Pertama sekali saya mahu mengucapkan ribuan terima kasih pada Fr Rudolf yang memberi kami (misionaris) kesempatan mengikuti pelayanan empat hari tiga malam bersama Tim Turun Ladang. Dari Kg Sinawal hingga Kg Lumiri Tengah. Sungguh, pengalaman indah yang tidak terlupakan. Meskipun kami (misionaris) yang baru pertama kali ikut dalam pelayaan ini, namun,Tim Turun Ladang menerima kami dengan sukacita untuk bersama dalam pelayaan ini.
Pelayaan bersama Tim Turun Ladang telah banyak memberi saya pengajaran. Lebih-lebih lagi kesatuan dalam melayani, saling membantu dan saling melengkapkan. “Bukan kamu Yang memilih Aku, tetapi Akulah yang memilih kamu” (Yoh15:16). Saya percaya Tuhanlah yang memilih mereka menjangkau jiwa-jiwa dibahagian pendalaman. Melihat sebahagian besar dari Tim Turun Ladang sudah berkeluarga dan berkerja. Namun, meninggalkan sejenak keluarga dan pekerjaan untuk melayani dan berbagi sukacita dengan penuh semangat. Menguatkan lagi panggilan saya sebagai misionaris untuk terus melayani. Dan harapan saya semoga pelayaan seperti ini akan terus berterusan dan berkembang agar semakin ramai jiwa-jiwa yang terjangkaukan -Leslie Polinus
Pengalaman Pelayanan ke Zon Pohon Batu bersama Tim Turun Ladang(TTL) Paroki KSFX yang di ketuai oleh Rev Fr.Rudolf, MPP Puan Stella, para Katekis, Guru Katekis dan misionaris KTM memang sesuatu yang baru buat saya. Perjalanan selama 7 jam dan hanya berhenti sekali sekala untuk berehat makan tengahari memang memenatkan dan mencabar bagi saya. Namun semua itu berbaloi apabila sampai di perkampungan yang pertama, Kg Siwanal. Umat di sana sudah menunggu dari awal dan sedia menyambut kedatangan kami. Sungguh luar biasa apabila 98% umat di kampung Siwanal di baptis. Bukan itu saja, kali pertama saya bersama kawan-kawan misionaris KTM yang lain ikut serta cara Katekesis yang di jalankan oleh Team TTL dan itu juga pengalaman yang sangat berguna dalam pelayanan kami.
Hari kedua kami bertolak ke Kg Pangaraan. Berada di sana membuat saya berfikir mengapa kita harus susah payah datang ke tempat yang jauh dan sukar untuk melayani? Ternyata di tempat kita sendiri pada zaman serba canggih ini, masih ada banyak umat di kawasan terpencil yang belum sesungguhnya mengenal Tuhan Yesus dan mereka perlu selalu dipertumbuhkan imannya oleh kita yang sudah mengenal Kristus.
Seperti Santo Fransiskus Xaverius dari Sepanyol yang lebih identiknya sebagai seorang misionaris, membawa saya untuk merefleksikan diri. Beliau datang ke bumi benua Asia pada abad ke-15 demi untuk karya Misi Tuhan, beliau sanggup berkeliling dunia dan menghadapi pelbagai tentangan untuk berbagi sukacita mewartakan karya misi Tuhan Yesus. Itulah juga Evangelisasi yang harus kita contohi. Semangat untuk membagikan kegembiraannya dengan mewartakan Kristus.
Pada hari ketiga dan terakhir, kami ke Kg Pohon Batu dan Kg Lumiri. Setiap kunjungan kami di keempat-empat KUK, pengalaman yang dialami berbeza dan luar biasa. Semangat umat disana, kerinduan mereka, kesatuan umatnya, keramahan mereka, keperluan mereka dalam pertumbuhan iman dan budaya mereka. Dan yang tidak dapat saya lupakan adalah kasih kesatuan dari Team TTL, kerjasama dan perkongsian dari pengalaman Team TTL sebelum ini. Semuanya itu kerana kasih Tuhan Yesus yang menyatukan semua orang. Saya pasti akan ke sana semula demi berbagi sukacita. –Cannysius @ Godfrey Jamikol
“MELAYANI DENGAN PENUH SUKACITA”
Saya telah di utus untuk melayani di Keuskupan Keningau pada 2013. Sebagai seorang misionaris awam Komuniti Tritunggal Mahakudus (KTM), kami di utus ke tempat-tempat yang memerlukan pelayanan di seluruh Keuskupan Keningau. Pada 14hb hingga 17hb Jun 2017, saya bersama Tim Misionaris telah mengikuti Program Tim Turun Ladang (TTL) dari Keuskupan KSFX bersama dengan seorang paderi iaitu Rev. Fr. Rudolf Joannes.
Dalam lawatan ini banyak hal yang menyentuh hati saya secara peribadi apabila melihat sendiri umat-umat di sana yang benar-benar rindu dan haus akan kasih Tuhan yang menyembuhkan. Apa yang saya alami sepanjang lawatan ini adalah sukacita kerana sepanjang pelayanan kami banyak karya-karya Tuhan yang begitu indah berlaku. Apa lagi sewaktu berada di Siwanal, saya melihat kesatuan Tim kami yang saling membantu sesama memberikan katekesis kepada umat-umat di sana untuk membantu mereka dalam persiapan menerima sakramen pembaptisan. Jelas terpancar di setiap wajah umat Siwanal yang sangat gembira dengan kehadiran Yesus sendiri melalui kami. Terlebih lagi sukacita saya sebagai misionaris apabila mereka akan dibaptis. Melalui lawatan seperti ini bukan sahaja menguatkan saya dengan memberi katekesis dan sakramen ke tempat-tempat yang jauh malahan ianya memberi refeksi dalam diri saya sendiri dengan perkongsian sesama adalah sangat memberangsangkan bersama-sama umat disana. Kekuatan iman saya makin bertambah dengan terus melayani umat di sana.
Terima kasih saya ucapkan kepada Rev. Fr. Rudolf, Tim Misionaris dan TTL dan Majlis Pastoral Paroki (MPP) kerana memberi kesempatan kepada kami Tim Misionaris KTM kerana memberi peluang kepada kami untuk menyertai lawatan ini. Melalui lawatan ini, bagi saya secara peribadi telah memberi kekuatan dalam diri saya untuk terus melangkah serta berbagi sukacita kepada semua orang dengan penuh kasih dan terus melayani di ladang Tuhan untuk menjangkau lebih ramai umat yang jauh daripada Tuhan seperti KUk yang ada di Zon Pohon Batu.
Pada masa ini, di Kg. Sinawal belum mempunyai gereja walaupun 98% adalah penduduk yang beragama Katolik. Walau bagaimanapun, perancangan pembinaan gereja sedang dipetimbangkan. St. Isoderus adalah nama Gereja Katolik di Kg. Pengaran, St. Paulus pula adalah Gereja Katolik di Kg. Pohon Batu dan St. Yosep adalah nama Gereja Katolik di Kg. Lumiri Tengah. Semua kawasan ini, kami telah lawat selama empat hari tiga malam. Walaupun perjalanan untuk sampai ke setiap outstasi ini bukannya mudah tapi saya percaya Kerahiman Kasih Allah selalu menyertai dan melindungi sepanjang perjalanan kami.
Harapan saya melalui lawatan ini, bersama-sama dengan Rev. Fr. Rudolf serta Tim Misionaris ialah semoga lawatan seperti ini akan berterusan untuk menjangkau umat-umat yang begitu jauh untuk menerima Sakramen Pengakuan Dosa dan juga Perayaan Ekaristi agar mereka semakin diteguhkan iman dan kepercayaan selaras dengan Wawasan dan Misi Keuskupan iaitu “Kita Umat Allah Keuskupan Keningau berjalan bersama dalam Yesus Kristus, Komited dan Efektif dalam Pelayanan.”Tuhan memberkati. –Veronica Stephen
Pengalaman mengikuti Program TTL, saya dapat mengetahui bagaimana keadaan umat yang sudah lama tidak dijangkau dan mengetahui apa kekurangan yang dihadapi oleh mereka terutama sekali umat-umat di Kg. Siwanal. Melalui lawatan ini saya dapat mengeratkan lagi hubungan antara tim misionaris KTM bersama tim PPK dan MPP dari KSFX.
Saya berpendapat bahawa agar lebih memanjangkan lagi jangka masa untuk turun ke tempat misi agar dapat memperbanyakkan aktiviti kepada umat-umat di sana supaya tidak tergesa-gesa semasa ke tempat misi seterusnya.
Melalui program ini saya telah mendapat pesan bahawa “Pergilah ke seluruh dunia, beritakanlah Injil kepada segala makhluk.” (Mrk 16:15). Tuhan telah memanggil dan memilih kita semua untuk mewartakan Injil.
Harapan saya supaya belia-belia yang ada di setiap paroki diberi peluang untuk turut serta dalam program seperti ini. Agar mereka pun kelak dapat melakukan hal yang sama di tempat mereka. Melaksanakan program seperti ini memang ada pahit dan manisnya juga, bahkan perasaan lelah dan putus asa kadang ada. Tetapi, apabila semua tim berkerjasama dan bersandar pada Tuhan semuanya tidak ada yang mustahil. “Live for nothing or die for something.”-Danny Lidduin