Membakut – Perayaan Tahun Keluarga: ibubapa dan warga emas di Paroki St.Patrick Membakut diteruskan lagi dengan sambutan di KKD St.Edward Ambinahaton-Kabuluan, paroki St.Patrick Membakut. Sambutan di KKD ini telah diadakan pada 26 Januari 2017 yang baru lalu. Sambutan ini telah dimulakan dengan misa kudus pembukaan oleh Rev.Fr.Paul Mikin, rektor paroki st.Patrick Membakut. Perayaan sederhana tersebut kemudiannya disusuli dengan ucapan Pengerusi KKD St.Edward Ambinahaton-Kabuluan, Pn.Patricia Bai dan kemudiannya ucapan daripada Fr.Paul Mikin. Didalam ucapan nya, Pn.Patricia menyatakan bahawa selain daripada objektif keuskupan untuk merayakan ibubapa dan warga emas, perayaan ini memberi peluang kepada anak-anak dan ahli keluarga untuk menyampaikan ucapan terima kasih dan bersyukur diatas pengorbanan ibu bapa dan warga emas yang selama ini mengerah tenaga untuk menjaga keluarga masing-masing. Beliau juga menyeru semua belia dan anak-anak agar menjadikan ibu bapa dan warga emas didalam keluarga mereka sebagai idola mereka didalam menentukan halatuju masa harapan mereka. Rev.Fr. Paul pula berkata, pengorbanan dan kasih sayang mereka tidak akan dapat diukur dengan wang ringgit atau dengan ukuran apa pun juga. Oleh itu, ahli keluarga dengan sokongan KKD perlu mengambil peluang didalam perayaan ini untuk menunjukkan penghargaan mereka kepada ibu bapa dan warga emas melalui aktiviti-aktiviti yang telah dirancang.
Selepas ucapan beliau, Fr.Paul bersama ajk KKD kemudiannya makan bersama umat sambil mendengar lagu-lagu karaoke yang di persembahan oleh golongan warga emas KKD St.Edward.
Umat kemudiannya dipersembahkan dengan persembahan koir gabungan belia dan kanak-kanak KKD St.Edward. Acara kemuncak pada malam tersebut adalah penyampaian warkah ucapan terima kasih kepada 13 orang warga emas di KKD St.Edward, dan upacara memotong kek untuk semua warga emas yang diraikan. Didalam acara ini juga, disampaikan warkah khas ucapan terima kasih kepada mendiang Katekis Edward Basintal yang selama hidupnya telah mengabdikan diri melayani umat di Kg.Bawan, Membakut dimana KKD St.Edward Ambinahaton-Kabuluan terletak. Warkah yang dinamakan sebagai Warkah Penjaga Iman ini diserahkan kepada Saudara Paul Basintal, anak kepada mendiang Katekis Edward sebagai wakil keluarga. Acara terakhir pada malam tersebut adalah upacara memotong kek bagi semua umat KKD St.Edward yang lahir pada bulan Januari. Acara pada malam tersebut diakhiri dengan doa malam dan ucapan selamat jalan daripada umat KKD kepada Rev. Fr.Paul Mikin yang akan berpindah dan meneruskan pelayanan beliau di paroki Beaufort-Sipitang pada bulan Febuari ini.