kita bahawa tidak ada yang kekal di dunia ini.

Dari apa yang berlaku kita dapat melihat semangat kekitaan yang kuat yang ada pada orang-orang kita, khususnya para malim gunung. Mereka menunjukkan pengorbanan dan sikap ambil peduli terhadap kebajikan sesame. Mereka telah bertindak dengan bijaksana mengikut naluri kemanusiaan tanpa arahan dari pihak lain demi keselamatan para pendaki yang terkandas, meskipun mereka sedar keputusan untuk membawa turun para pendaki juga terlalu berisiko. Syabas para mountain guides!

Kita berasa sedih dan simpati kepada setiap keluarga yang mengalami kehilangan anggota keluarga akibat gempa bumi tersebut, tetapi kita yakin kematian mereka itu bukan sia-sia. Kita tentu berasa sedih kerana ada beberapa malim gunung yang turut terkorban, tetapi kita juga berasa bangga dan bersyukur kepada malim gunung atas semangat cinta kasih dan pengorbanan yang mereka tunjukkan untuk menyelamatkan para pendaki yang lain.

Selaku Umat-Nya marilah kita sentiasa bersatu dalam Tuhan dalam apapun keadaan. Hanya Dialah jaminan hidup kita yang sementara ini (Yoh 16:33).

Takziah buat semua keluarga mangsa yang terkorban dalam gempa bumi tersebut. Moga Tuhan beri penghiburan dan kekuatan semangat kepada anda semua.

Tahniah dan syabas kepada semua mountain guides yang terlibat secara langsung menyelamatkan para pendaki yang terkandas di puncak gunung Kinabalu, pelancong yang datang dari pelbagai Negara. Anda telah menjadi contoh yang baik kepada dunia.

Marilah kita teruskan berdoa untuk perlindungan Negeri kita, Sabah.

+ Bishop Datuk Cornelius Piong

Diocese of Keningau

Sharing is caring!